Wednesday, 31 May 2017

Adik cakap kat ayah tak?

31/5/2017

Teks     :  Zureiny Zulkafly


Ketika saya tekun menaip entri sebelum ini ’12 Jam Sehari’, tiba-tiba perhatian saya terkalih kepada Aina bila dia memanggil saya.

“Ibu, dulu adik suruh ayah beli ni la,”  ujarnya sambil tangan menunjukkan iklan playdoh.

“Ayah cakap apa?”  Walaupun kepala saya masih berfikir tentang entri yang belum siap tapi saya layan juga dia.  Saya memandang tepat ke arahnya yang berbaring di tepi saya.

“Ayah cakap nanti ayah belikan.”

“Ayah lupa la tu.”  Saya ni menjawab macamlah ayah tu ada.

“Ayah bawak adik pergi ‘ganda’ (saya rasa dia nak sebut Alamanda sebab hubby suka bawa anak-anak ke sana).  Adik nampak playdoh kat kedai.”

“Adik cakap kat ayah tak?”

“Adik cakap adik nak tapi ayah tak bagi.”  Mulut mungilnya becok bercerita. 

Tapi perbualan kami terhenti begitu saja.  Saya sambung balik kerja saya.  Tidak sampai 15 minit, Aina bersuara semula.

“Nanti ibu pergi tempat kerja ayah tau!”

“Huh?  Kenapa dik?”

“Adik nak main kat tempat belon tu.”

Saya tak pasti apa yang membuatkan Aina teringatkan hubby tapi inilah kebiasaan Aina.  Masa mula-mula hubby pergi saya tak tahu macam mana nak ‘handle’ tingkah laku Aina tapi masa mengajar saya banyak perkara.

Melayan dia bercakap tentang si ayah adalah salah satu cara saya bantu dia mengatasi kerinduannya terhadap hubby.  Saya tidak menolak setiap kali dia buka mulut tentang ayahnya.  Saya layankan saja dan saya akan sambung pula dengan kenangan-kenangan yang lain.  Cara begini akan mengekalkan memori itu dalam minda separa sedarnya.  Satu uniknya tentang Aina ni, dia akan ingat secara terperinci apa yang dia buat dengan ayahnya dulu.  

Aina dah tergolek-golek atas tilam.  Tak pe lah dik, ada rezeki nanti ibu belikan adik playdoh ye! ๐Ÿ˜Š

12 Jam Sehari

31/5/2017

Selasa  ๐Ÿ‘‰  2 Ramadhan 1438H

Teks     :  Zureiny Zulkafly

Entri    :  26/44



Saat, minit dan jam berlalu mengikut aturannya.  Hari, bulan dan tahun juga beredar menurut susunannya.  Tidak terlewat atau terawal.  Tidak menongkah apa yang telah ditetapkan.

Hari ini sudah masuk hari ke-5 berpuasa tahun ini.  Cuaca yang agak panas memang menguji tekak yang haus.  Hujan yang sesekali turun mencabar pula mata yang berjaga.  Ada sahaja dugaannya.  Rutin saya mengasuh tetap seperti biasa.  Cuma ada jadual yang saya percepatkan kerana saya tutup seawal 6.30 petang.

Walau saya bekerja di rumah tapi soal masa adalah penting bagi saya.  Setiap jam ada tugas-tugas yang perlu saya buat.  Kalau tersasar sikit saja, memang akan kelam kabutlah kerja saya yang lain.  Kalau dalam tempoh bekerja tu ada perkara-perkara luar jangkaan berlaku, memang akan mempengaruhi jadual kerja saya pada hari tersebut.

Itu sebabnya dalam 24 jam sehari saya adalah surirumah yang sibuk.  Saya bekerja dan menguruskan rumahtangga dalam masa yang sama.  Mengapa saya kata saya sangat sibuk?  Orang lain pun sibuk juga.  Sebabnya, sepanjang 12 jam sehari pekerjaan saya adalah menguruskan khalifah kecil.  Dari tapak kaki selebar 2 jari sehinggalah berusia 4 tahun, mereka membesar dalam jagaan saya.  Dan 12 jam seterusnya adalah masa saya dengan keluarga dan berehat.

Memang saya tak duduk diam.  Menjaga dan mengasuh anak-anak kecil ini tidak sama dengan kerja-kerja pejabat.  Mendidik dan membesarkan mereka jauh beza dengan membina bangunan 47 tingkat.  Mereka bukan benda statik yang boleh diubah sesuka hati tapi insan kecil yang memerlukan asuhan dan didikan sebaiknya.  Saya suka mematah dari rebung.  Jika sudah menjadi buluh, bila dilentur jari melepuh dan buluh melibas ke muka.

Sesekali fikir, sampai bila saya akan jadi pengasuh.  Pernah juga bercadang nak berhenti tapi sampai hari ini belum terbuka jalan ke situ.  Selagi saya boleh manfaatkan diri saya, selagi itulah saya berkhidmat 12 jam sehari.

Monday, 29 May 2017

10 Ciri Pengasuh Yang Baik

Teks    :  Zureiny Zulkafly

Foto    :  Google

Entri    :  25/44


Sebagai ibu yang berkerjaya, tidak dapat dinafikan pengasuh yang baik adalah isu kritikal dalam memastikan bayi anda mendapat jagaan dan asuhan yang bersesuaian dengan proses perkembangan mereka. 

Terdapat kriteria-kriteria tertentu yang boleh dijadikan asas panduan ketika anda mula merancang mencari pengasuh untuk bayi anda.

PENGALAMAN

Usahalah sebaik mungkin untuk mendapatkan pengasuh yang ada pengalaman.  Sekurang-kurangnya setahun.  Walaupun hanya bekerja di rumah, seseorang pengasuh mempunyai pengalaman yang tersendiri.  Mereka akan sentiasa mempertingkatkan khidmat asuhan dari masa ke masa dan membina reputasi yang baik. 

Biasanya, mereka bermula daripada mengasuh dan mendidik anak-anak sendiri sehinggalah meluaskan pengetahuan itu kepada anak-anak asuhan.  Mereka sangat memahami pendidikan awal kanak-kanak dan peka dengan penjagaan bayi.  Kebanyakan pengasuh begini tidak lokek berkongsi ilmu atau pengalaman terutamanya untuk ibu-ibu muda yang baru pertama kali mempunyai anak.

