Monday, 29 May 2017

10 Ciri Pengasuh Yang Baik

Teks    :  Zureiny Zulkafly

Foto    :  Google

Entri    :  25/44


Sebagai ibu yang berkerjaya, tidak dapat dinafikan pengasuh yang baik adalah isu kritikal dalam memastikan bayi anda mendapat jagaan dan asuhan yang bersesuaian dengan proses perkembangan mereka. 

Terdapat kriteria-kriteria tertentu yang boleh dijadikan asas panduan ketika anda mula merancang mencari pengasuh untuk bayi anda.

PENGALAMAN

Usahalah sebaik mungkin untuk mendapatkan pengasuh yang ada pengalaman.  Sekurang-kurangnya setahun.  Walaupun hanya bekerja di rumah, seseorang pengasuh mempunyai pengalaman yang tersendiri.  Mereka akan sentiasa mempertingkatkan khidmat asuhan dari masa ke masa dan membina reputasi yang baik. 

Biasanya, mereka bermula daripada mengasuh dan mendidik anak-anak sendiri sehinggalah meluaskan pengetahuan itu kepada anak-anak asuhan.  Mereka sangat memahami pendidikan awal kanak-kanak dan peka dengan penjagaan bayi.  Kebanyakan pengasuh begini tidak lokek berkongsi ilmu atau pengalaman terutamanya untuk ibu-ibu muda yang baru pertama kali mempunyai anak.

PERWATAKAN MENARIK

Pengasuh yang baik sangat mudah didekati dan dikenali ramai.  Bersikap terbuka dan mesra.  Mereka memiliki aura positif yang mampu menarik minat anak-anak anda terhadapnya dan membuatkan mereka selesa.  Sekaligus mengukuhkan keyakinan ibu bapa terhadap cara pengasuhannya.  Walau pertama kali berjumpa, pengasuh ini akan berusaha membuatkan si anak ini tadi rasa selamat bersamanya dan anda juga bersedia meninggalkan bayi bersama pengasuh.

KONSISTEN DAN BERDISIPLIN

Seorang yang tekun dalam tugasnya.  Ciri utama seorang ibu bapa boleh perhatikan ialah masa.  Pengasuh yang konsisten akan cukup menjaga disiplin masanya.  Seperti saya, dari dulu sampai sekarang waktu bertugas saya bermula 7 pagi hinggalah 7 petang.  Saya bekerja 5 hari seminggu dan cuti hanyalah mengikut cuti negeri atau cuti umum.  Saya tidak akan cuti sesuka hati tanpa memaklumkan kepada ibu bapa sekurang-kurangnya seminggu kecuali yang melibatkan kecemasan atau kematian.  Disiplin begini akan memudahkan ibu bapa mengatur masa menghantar anak setiap hari sebelum ke tempat kerja.

KOMITED DAN CEKAP

Ciri ini bermaksud dia tahu tugas sebenar seorang pengasuh.  Cekap dalam tugas di mana dia mampu menguruskan anak-anak anda walau apa keadaan sekalipun.  Dia mahir dan berdikari bagi memastikan anak anda selamat di dalam jagaannya.  Biasanya pengasuh yang baik tidak akan mengganggu anda dengan hal yang remeh temeh.

AKHLAK YANG BAIK

Carilah pengasuh yang baik akhlak dan agamanya.  Ini kerana dari bayi, anak-anak akan membesar di bawah asuhannya.  Perhatikan percakapan pengasuh.  Bahasa yang digunakan sama ada baik atau tidak.  Kita harus faham, pengasuh adalah pengganti ibu yang terpaksa keluar bekerja mencari rezeki.  Kata-kata yang baik dari seorang pengasuh akan menjadi doa.  Lagipun, akhlak yang baik ini akan membentuk peribadi yang baik juga untuk anak-anak anda.

FAHAM PENDIDIKAN AWAL KANAK-KANAK (PAKK)

Khidmat asuhan bukan sekadar mencari duit poket membantu keluarga.  Pengasuh yang baik tahu tentang penjagaan bayi yang betul dan pendidikan awal kanak-kanak http://kpakkiece.blogspot.my/p/pengenalan-pendidikan-awal-kanak-kanak.html  

PAKK adalah pendidikan awal yang diberikan seawal usia selepas lahir hinggalah 8 tahun.  Sambil mengasuh, pengasuh ini akan mendidik asas-asas penting contohnya akhlak yang baik, bercakap, mengenal dan melatih membuat kerja-kerja ringan seperti simpan baju di dalam beg.

KEUPAYAAN MENJAGA & MENGASUH

Peka dengan perkembangan sosial, emosi dan intelektual anak-anak seiring dengan pertambahan usia kanak-kanak.  Rajin mengadakan aktiviti bersama mereka dan bersedia mengajar asas-asas doa, membaca, mengenal huruf dan warna.  Selalunya saya akan mengajar secara santai.  Mengenal warna bila saya pakaikan baju mereka.  Menghafal nombor bila saya ajak mereka main ‘Hide & Seek’.  Mengenal ABC sambil saya menyanyi dan saya juga menghafal lagu-lagu kegemaran kanak-kanak.

BERTOLAK-ANSUR

Ciri ini bermaksud pengasuh yang baik mudah dibawa berbincang dan bertolak-ansur sekiranya anda berdepan dengan kesulitan yang di luar jangkaan.  Dia akan menggunakan budi bicaranya untuk memudahkan urusan anda.  Sikap toleransi begini adalah untuk mewujudkan persefahaman antara pengasuh dan ibu bapa. 

Begitu juga ibu bapa harus bekerjasama sekiranya pengasuh bayi atau anak-anak anda bersedia bertokak-ansur demi kebaikan kedua-dua belah pihak

SIFAR KEMALANGAN

Malang memang tidak berbau tetapi pengasuh yang baik akan bersedia dan mementingkan isu keselamatan anak-anak.  Bila ke rumah pengasuh, perhatian keadaan sekeliling.  Seperti saya, bayi akan ditempatkan di dalam babycot di bilik yang berasingan.  Kanak-kanak berumur setahun ke atas akan tidur di ruang tamu kerana rumah saya memang lapang tanpa perabot yang besar.  Anak-anak bebas bermain tanpa risau terlanggar bucu meja atau almari.

KOMUNIKASI 2 HALA YANG EFEKTIF

Sentiasa memastikan komunikasi efektif dengan ibu bapa.  Memaklumkan apa-apa hal yang perlu.  Bersedia menjawab atas setiap pertanyaan yang melibatkan isu anak-anak.  Sepertimana yang saya amalkan, telefon saya memang dihidupkan sepanjang masa dan saya bersedia menerima panggilan atau pesanan daripada ibu bapa jika apa-apa urusan melibatkan anak mereka.


10 ciri ini boleh dijadikan panduan asas untuk anda mengenali seorang pengasuh yang baik.  Ada banyak lagi ciri yang boleh anda tentukan untuk mengukur seorang pengasuh itu baik atau tidak bergantung pada penilaian anda terhadap seseorang.  

Maklumat-maklumat sebegini anda boleh dapatkan daripada jiran sekeliling ataupun insan yang mencadangkan pengasuh itu kepada anda.  Gunakan waktu suaikenal dengan pengasuh sebaik mungkin. Tanya sebanyak mana soalan berkaitan. Pengasuh yang baik dan berpengalaman biasanya akan sentiasa terbuka dengan sebarang perbincangan.

Semoga berjaya dan dipermudahkan segala urusan anda.  Semoga anak-anak kita berada di dalam asuhan mereka yang terbaik.

Amiin...


Related image

No comments:

Post a comment