Thursday, 18 May 2017

Panduan Memilih Pengasuh: Selidik Latarbelakang





Teks    :  Zureiny Zulkafly

Entri     :  21/44

Foto     :  Google


Bismillahirrahmanirrahim...

Kisah semalam tersemat kemas di hati.  Ada hikmah yang perlu kita fikir.  Ada ilmu yang perlu kita selidiki.  Bila terpandang wajah anak-anak asuhan saya pagi ini, betapa saya hargai mereka ada di sisi saya.  Bila melihat wajah anak-anak saya pula, lagilah saya bersyukur kerana kami masih memiliki satu sama lain.  Walau sunyi tanpa hubby, saya redha lalui ujian ini sehingga akhir hayat saya.

Related imageWalau kisah semalam sudah menjadi sejarah, ia memberi kesan yang hebat kepada ibu muda tersebut.  Minda sedarnya melihat dan tahu apa yang terjadi.  Sedangkan minda separa sedar yang lebih melibatkan emosi, sedaya-upaya meyakinkan hati bahawa bayinya masih ada.  Bila kedua-dua minda ini tidak seiringan, berlakulah kecelaruan emosi pada ibu muda tersebut.

Saya bersedia berkongsi nasihat berdasarkan pengalaman saya sebagai pengasuh.  Saya pecahkan kepada beberapa siri agar setiap topik saya dapat jelaskan dengan terperinci.  Semoga sedikit ilmu ini akan menjadi jalan keluar terutamanya kepada ibu-ibu muda yang di dalam dilema untuk menghantar anak ke pengasuh buat pertama kali. 

SELIDIK LATAR BELAKANG PENGASUH

Bukan masa nak kahwin saja kita bersungguh selidik siapa bakal suami.  Masa nak hantar ke pengasuh pun, seorang ibu kena selidik siapa bakal pengasuh anaknya.  Kita kena faham anak kita yang masih kecil akan diletakkan di bawah jagaan seseorang yang asing baginya.  Biasanya pengasuh akan menjaga dan mendidik anak dari semuda usia 2 @ 3 bulan sehinggalah ke 3 @ 4 tahun.  Bermula umur 5 tahun selalunya kanak-kanak sudah ke tadika.

Sediakan senarai pilihan.  Tentukan sama ada pengasuh berdekatan dengan rumah atau tempat kerja. Hubungi bakal pengasuh dan bertanya apa sahaja soalan tentang cara asuhannya.  Jangan takut atau malu untuk bertanya.  Kumpul maklumat sebanyak yang boleh termasuklah berapa lama pengalaman dia mengasuh.

Minta untuk datang ke tempatnya dan lihat sendiri tempat asuhan.  Selalunya proses ini memberi sedikit gambaran tentang bakal pengasuh anak anda.  Lihat penampilan pengasuh atau kebersihan sekeliling.  Lihat aspek keselamatan.  Perhatikan reaksi anak sama ada dia suka atau tidak.  Percaya pada naluri seorang ibu.  Anda akan dapat membuat keputusan yang tepat.

Saya sudah biasa dengan proses ini.  Selalunya ibu-ibu yang menghubungi saya adalah atas cadangan rakan-rakan yang pernah mendapatkan khidmat asuhan saya.  Saya sentiasa bersedia menjawab soalan di telefon.  Saya juga terima dengan lapang dada jika mereka ingin datang ke rumah saya.  

Ambil kesempatan ini untuk berkenalan dan bertanya apa-apa juga kemusykilan tentang soal asuhan.  Setelah berbual seketika, saya dapat mengagak kedudukan pasangan ini tadi sama ada bersedia menghantar anak kepada saya atau sebaliknya.  Bukan psikik ye tapi ini berdasarkan pengalaman.

Biasanya saya akan ambil dan dukung anak ini.  Pertama, saya ingin melihat reaksi ibu ayah anak tadi sama ada bersedia melepaskannya kepada saya atau tidak.  Ini isu kepercayaan.  Kedua, reaksi anak kecil ini terhadap saya.  Ini pula isu kasih sayang.  Percayalah, bayi boleh merasa keserasian dia dengan seseorang.

Sebagai ibu yang pertama kali menghantar anak akan timbul banyak keraguan dalam benaknya.  Rasa sangsi atau risau itu perkara biasa.  Selidik latar belakang bukan bermaksud kita bertanya soalan yang tidak perlu terutama soal peribadi.  Fokus pada apa yang kita cari.  Seorang pengasuh yang baik dan komited akan bersedia dengan maklumat yang sepatutnya.

Jika pengasuh adalah atas cadangan seseorang yang anda kenal, jangan langkau proses yang penting ini.  Cari maklumat yang tepat dengan bertanya sendiri kepada pengasuh tersebut.  Dan anda beruntung kerana sudah ada sumber rujukan dengan kenalan tadi.


Langkah pertama sudah tersedia.  In shaa Allah saya akan menyusul dengan tips yang lain pula ye!

No comments:

Post a comment