PERWATAKAN MENARIK

Pengasuh yang baik sangat mudah didekati dan dikenali ramai.  Bersikap terbuka dan mesra.  Mereka memiliki aura positif yang mampu menarik minat anak-anak anda terhadapnya dan membuatkan mereka selesa.  Sekaligus mengukuhkan keyakinan ibu bapa terhadap cara pengasuhannya.  Walau pertama kali berjumpa, pengasuh ini akan berusaha membuatkan si anak ini tadi rasa selamat bersamanya dan anda juga bersedia meninggalkan bayi bersama pengasuh.

KONSISTEN DAN BERDISIPLIN

Seorang yang tekun dalam tugasnya.  Ciri utama seorang ibu bapa boleh perhatikan ialah masa.  Pengasuh yang konsisten akan cukup menjaga disiplin masanya.  Seperti saya, dari dulu sampai sekarang waktu bertugas saya bermula 7 pagi hinggalah 7 petang.  Saya bekerja 5 hari seminggu dan cuti hanyalah mengikut cuti negeri atau cuti umum.  Saya tidak akan cuti sesuka hati tanpa memaklumkan kepada ibu bapa sekurang-kurangnya seminggu kecuali yang melibatkan kecemasan atau kematian.  Disiplin begini akan memudahkan ibu bapa mengatur masa menghantar anak setiap hari sebelum ke tempat kerja.

KOMITED DAN CEKAP

Ciri ini bermaksud dia tahu tugas sebenar seorang pengasuh.  Cekap dalam tugas di mana dia mampu menguruskan anak-anak anda walau apa keadaan sekalipun.  Dia mahir dan berdikari bagi memastikan anak anda selamat di dalam jagaannya.  Biasanya pengasuh yang baik tidak akan mengganggu anda dengan hal yang remeh temeh.

AKHLAK YANG BAIK

Carilah pengasuh yang baik akhlak dan agamanya.  Ini kerana dari bayi, anak-anak akan membesar di bawah asuhannya.  Perhatikan percakapan pengasuh.  Bahasa yang digunakan sama ada baik atau tidak.  Kita harus faham, pengasuh adalah pengganti ibu yang terpaksa keluar bekerja mencari rezeki.  Kata-kata yang baik dari seorang pengasuh akan menjadi doa.  Lagipun, akhlak yang baik ini akan membentuk peribadi yang baik juga untuk anak-anak anda.

FAHAM PENDIDIKAN AWAL KANAK-KANAK (PAKK)

Khidmat asuhan bukan sekadar mencari duit poket membantu keluarga.  Pengasuh yang baik tahu tentang penjagaan bayi yang betul dan pendidikan awal kanak-kanak http://kpakkiece.blogspot.my/p/pengenalan-pendidikan-awal-kanak-kanak.html  

PAKK adalah pendidikan awal yang diberikan seawal usia selepas lahir hinggalah 8 tahun.  Sambil mengasuh, pengasuh ini akan mendidik asas-asas penting contohnya akhlak yang baik, bercakap, mengenal dan melatih membuat kerja-kerja ringan seperti simpan baju di dalam beg.

KEUPAYAAN MENJAGA & MENGASUH

Peka dengan perkembangan sosial, emosi dan intelektual anak-anak seiring dengan pertambahan usia kanak-kanak.  Rajin mengadakan aktiviti bersama mereka dan bersedia mengajar asas-asas doa, membaca, mengenal huruf dan warna.  Selalunya saya akan mengajar secara santai.  Mengenal warna bila saya pakaikan baju mereka.  Menghafal nombor bila saya ajak mereka main ‘Hide & Seek’.  Mengenal ABC sambil saya menyanyi dan saya juga menghafal lagu-lagu kegemaran kanak-kanak.

BERTOLAK-ANSUR

Ciri ini bermaksud pengasuh yang baik mudah dibawa berbincang dan bertolak-ansur sekiranya anda berdepan dengan kesulitan yang di luar jangkaan.  Dia akan menggunakan budi bicaranya untuk memudahkan urusan anda.  Sikap toleransi begini adalah untuk mewujudkan persefahaman antara pengasuh dan ibu bapa. 

Begitu juga ibu bapa harus bekerjasama sekiranya pengasuh bayi atau anak-anak anda bersedia bertokak-ansur demi kebaikan kedua-dua belah pihak

SIFAR KEMALANGAN

Malang memang tidak berbau tetapi pengasuh yang baik akan bersedia dan mementingkan isu keselamatan anak-anak.  Bila ke rumah pengasuh, perhatian keadaan sekeliling.  Seperti saya, bayi akan ditempatkan di dalam babycot di bilik yang berasingan.  Kanak-kanak berumur setahun ke atas akan tidur di ruang tamu kerana rumah saya memang lapang tanpa perabot yang besar.  Anak-anak bebas bermain tanpa risau terlanggar bucu meja atau almari.

KOMUNIKASI 2 HALA YANG EFEKTIF

Sentiasa memastikan komunikasi efektif dengan ibu bapa.  Memaklumkan apa-apa hal yang perlu.  Bersedia menjawab atas setiap pertanyaan yang melibatkan isu anak-anak.  Sepertimana yang saya amalkan, telefon saya memang dihidupkan sepanjang masa dan saya bersedia menerima panggilan atau pesanan daripada ibu bapa jika apa-apa urusan melibatkan anak mereka.


10 ciri ini boleh dijadikan panduan asas untuk anda mengenali seorang pengasuh yang baik.  Ada banyak lagi ciri yang boleh anda tentukan untuk mengukur seorang pengasuh itu baik atau tidak bergantung pada penilaian anda terhadap seseorang.  

Maklumat-maklumat sebegini anda boleh dapatkan daripada jiran sekeliling ataupun insan yang mencadangkan pengasuh itu kepada anda.  Gunakan waktu suaikenal dengan pengasuh sebaik mungkin. Tanya sebanyak mana soalan berkaitan. Pengasuh yang baik dan berpengalaman biasanya akan sentiasa terbuka dengan sebarang perbincangan.

