Teks :
Zureiny Zulkafly
Entri :
29/44
Foto :
Google
Bismillahirrahmanirrahim….
Perbualan 1
“Kak
long…saya nak tanya. Kak long guna
buaian tak untuk baby?”
“Tengok
keadaan. Kenapa? Baby kamu tidur dalam buaian ke?”
“Tak. Saya tanya je sebab ingatkan kak long guna
buaian.”
“Kak
long ni jarang sangat guna buaian.
Selalunya baby ni tidur dalam babycot.”
Ok. Perbualan tamat di situ dan dia tidak risau lagi
bayinya akan tidur di dalam buaian.
Nampak air mukanya yang lega sedangkan sebelum bertanya, jelas di
wajahnya satu kebimbangan.
Perbualan 2
Soalan
sama seperti di atas cuma bezanya dia tidurkan bayi di dalam buaian.
“Macam
mana ni kak long. Baby saya memang tidur
dalam buaian.”
“Tak
apa. Kak long akan tidurkan baby ni
dalam babycot. Kak long jarang guna
buaian.”
“Boleh
ke Kak long? Tak susahkan ke? Kalau tak, saya bawa buaian anak saya ke
sini.”
“Tak
perlu. Kak long dah biasa tidurkan
anak-anak tak guna buaian. Bukan susah
pun.”
Biasanya
soalan ini akan ditanya oleh ibu yang pertama kali menghantar bayi di bawah
asuhan saya. Bagi ibu-ibu yang sudah
biasa dengan saya, mereka faham cara saya bekerja. Di rumah saya pernah ada 2 buaian yang
diberikan oleh ibu anak-anak asuhan terdahulu.
Kalau tidak silapnya 10 tahun yang lepas. Dan hari ini, rumah saya memang tiada buaian
bayi.
Kita
selalu fikir penggunaan buaian ini bertujuan memudahkan kerja-kerja
pengasuh. Saya tidak nafikan semua
itu. Cuma berbezanya, saya mengasuh
sepenuh masa. Saya dibayar untuk
mengasuh dan memang tumpuan saya sepenuhnya adalah menguruskan anak-anak asuhan
ini sepertimana saya menguruskan anak-anak saya sendiri. Malah kedua anak perempuan saya tidak pernah
tidur di dalam buaian.
Mungkin
juga saya yang gayat dengan buaian, banyak ‘Jangan’ yang selalu saya fikirkan
bila menggunakan buaian untuk bayi.
JANGAN SUSUKAN
BAYI DI DALAM BUAIAN
Ini
memang kepantangan yang pertama. Seperti
yang diketahui, injap bayi di bawah 4 bulan adalah belum matang dan dia tidak
akan mampu menyusu sendiri. Jika
menyusukan bayi di dalam buaian, sudah tentulah botol akan dibiarkan dengan
disokong oleh bantal atau kain. Bayi
tidak dapat menolak botol susu jika dia merasakan susu sudah penuh di dalam
mulut. Sudahnya bila dia bernafas, susu
akan termasuk ke dalam paru-paru dan tersedak.
Boleh jadi dia akan lemas dan berhenti bernafas.
Ada
juga bayi yang akan tertidur semasa menyusu di dalam buaian. Sekiranya susu sudah habis, bayi hanya akan
menghisap udara. Bayangkan jika bayi
terlena dan susu masih berbaki di dalam botol.
Bila dia tersedut susu, ianya akan masuk ke paru-paru dan menghalang
pernafasan. Bayi boleh tersedak dan
lemas.
JANGAN ALAS
BANTAL
Cuba
kita fikirkan kembali, perlukah mengalas bantal di bawah kepala bayi dengan
tujuan meninggikan kepalanya? Saya
pernah melalui pengalaman menidurkan bayi yang sebelum ini di dalam buaian. Pada pandangan saya, ia tidak upaya
meninggikan kepala bayi sehingga 45-60 darjah kerana kain buaian yang lembut
akan membuatkan badan bayi melengkung.
Sebaliknya dagu akan menjadi rapat dengan dada hingga membuatkan bayi
tidak selesa.
Lagipun
bayi tidak akan duduk diam di dalam buaian.
Setiap kali bergerak bantal turut bergerak dan jangan terkejut jika anda
lihat bantal sudah berada di atas mukanya!
Bagi bayi yang sudah pandai meniarap, meletakkan bantal boleh
mengakibatkan risiko tersembam kerana dia tidak mampu lagi membetulkan posisi
badan bertambah lagi buaian akan sentiasa bergoyang bila dia bergerak.
JANGAN HAYUN
BUAIAN
Saya
pernah lihat orang menghayun bayi dalam buaian seperti menghayun buai di taman
kanak-kanak. Mungkin ketika itu saya
kecil, jadi saya tidak faham kesannya.
Secara teori dan apa yang sebenarnya, bayi sangat suka dibuai untuk
cepat tidur. Mereka boleh tidur dengan
lama jika buaian itu dihayun dengan lembut dan berulang. Itulah sebabnya versi buaian moden adalah spring bermotor lengkap dengan pengatur masa.
Jika buaian dihayun dengan laju atau kuat, risiko kecederaan otak yang bakal bayi
alami adalah sama seperti kecederaan akibat penderaan. Sebenarnya, otak bayi adalah terapung di dalam
tengkorak. Jika bayi dihayun dengan
kuat, otak akan bergerak pada hala yang bertentangan dengan tengkorak. Kesan daripada itu, saluran darah yang
bersambung pada permukaan otak ke tengkorak pecah menghasilkan pendarahan otak
subdural (subdural haemorrhage).
JANGAN TINGGIKAN
BUAIAN
Pastikan
anda mengikat spring buaian dengan ketat untuk mengelakkan risiko spring
terputus atau tercabut. Begitu juga
dengan besi penyangkut kain yang akan disangkut pada spring tadi. Ikat dengan kemas kerana besi seperti ini
mudah tertanggal dan mungkin menghempap bayi anda.
Bila
bayi diletakkan di dalam buaian, sila pastikan jarak anggotanya yang paling
berat (biasanya punggung) berada dalam anggaran sejengkal dari lantai. Mengapa begitu? Ini untuk mengurangkan risiko bayi terhempas
sekiranya buaian putus atau besi penyangkut kain tercabut. Simpulkan kain buaian di hujung kaki bayi dan
alaskan lantai dengan tilam sebagai langkah keselamatan.
JANGAN BIARKAN
BUAIAN DIHAYUN OLEH KANAK-KANAK
Seeloknya
letak bayi yang tidur di dalam buaian ini di tempat yang selamat dan jauh dari
kanak-kanak lain. Lebih baik sekiranya
di dalam bilik. Ini mengelakkan insiden
buaian akan dilanggar ataupun dihayun dengan laju oleh kanak-kanak lain. Antara risiko yang berlaku ialah buaian akan
terlanggar dinding ataupun jatuh kerana dipanjat oleh kanak-kanak lain. Gantung loceng pada buaian untuk memudahkan anda mengesan sekiranya ada pergerakan yang berbeza daripada biasa.
Apa
yang saya kongsikan ini bukanlah untuk mengatakan bahawa buaian itu lebih
membawa kemudaratan. Setiap perkara yang
kita lakukan, jika tepat dan kena caranya akan memberi banyak kebaikan. Sesuatu itu juga tidak akan menjadi salah jika kita ada pengetahuan tentangnya. Sama ada salah atau betul menggunakan buaian untuk bayi anda, bergantung sejauh mana anda menitikberatkan keselamatannya.
No comments:
Post a comment