Semoga berjaya dan dipermudahkan segala urusan anda.  Semoga anak-anak kita berada di dalam asuhan mereka yang terbaik.

Amiin...


Related image

Jalan Ayah

27/5/2017

Teks    :  Zureiny Zulkafly


Sejak dari semalam saya sudah merancang untuk pulang ke kampung hubby di Alor Gajah, Melaka.  Saya maklumkan pada Mama Ayah dan adik-adik.  Setelah selesaikan kerja-kerja rumah, saya bergerak hampir tengahari juga.  Sambil memandu keluar dari kawasan perumahan kami, saya bertanya pada Afrina. 

“Kita nak ikut jalan mana ni Fina?”  Kalau diikutkan hati saya lebih suka ikut highway.  Sebelum itu saya dah semak trafik ke arah selatan.  Alhamdulillah. Info perjalanan menyatakan segalanya lancar.  Tiada kemalangan.  Tiada kesesakan.

“Ikut jalan ayahlah.”

“Jalan ayah? Kut mana?  Highway?” 

“Bukan.  Jalan yang selalu ayah ikut tu bila balik kampung.”

Kepala saya ligat mengingat jalan yang Afrina kata jalan ayah dia.  Maklumlah, dah lama tak balik.  Ada perkara juga yang saya ingat-ingat lupa. 

“Oooo…jalan tu.  Fina nak ikut jalan tu ke?”

“Ha ah.  Ayah kan suka ikut situ.”

“Haihhh!  Jenuhlah ibu nak layan ‘lap’ ni.”  Afrina ketawa.  Dia rasa gembira sebab saya tunaikan keinginannya. 

Jalan yang anak saya maksudkan ialah Jalan Tampin-Seremban.  Jalan lama melepasi kampung-kampung dan pekan antaranya Rembau, Negeri Sembilan.  Nak balik bukannya jauh pun tapi melangkah sampai 3 negeri!  Dari Bangi saya ikut Lebuhraya Utara-Selatan sehingga Plaza Tol Senawang dan meneruskan perjalanan dari situ hinggalah ke rumah mak di Kg Gadek, Alor Gajah, Melaka.  Bukan ke 3 sempadan negeri namanya tu ๐Ÿ˜

Faham-faham sajalah bila ikut jalan lama ni.  Kereta motor agak banyak sebab ini laluan utama penduduk sekitar.   Ada gerai-gerai kecil di sepanjang jalan.  Simpang masuk ke kampung-kampung juga banyak.  Jadi kena berhati-hati selalu.  Manalah tahu ada yang brek mengejut nak masuk simpang.  Memang bertemu bumper ke bumper la jawabnya.  Itu belum masuk bab terpaksa ikut belakang kenderaan berat seperti lori atau jentolak.  Boleh berderet macam itik pulang petang sampai berbatu jauhnya.

Dulu saya pelik juga kenapa hubby suka ikut jalan lama ni.  Ikut highway kan senang.  Lurus aje.  Simpang tak banyak.  Laluan kereta pun banyak.  Tak adalah berderet-deret.  Hubby cakap,”Best ikut jalan lama ni.  Sejuk.  Lepas tu boleh layan ‘lap’.”  Saya hanya geleng kepala.

Bila hubby biasakan saya dengan jalan ni, lama-lama saya boleh menerima.  Seronok sebab sejuk.  Banyak pokok sepanjang perjalanan.  Mata pun tidaklah asyik memandang jalan saja sebab sepanjang Jalan Tampin-Seremban ni, banyak aktiviti penduduk kampung yang kita boleh lihat.  Ada gerai buah, lemang, produk hasil tangan kampung dan macam-macam lagi.  Bengkel batu nesan pun ada!

Alhamdulillah…jam 2 petang saya sampai di rumah mak.  Perjalanan lancar dan dipermudahkan.  Biarlah lambat asalkan selamat kan?  Okey. Nak rehat sekejap luruskan badan sebelum berbuka puasa maghrib nanti.  

Selamat berbuka puasa. Bye!

Ramadhan Bersama Mak

27/5/2017

1 Ramadhan 1438H

Teks    :  Zureiny Zulkafly


Saya buat keputusan untuk pulang ke kampung hubby.  Sambut Ramadhan dengan mak.  Setelah genap 9 bulan pemergian hubby semalam (26/5/2017), kedatangan Ramadhan ini bagai memberi saya kekuatan untuk balik ke rumah mak.  Satu jarak yang panjang iaitu hampir tiga suku tahun.  Lama sungguh.  Alasan pertama kerana saya habiskan iddah 4 bulan 10 hari.  Alasan kedua kerana saya belum bersedia. 
Anak-anak memang seronok nak balik kampung ayah.  Saya faham mereka rindu.  Kali terakhir kami pulang adalah pada 20/8/2016.  Hubby minta saya bawakan dia balik kerana ingin jumpa mak dan saya tunaikan hajatnya.  Ketika itu hubby sudah agak uzur dan seminggu selepas itu, hubby menghembuskan nafas terakhirnya.


Image result for imej ramadhanPerasaan saya libang libu sebenarnya.  Ini kali pertama saya memandu jauh hanya bersama anak-anak.  Seram sejuk pun ada.  Berdebar-debar pun ye juga.  Mama Ayah dan adik-adik saling berpesan agar saya berhati-hati dalam perjalanan.  Tapi saya tahu saya wanita cekal.  Allah pernah uji saya dengan ujian yang maha hebat dan itu yang menjadikan saya kuat dan tabah.

Jujurnya, kepulangan kami tidak saya maklumkan kepada mak.  Saja nak buat kejutan.  Lagipun saya tak nak buat mak tertunggu-tunggu.  Dah lama mak pujuk saya balik tapi dia menerima dan faham dengan keadaan saya.  Memang kepulangan kami sangat mengejutkan mak.  Dia menangis dan memeluk saya dengan erat.  Apatah lagi dengan anak-anak saya.  

Saya melangkah ke bilik kami.  Kekal seperti sebelum ini.  Barang-barang hubby masih mak simpan dengan baik.  Saya menjejakkan kaki ke bilik bujang hubby ini 14 tahun yang lepas sebagai pengantin baru ketika majlis bertandang ke rumah pengantin lelaki.  Di sinilah saya mengenali keluarga hubby dan mereka menerima saya seadanya.

Saya perhatikan sekeliling.  Termenung di pintu rumah.  Ada satu perasaan hiba menyerkup jiwa saya.  Sejak menjejakkan kaki ke kampung, saya rasa janggal dengan perasaan saya sendiri.  Terasa kekok dengan ketiadaannya.  Saya bagai tercari-cari kelibatnya.  Bagai terdengar-dengar suaranya di telinga bersembang dengan mak.  Mulut ini terasa ringan ingin memanggil namanya.  Ingin bertanya pada anak-anak,”Ayah mana?”

Tenanglah wahai hati.  Sabarlah wahai jiwa.  Bukan saya seorang yang melalui ujian sebegini.  Ramai lagi di luar sana yang menghadapinya.  Mungkin ada yang lebih berat daripada apa yang saya pikul.  Mungkin masih bergelut dengan emosi dan masalah kelangsungan hidup.  Mungkin bersengkang mata memerah keringat mencari rezeki untuk anak-anak.


Semoga kepulangan saya ini membahagiakan mak kerana mak adalah insan kesayangan hubby.  Semoga ianya menyenangkan hati mak sepertimana mak senang hati setiap kali menyambut kepulangan hubby sebelum ini.  Semoga mak diberikan ketabahan meneruskan hidup.  Amiin…

5 Hikmah Istikharah Dalam Kerjaya Saya

28/5/2017

Teks    :  Zureiny Zulkafly


Bismillahirrahmanirrahim...

Seperti yang saya kongsikan sebelum ini, kerjaya saya sebagai pengasuh bermula daripada istikharah.  5B yang saya tetapkan untuk diri saya juga banyak membantu saya lebih fokus dan konsisten.

Banyak hikmah yang saya nikmati daripada istikharah ini.  Pengalaman saya tidak sama seperti yang ditulis di dalam buku.  Praktikal juga berbeza daripada teori.  Teori sekadar panduan sedangkan praktikal akan membuatkan kita lebih memahami kebaikan solat itu sendiri.

JALAN KELUAR

Ini antara hikmah yang sangat memberi kesan pada hati saya.  Bila kita benar-benar berserah, Dia tunjukkan jalan keluar yang paling baik.  Kadang-kadang kita tidak terfikir pun dengan akal yang sejengkal ini.  Bila rezeki saya sebagai pengasuh terbuka, saya redha dan terima seikhlas hati.  Saya belajar mengasuh dan teruskan bekerja tanpa rasa jemu.  Seingat saya, inilah pekerjaan yang paling lama dan paling saya dapat bertahan hampir 8 tahun.  Berbeza dengan pekerjaan sebelum ini, walau bergaji besar sesuai dengan kelulusan tetapi hanya sementara.  Paling lama pun setahun.  Selepas itu akal saya mula ligat mencari kerja baru.

TETAP HATI

Hikmah Istikharah juga menjadikan saya tetap hati.  Saya tahu Allah yang pilihkan jalan saya.  Bila ianya ketetapan Allah bermakna saya mampu melakukannya.  Saya bekerja sebaiknya dan ia menjadikan saya mahir dengan tugas saya.  Menjadi pengasuh bukan mudah walau dipandang senang oleh orang lain.  Ia melibatkan emosi anak-anak dan tugas-tugas berat yang lain.  Mencuci kencing berak, muntah dan sebagainya termasuk dalam tugas seharian.  Belum masuk bab anak-anak demam atau sakit yang perlukan perhatian khusus. 

CEKAL

Istikharah menjadikan saya seorang yang cekal.  Walau saya pernah dipandang rendah kerana bekerja mengasuh budak tapi saya teruskan kerana ini rezeki saya.  Dengan kelulusan Ijazah Sarjana Muda, mengapa saya jadi pengasuh?  Di sebalik kata-kata orang, saya berdikari.  Saya perbaiki diri saya.  Saya tidak malu dengan kerja saya sebagai pengasuh.  Tujuan saya bekerja juga adalah untuk membantu hubby bukannya kepentingan diri sendiri.  Saya fokus terhadap keperluan rumahtangga saya sahaja.  Yang lain-lain…saya tolak tepi.

RESTU & REDHA

Dari Istikharah juga, Allah lembutkan hati hubby.  Saya dapat restunya untuk bekerja sedangkan sebelum ini dia sangat melarang saya bekerja jauh dari rumah.  Hubby redha atas saya dan mengizinkan saya membantunya.  Bila saya menjadi pengasuh, bermakna kami juga akan terpisah kerana rezeki kami di berlainan tempat.  Saya di Bangi dan dia di Selayang.  Hubungan jarak jauh ini akan mendatangkan ujian yang pelbagai.  Namun begitu, hikmah istikharah ini menjadikan kami semakin rapat dan mengukuhkan perasaan antara saya dan hubby juga antara anak-anak dan si ayah. 

SETELAH DIA TIADA

Dengan Istikharah juga, Allah meletakkan saya dan anak-anak di tempat selamat selepas ketiadaan hubby.  Walaupun istikharah itu saya lakukan 8 tahun yang sudah tetapi hanya Dia mengetahui perjalanan kita di masa akan datang.  Soalan saya 8 tahun lepas terjawab selepas pemergian hubby.  Tanyalah Dia…pasti Dia menjawab.  Selepas 9 bulan pemergian hubby, rupa-rupanya pilihan Allah itu yang membantu saya meneruskan hidup dengan anak-anak.  Rezeki mengasuh inilah yang mencukupkan makan minum mereka.  Bersekolah seperti biasa.  Walaupun tidak mewah tapi cukuplah.  Tidaklah saya merempat merata meminta simpati.  Dengan rezeki ini, saya dapat berdikari tanpa perlu meminta-minta. 


Saya bangga dengan kerjaya saya sebagai pengasuh.  Bila kita sayang apa yang kita usahakan, ia mendatangkan satu kepuasan dalam jiwa.  Dari dua tangan saya inilah, saya menjaga, mengasuh dan mendidik anak-anak asuhan sebaiknya.  Dari kudrat saya yang tidak seberapa inilah, saya membantu hubby.  Inilah saja bakti saya sebagai isteri demi membahagiakan hati suami dan keluarga kecil kami. 

5 B Sebelum Istikharah

 Image result for gambar wanita solat


28/5/2017

Teks    :  Zureiny Zulkafly
Foto     :  Google


Kita sangat digalakkan untuk solat istikharah setiap kali kita berdepan dengan kebuntuan dan kesulitan.  Begitu juga bila kita ingin memulakan sesuatu yang tidak pasti, istikharah adalah salah satu kaedah efektif dalam menguruskan pilihan hidup.  Allah sangat suka bila seorang hamba bertanya padaNya dahulu sebelum membuat apa-apa tindakan.

Memang sebagai manusia, kita diberi akal dan kemampuan berfikir untuk membuat timbang tara tentang buruk baik sesuatu pilihan.  Kita rasa yakin bergantung pada akal dan budi tetapi percayalah, istikharah ini membawa rahsia tersendiri untuk kehidupan yang lebih baik di masa hadapan, dunia dan akhirat.

Di sini saya senaraikan 5 B yang anda boleh buat sebelum istikharah berdasarkan andaian anda sudah mengetahui tentang rukun dan syarat sah solat.

BELAJAR

Nak buat sesuatu perlu dengan ilmu.  Belajar cara-cara solat istikharah, adab-adabnya, doa, sebab dan kebaikan daripada istikharah itu sendiri.  Fahami juga bagaimana solat ini bakal memberi kesan dalam kehidupan anda.  Boleh ke link ini untuk rujukan https://shafiqolbu.wordpress.com/solat-sunat/solat-sunat-istikharah/ atau membaca buku-buku tentang solat istikharah ataupun berguru dengan mereka yang arif.  Tidak salah juga bertanya kepada mereka yang ada pengalaman menunaikan solat ini. 

BETULKAN NIAT

Tanya pada hati, apa sebab kita tunaikan solat ini?  Sesuatu amalan itu bergantung pada niatnya.  Memang niat solat itu kerana Allah tapi bersediakah kita menerima apa yang Dia akan tentukan.  Marahkah kita bila Allah bagi bukan seperti kehendak kita?  Sedihkah kita bila jawapannya bukan seperti yang kita jangka?  Itu sebabnya, sebelum tunaikan solat ini pastikan niat anda.  Lakukanlah semua ini bukan sekadar membuat pilihan tetapi lebih kepada mencari keredhaanNya dalam apa juga yang kita usahakan.  Kita akan dapat lebih daripada apa yang kita harapkan.

BULATKAN HATI

Sebagai hamba yang lemah, kita tiada kuasa mengetahui tentang masa depan kita.  Kita cuma mengagak dan berusaha mengaturnya dengan baik sedangkan hanya Allah yang lebih tahu.  Jadi bertanyalah pada Dia.  Mohonlah petunjuk daripada Dia.  Mengadu dan mengakulah bahawa kita sangat lemah dan tanpa petunjukNya, kita tahu hidup kita akan hanyut.  Bulatkan hati padaNya semata-mata.  Maksudnya di sini, tanpa berbelah bagi kita serahkan pilihan pada ketentuan Allah dan menerima apa jua keputusannya dengan redha.

BERDISIPLIN

Hanya anda yang mengetahui kemampuan diri sendiri.  Walaupun solat ini mudah kerana ditunaikan sekurang-kurangnya 2 rakaat sahaja, tetapi disiplin diri yang akan membantu anda melaksanakannya dengan baik.  Tetapkan masa sebaiknya 1/3 malam dan secara konsisten tunaikan solat ini.  Buat tanpa rasa jemu atau putus asa.  Tunaikanlah sehingga hati berasa yakin dan soalan anda terjawab.

BERDOA

Allah sangat dekat dengan kita.  Sangat hampir dengan hati kita.  Walau kita berbisik, hanya Allah mendengarnya.  Berdoalah sebelum menunaikan solat istikharah.  Mohon pada Allah agar kita dapat tunaikan solat dengan sempurna.  Agar Dia terima ikhtiar kita.  Cara ini akan menambahkan lagi rasa yakin dalam hati dan kita akan lebih fokus.


Itu saya kongsi serba sedikit pengalaman saya dan tips yang anda boleh manfaatkan.  Namun begitu, ia mungkin berbeza mengikut keperluan masing-masing.  Mana yang baik jadikan panduan semoga ianya akan memberi kebaikan kepada mereka yang sangat-sangat memerlukan.  

Bagaimana Karier Saya Bermula Sebagai Pengasuh

26/5/2017

Teks     :  Zureiny Zulkafly

Entri     :  24/44



Perjalanan hidup saya sebagai seorang pengasuh sesuatu yang tidak diduga sebenarnya.  Saya sendiri pun tak sangka saya upaya mengasuh anak-anak orang lain.  Khidmat asuhan menjadi rezeki yang sangat baik untuk saya.  Alhamdulillah…Allah panjangkan rezeki itu hingga ke hari ini.

Setiap perubahan itu ada titik tolaknya.  Bagaimana ia bermula?  Ketika Afrina berusia 4 tahun, hati saya sangat mendesak untuk bekerja.  Saya kasihankan hubby yang bekerja seorang diri.  Memang dia selalu yakinkan saya, dia mampu kerana itu adalah tanggungjawabnya.  Hubby tak pernah merungut apa-apa dan banyak berkorban keperluan dirinya semata-mata untuk saya dan anak.  Dia akan dahulukan kami berdua.  Walaupun kami hidup berjimat, tidak dinafikan keperluan hidup semakin meningkat dari hari ke sehari.
 
Lagipun, saya pernah bekerja sebelum berkahwin.  Pengalaman cari duit sendiri sangat jauh bezanya dengan pengalaman hidup saya bila tidak bekerja.  Memanglah saya menyimpan hasrat menjadi surirumahtangga tetapi saya juga perlu memanfaatkan diri saya.  Mungkin boleh menggunakan kebolehan yang saya ada.  Buat sesuatu yang boleh meringankan beban hubby dan meletakkan kehidupan kami pada tingkat yang lebih baik.

Namun saya buntu di mana saya harus bermula.  Soalan yang paling kerap berlegar dalam kepala saya ialah, apa yang aku nak buat?  Banyak perkara yang saya fikirkan terutamanya soal jagaan Afrina.  Berat hati ini membayangkan dia tinggal bersama orang lain kerana selama 4 tahun saya menjaga dan mengasuh Afrina dengan tangan saya sendiri.

Saya tunaikan solat istikharah, solat hajat dan dhuha.  Sebulat hati saya berserah diri semoga Allah beri saya rezeki yang membawa kebaikan untuk diri saya dan keluarga.  Walau apa pilihan Allah, saya tidak akan menolak apa-apa.  Saya juga tidak berfikir apa-apa langsung tentang nasib dan masa depan saya.  

3 hari kemudian, adik perempuan saya yang menetap di Bangi dimasukkan ke wad.  Saya dibawa ke rumahnya di Bangi kerana adik saya ini sebenarnya yang mengasuh anak-anak jiran selepas dia berhenti kerja.  Setelah dinasihatkan doktor dan faktor kesihatan, saya dipelawa olehnya untuk mengambilalih tugas sebagai pengasuh.

Dari situ saya bermula.  Semuanya dari sifar pengalaman dan pengetahuan.  Saya belajar mengasuh dengan cekap walaupun saya tidak memiliki sijil khusus dalam bidang asuhan anak-anak.  Cuma berbekalkan kesungguhan mencari rezeki, sehingga ke hari ini sudah hampir 10 tahun saya mengasuh anak-anak.  Dan saya berbangga kerana saya adalah salah seorang ibu yang bekerja di rumah (WAHM).  Syukur atas segala nikmat ini.




Friday, 26 May 2017

Nak Kerja Macam Ibu

26/5/2017

Teks    :  Zureiny Zulkafly



Sambil melenggang ala-ala Mak Limah, Afrina keluar dari dapur.  Tangan kirinya menjinjit sebuku roti Gardenia Butterscotch.  Anak-anak saya memang dilarang makan jajan (junk food) dan roti adalah snek mereka bila lapar.  Di muka pintu dapur, sudah ada si kecil setia menanti kakak.  Terkelip-kelip memandang kakak.  Tak berganjak walau seinci.

Saya perhatikan Afrina.  Saya perhatikan juga si kecil yang mengekorinya.  Bila dia bersila, si kecil yang baru berusia setahun empat bulan itu pun bersila juga menghadap kakak.  Muka penuh harapan kalaulah kakak sudi suapkan roti tu.  Memang kakak suapkan.  Terkumat-kamit mulut adik mengunyah roti.  Bila habis, kakak suap lagi bersilih ganti dengan suap ke mulutnya sendiri.

Aura Afrina dengan anak-anak asuhan saya memang kuat.  Dia pandai melayan adik-adik.  Tidak kedekut dengan makanan dan dia suka suap budak-budak ni.  Dia layan menyanyi.  Kadang-kadang dia layan main. Selalunya dia yang ‘over’!  Ada juga masa-masanya, Afrina akan pakaikan baju adik-adik selepas mereka mandi.  Itu sebabnya bila ada adik yang merajuk, setiap kali kakak pujuk mereka akan diam. 

Afrina mudah terhibur dengan gelagat adik-adik.  Sampai boleh mengekek ketawa bila ada telatah adik-adik yang mencuit hati dia.  Walaupun dia marah bila si kecil ni masuk bilik dia tapi tak lama lepas tu saya nampak adik tu dah duduk atas riba dia.  

Selalu juga budak-budak ni hilang.  Dia bawa lari masuk bilik.  Kalau kira tak cukup anak, carilah di bilik kakak.  Nampak dia melayan main lego.  Tak pun conteng kertas.  Ikut dan dialah apa yang ada.

Itulah sebabnya adik-adik sayang kakak.  Bila kakak ke sekolah, terkedek-kedek menghantar kakak sampai pintu rumah.  Bila kakak balik sekolah, riuh rendah menyambut kakak.  Kalau terjumpa kakak kat mana-mana pun, memang adik-adik ni akan jerit nama kakak.  Terutamanya yang pernah saya jaga sebelum ni.  Tak pernah lupakan kakak.  Rasanya kakak lagi glamour dari maknya!

Saya pernah tanya dia.  ”Apa cita-cita kakak?”

“Nak kerja macam ibu.”

Masa mula dengar saya krik krik juga.  Takkanlah saya nak biarkan anak saya bekerja seperti saya?  Bukannya ada masa depan yang cemerlang berbanding cita-cita lain yang lebih terjamin.  Setakat cari rezeki di rumah, cukuplah.  Sekurang-kurangnya tidak meminta dengan sesiapa.  Takkanlah nak biarkan dia terperuk dengan budak-budak sampai bila-bila?  Mulalah hati libang libu.  Rasa stress pula dengan cita-cita anak. 

Setelah berfikir panjang dan dapatkan maklumat, saya cakap dengan Afrina.

“Betul kakak nak kerja macam ibu?”  Dia mengangguk.

“Kalau macam tu, kakak habiskan Form 5.  Belajar elok-elok.  Hafal Al-Quran.  Nanti lepas habis belajar boleh ambil kursus kanak-kanak.  Kakak sambung aje kerja ibu ni.  Buat betul-betul sampai berjaya.”

“Kakak ok je.”

Pendek saja jawapannya tapi dia dah tetapkan haluannya.  Mungkin sebab dari umur 5 tahun dia dah terbiasa dengan rutin kerja saya.  Itu yang membentuk sikapnya sukakan budak-budak.  Mana dia pergi pun, ada saja budak yang dia layan.


Saya akan sentiasa mendoakan yang baik-baik untuk puteri-puteri saya ni.  Lagipun mereka adalah amanah hubby.  Memang saya kena jaga dan didik sebaiknya.  Semoga redha Allah sentiasa bersama mereka berdua sepertimana saya redha ke atas mereka.

"My Infaq"

26/5/2017

Teks    :  Zureiny Zulkafly
Foto     :  Zureiny Zulkafly


Pulang dari sekolah petang tadi, dari luar rumah saya nampak Aina tersenyum simpul memandang saya.  Di tangannya ada satu bekas plastik putih bertampal label kuning.

“Apa tu dik?”

“Teacher bagi.”

Aina hulurkan saya bekas itu.  Labelnya bertulis ‘My Infaq” Ramadhan Kareem anjuran sekolah Aina.  Matlamat program ini ialah:
  • Bertujuan memberikan pendedahan awal kepada anak kecil untuk belajar meraih pahala di bulan Ramadhan dengan bersedekah
  • Melatih anak kecil memulakan komunikasi 2 hala untuk menjayakan program ini
  • Wang yang diinfaqkan akan dikumpulkan dan diberikan  kepada golongan ibu tunggal dan anak yatim di akhir Ramadhan

Sekilas, saya teringat zaman sekolah saya dulu.  Aktiviti kutipan derma dianjurkan jika sekolah memerlukan dana untuk program tertentu.  Mulalah keliling rumah jiran kutip derma.  Paling senang, kami berbalas derma.  Katakanlah ayah si A menderma untuk saya, maka ayah saya pun akan menderma untuk si A ni.  Begitulah sampai penuh senarai. 

Masa tu memang tak kisah sangat berapa yang dapat kumpul pun asalkan penuh senarai.  Yang seronok bukan bab dapat duit tapi dapat berjalan merata dengan kawan-kawan.  Dapat kenal mak ayah kawan-kawan.  Dapat kenal adik-beradik mereka.  Bila bersembang, rupa-rupanya mereka kenal mama ayah saya.  Selepas tu, memang tak boleh nak buat perangai tak tentu arahlah sebab ramai dah kenal!
 
Untuk senarai pertama, Afrina dah sanggup nak hulurkan duit.  Bagi semangat kat adik.  Masalahnya, bila kakak masukkan duit kertas Aina tak nak.  Dia suruh juga kakak bagi duit syiling.  Agaknya bila dia nampak lubang yang ditebuk atas bekas tu, dia ingat duit syiling saja yang boleh.

Nak alihkan perhatian dia, saya suruh dia tulis nama sendiri untuk senarai kedua.  Haaa dalam gambar tu memang tulisan Aina.  Bila saya masukkan duit kertas, disuruhnya saya buka balik penutup bekas tu.  Dia nak juga duit syiling.  Pening juga saya nak fahamkan dia.  Itu memang cara seorang anak kecil berfikir.  Lurus dan jujur.  Apa yang dia faham, itulah dia.  Bukan mudah nak digantikan dengan yang lain. 

Ibu tarik nafas dalam-dalam…tenangkan diri sendiri dulu sebelum tenangkan anak.  Si kecil memang akan memberontak bila kehendaknya tidak dituruti.  Dia menganggap kita yang salah dan masa yang sama kita pun tahu dia salah.  Apa yang saya buat…

“Dik, kalau bubuh syiling nanti bekas ni berat.  Duit tercicir keluar dari lubang ni.  Duit kertas pun tak pe.  Dah penuh nanti ibu tukar syiling ye.”

Aina pandang saya bersilih ganti dengan bekas tu.  Dia bagi bekas pada saya dan sambung main.  Okey, masalah selesai dan tiada peperangan berlaku hehe

Ramadhan Datang Lagi


Teks    :  Zureiny Zulkafly


26.5.2017

Jumaat terakhir Syaaban 1438H.  

Ramadhan bakal menyusul esok hari.  In shaa Allah.  Mudah-mudahan dengan izin dan kasih sayangNya, kita semua memperolehi keberkatan dan rahmat yang berlimpah ruah.  Semoga kita juga didorong kepada setiap perkara yang Dia redha, yang mempermudahkan pengampunanNya dan memperolehi syurgaNya.

Hari ini juga sudah menjangkau 38 minggu hubby pergi.  Sudah 38 kali Jumaat.  Sudah beratus hari berlalu tanpanya.  Saya dan anak-anak seperti itu juga.  Rutin kehidupan seperti biasa.  Tiada banyak beza kerana saya tidak mengubah kebiasaan.  Mana yang baik saya teruskan. 

Ramadhan pertama tanpa hubby.  Terasa janggal tapi itulah realiti.  Saya tahu saya mampu laluinya sepertimana saya lalui hari-hari sebelum ini.  Cuma kenangan itu yang selalu membangkitkan rasa rindu.  Kadang-kadang saya jadi hanyut dalam tangisan yang panjang.  Bukan mengeluh atau menyalahkan takdir.  Bukan.  Itu bukan diri saya. 

14 kali Ramadhan. 14 kali Syawal.  Tidak semudah itu saya akan melupakan saat-saat kami berpuasa dan beraya bersama. 

Ketika sahur hubby suka makan nasi putih panas walau sekadar berlaukkan telur goreng.  Waktu berbuka hubby suka minum kopi susu dan kuih lapis (dia panggil kuih flat).  Semua itu tidak akan berulang lagi.  Walau hubby telah pergi, Ramadhan tetap datang membawa rahmat yang tersendiri.  Syukur kerana masih terpilih melaluinya meskipun keadaan sudah tidak sama lagi.

Selamat Menyambut Ramadhan 1438H.  Semoga kita sama-sama memperolehi rahmat dan pengampunan.  Semoga Allah bantu kita semua menuju SyurgaNya.  Amiin…

Thursday, 25 May 2017

Kura-kura & Arnab



25/5/2017

Teks    :  Zureiny Zulkafly
Foto     :  Google


Pagi ini saya dikejutkan dengan senarai tajuk salah seorang ‘ahli jemaah’ grup penulisan yang saya sertai.  Padahal sebelum ni dia memang ketinggalan.  Sempat lagi dia mesej saya secara personal bertanya cara saya tulis blog saya.  

Sekali bila baca senarai dia, macam tergamamlah juga.  Dalam diam, dia membakar semangat saya.  Dia susun kronologi penulisannya dengan teratur.  Yang tinggal cuma hal-hal teknikal saja. 

Itu sebab saya masih percaya kisah kura-kura dan arnab.  Analoginya tepat dengan fitrah manusia.  Seseorang yang bermula perlahan tetapi berterusan akhirnya sampai ke garisan penamat.  Dia akan dapat apa yang dia telah usahakan.  

Berbanding seseorang yang tergopoh-gapah.  Serba serbi nak cepat tetapi bila tidak dapat kekalkan momentum, memang akan ketinggalan juga.  Silap haribulan memang tak selesai apa yang telah dimulakan.  Rasa-rasa macam kena batang hidung sendiri hehehe



Image result for arnab dan kura kura


Bukan mudah mengubah kebiasaan kepada sesuatu yang luar biasa.  Bagi saya memang luar biasalah bila kena ‘update’ entri sekurang-kurangnya 2 entri dalam sehari untuk mencukupkan 44 entri dalam masa 20 hari.  Nampak macam senang kan?  Itu sebab saya mendaftar kelas penulisan blog ni sebab saya rasa mudah.  Setakat 2 entri aje kot.

Hah!  Bila dapat tugasan, nak tulis suku entri pun terkial-kial.  Serba-serbi tak kena.  Kepala ni berselirat macam-macam idea sampai tak tahu nak mula yang mana dulu, nak tulis apa.  Baca arahan daripada cikgu lagilah berpinar biji mata.  Memandangkan kelas ni online, jadi kelas kami semuanya menggunakan ‘whatsapp’ dan ‘facebook’.  Tertinggal satu status daripada cikgu, memang tergelincir trek la jawabnya. 

Saya ni banyak kekangan masa.  Dengan anak-anak asuhan dari pagi sampai ke petang.  Dengan anak-anak sendiri yang saya perlu uruskan.  Memang rasa tak ada ruang masa untuk saya menulis.  

Cikgu dah cakap sebelum ni.  Ayatnya mudah saja.  Teruskan menulis dan cari masa.  Bab cari masa tu yang cikgu nak saya usahakan sendiri.  Atur mengikut keperluan saya.  Hari ni cikgu pesan lagi, lari laju lagi Zu.  Mana taknya, saya masih ada hutang 20 entri sebelum tarikh akhir.  Sempat ke ni??

Saya harap saya bukan arnab yang setakat comel melompat-lompat sana sini dan menghiburkan hati orang sekeliling.  Kalau jadi kura-kura pun payah juga sebab kami ada tarikh akhir.  Bergerak tapi tak siap-siap pun tak akan memberi makna apa-apa.  Saya juga harap saya dapat kekalkan tempo penulisan saya ni.  Bukan sekadar sampai ke tarikh akhir tapi kekal menulis sampai bila-bila.  

Panduan Memilih Pengasuh: Matlamat



Teks     :  Zureiny Zulkafly

Entri     :  23/44


Bismillahirrahmanirrahim...

Saya sambung lagi  perkongsian panduan untuk ibu-ibu memilih pengasuh yang baik untuk bayi dan anak-anak anda.  Sebelum ini saya telah menghuraikan tentang penting selidik latar belakang pengasuh kerana dari situ kita boleh mengenalpasiti kredibiliti dan reputasinya sebagai pengasuh.


TETAPKAN MATLAMAT

Apa yang dimaksudkan dengan matlamat ini ialah pilihan kaedah penjagaan bayi anda sebaik anda habis pantang dan akan mula bekerja.  Perkara ini perlu difikirkan, dibincangkan dan ditetapkan bersama suami sebaik-baiknya sebelum anda melahirkan.  Ada beberapa kaedah penjagaan bayi yang boleh anda pertimbangkan.

Pengasuh (Babysitter)

Seseorang yang mengambil upah mengasuh bayi sejak berusia 2 bulan sehinggalah 4 tahun atau setelah kanak-kanak itu bersekolah.  Kebanyakan pengasuh adalah surirumah yang bekerja di rumah sendiri.  

Pilihan ini paling popular dan sentiasa ada permintaannya.  Pengasuh sangat diyakini oleh ibu bapa kerana sebagai ibu, mereka berpengalaman menjaga dan mengasuh anak sendiri.  Pengalaman itu mereka gunakan untuk mengasuh anak-anak orang lain pula.  Biasanya pengasuh mengambil jagaan yang agak kecil iaitu 2 atau 3 orang.

Pengasuh ini terdiri daripada seseorang yang anda kenali ataupun tidak.  Boleh jadi adik-beradik, saudara-mara, kenalan ataupun jiran itu terpulang kepada pilihan anda dan kriteria yang telah anda tetapkan. 

Taman Asuhan Kanak-kanak (TASKA)

Taman asuhan terbahagi kepada 2:-

            Taman asuhan di rumah yang mengambil lebih daripada 4 orang dan kurang daripada 10 orang kanak-kanak dalam satu-satu premis yang kebiasaannya adalah rumah.  Pengasuh akan mengikuti kursus yang disediakan oleh Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).
            Taman asuhan di institusi yang mengambil lebih daripada 10 orang kanak-kanak dan berdaftar dengan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).  Lebih kemas dan efektif kerana perlu mengikuti peraturan yang ditetapkan.  Sekiranya ibu berminat memilih kaedah jagaan begini, perlu dipastikan nisbah pengasuh dan kanak-kanak adalah ideal memandangkan kanak-kanak adalah ramai dan pengasuh sukar memberi tumpuan sepenuhnya kepada bayi anda.

Datuk atau Nenek

Ada juga ibu bapa yang lebih selesa meletakkan anak-anak di bawah jagaan ibu bapa kepada ibu atau bapa anak-anak iaitu datuk atau nenek kepada anak-anak itu tadi.  Pada pendapat saya, ia tidaklah sesuai digelar pengasuh kerana datuk dan nenek akan sanggup menjaga cucu mereka sebaiknya.  Jika ini pilihan anda, pastikan ia tidak mengganggu rutin seharian orang tua anda contohnya jika mereka berminat mengikuti kelas-kelas agama atau kuliah.

Walau apa pun kaedahnya, anda perlu tetapkan matlamat terlebih dahulu.  Ini membantu anda mengecilkan skop pencarian dan memudahkan anda membuat keputusan.  Tidaklah anda tercari-cari tanpa hala tuju yang mungkin menyebabkan anda membuang masa semata-mata mencari pengasuh.  Boleh juga terjadi kes pengasuh 'tangkap muat'.  Tumpu pada satu-satu kaedah penjagaan dan anda dapat membuat pilihan yang terbaik untuk proses pendidikan awal bayi anda.