Saturday, 2 September 2017

5 Peringkat Emosi Kesedihan (Grief) Ketika Berhadapan Kehilangan

Teks       :  Zureiny Zulkafly

Entri        :  39/44

Foto        :  Google

Bismillahirrahmanirrahim…

Sewaktu saya mengulang tengok siri drama Korea ‘My Love From The Star’ baru-baru ini, saya tertarik dengan kata-kata watak Do Min Joon ketika menyampaikan kuliah kepada pelajarnya.  Saya salin kata-kata tersebut dalam buku nota.  Dengan kelapangan masa yang saya ada, saya mula membuat pencarian di google.  Saya membaca artikel berkaitan.  Saya hadam maklumat yang saya dapat dan saya nilaikan semula dengan pengalaman hidup saya sendiri.

Menurut Dr Kubler-Ross, terdapat 5 peringkat emosi kesedihan (grief) terhadap kehilangan seseorang yang kita sayang:

1.      Penafian (Denial)
2.      Kemarahan (Anger)
3.      Tawar-menawar (Bargaining)
4.      Kemurungan (Depression)
5.      Penerimaan (Acceptance)

Dalam istilah kaunseling dan psikologi, tekanan yang dilalui akibat kehilangan ini dinamakan ‘grief’.  Ia merupakan rasa duka yang dialami individu akibat kehilangan seseorang yang disayang kerana kematian.  Dia akan merasa pedih, kosong, sedih, rindu dan sunyi.  Itu adalah keadaan yang normal.  Jika dia menolak untuk melalui tempoh ‘grief’ ini, itu adalah sesuatu yang di luar kebiasaan.

Kemampuan seseorang itu berhadapan dan menangani ujian kehilangan bergantung kepada keimanan dan keyakinan pada Allah, pengalaman hidup, personaliti, persekitaran dan bagaimana insan tersayang pergi meninggalkannya.  Contohnya kematian mengejut atau kemalangan negeri ada kalanya meninggalkan trauma kepada keluarga.  Berbanding kematian biasa dan seolah-olah bersedia, membantu ahli keluarga ini menjadi redha dan sabar.

Sejujurnya, keupayaan menyembuhkan hati disebabkan kehilangan ini berlaku secara semulajadi dengan kemahuan dan kefahaman empunya badan sendiri.  Boleh jadi lambat atau cepat bergantung kepada pilihannya. 

PENAFIAN
Ini adalah perasaan terawal yang hadir dalam hati di saat kita berhadapan dengan kehilangan seseorang yang kita sayang.  Apatah lagi jika pemergiannya di hadapan mata sendiri seperti yang saya lalui.  Pada saya, penafian bukan bermaksud menolak takdir tetapi perasaan halus yang mengganggu emosi.  Rasa dunia tidak bermakna, hilang punca ataupun keseorangan.  Kita akan mula berfikir bagaimana untuk teruskan hidup setelah dia tiada.  Kalau kita boleh hidup sekalipun, kenapa kita perlu?  Bagaimana dengan anak-anak?

Soalan-soalan ini akan muncul dalam fikiran sebagai proses awal untuk kita menerima sesuatu kehilangan.  Walaupun kita redha, perasaan halus ini akan tetap mengganggu.  Ketika inilah, ia sangat bergantung kepada kekuatan iman untuk menerima takdir Ilahi.  Lama-kelamaan, rasa penafian itu akan hilang dan kita semakin kuat untuk meneruskan kehidupan.

KEMARAHAN
Marah adalah kelakuan normal bila kita hilang sesuatu.  Pengurusan kemarahan pula adalah proses utama dalam ikhtiar menghadapi takdir itu walaupun ia seakan-akan tiada penghujung.  Marah ini bukan setakat diri sendiri, keluarga, sahabat handai atau kenalan malah ada yang hilang punca dan iman sehingga pada satu tahap kita sanggup bertanya, “Mengapa aku diuji begini?  Apa salah aku?  Apa dosa aku?”

Seingat saya, saya tidak pernah marah atau menyalahkan takdir atas kehilangan hubby.  Mungkin kerana pada peringkat penafian, saya tetapkan iman dan fokus pada apa yang sedang berlaku.  Saya tidak hanyut dengan melayan perasaan yang bukan-bukan.  Saya selesaikan urusan hubby dengan sebaik-baiknya.

Sebaliknya saya lalui proses kemarahan ini bersama Aina.  Sewaktu hubby pergi, Aina baru berusia 4 tahun.  Umur seorang anak kecil yang sedang bermanja dengan si ayah.  Umur seorang anak yang tidak faham tentang kematian dan kehilangan.  Atas sebab itu, Aina melepaskan kemarahannya pada saya.  Mula bercakap dengan suara yang tinggi.  Membentak tanpa sebab.  Menangis tidak tentu masa.  Dia terlalu kecil untuk mengawal rasa marah akibat kehilangan ayahnya.


TAWAR-MENAWAR
Sebelum kehilangan, ia seperti kita sanggup melakukan apa sahaja asalkan orang kesayangan kekal di sisi.  Bertambah pula kita menjaganya ketika sakit.  Kita merayu.  Kita berdoa sesungguh hati.  Berharap agar dipenuhi permintaan itu.  “Ya Allah, lindungilah suamiku.  Jika Kau panjangkan umurnya, aku sanggup menjaganya.”  Ketika itulah proses ‘tawar-menawar’ itu berlaku.  Jika itu…jika ini.  Macam-macam yang kita tawarkan.  Macam-macam yang kita janjikan.  

Sebaliknya, kehilangan itu tetap terjadi.  Ketika inilah ‘tawar-menawar’ bertukar kepada perdamaian sementara (truce).  “Katakanlah aku setuju dengan rawatan ni, suami aku akan sihat semula.  Tapi kalau semua tu sia-sia?”.  Manusia memang mudah hilang punca dan hidup dengan kenyataan-kenyataan seperti ‘Kalaulah…’ atau ‘Katakanlah…’

Kita mahu hidup dikembalikan seperti asal.  Mahu yang tersayang kekal di sisi.  Mahu kembali ke titik awal di mana penyakit dapat dikesan lebih cepat, menerima atau menolak rawatan yang sepatutnya – kalaulah, kalaulah, kalaulah!  Dalam peringkat ini, seseorang sudah boleh menerima kemungkinan dia akan kehilangan tetapi jika berlaku sebaliknya, dia boleh juga dihantui rasa bersalah dan akan mengganggu proses untuk sembuh dari kesedihan.  

KEMURUNGAN
Kehilangan orang yang tersayang adalah satu keadaan yang sangat menyedihkan dan kemuraman atau kemurungan adalah proses biasa untuk melalui kesedihan ini.  Memang peringkat yang sangat kritikal kerana rasa kosong itu akan membuatkan kesedihan masuk semakin jauh ke dalam hidup lebih daripada apa yang kita bayangkan. 

Kemurungan ketika ini bukanlah masalah mental tetapi respon yang wajar untuk berdepan dengan sesuatu kehilangan yang besar.  Jika kesedihan adalah salah satu penyembuhan hati maka kemurungan adalah satu daripada cara utama untuk melaluinya.

Saya akui saya mengalami kemurungan sewaktu saya dalam iddah.  Saya hilang selera kerana apa yang saya telan seakan pasir bila sampai di tekak saya.  Badan saya kurus kerana berat badan turun mendadak.  Saya jatuh sakit dan mengambil masa yang lama untuk sembuh.  Bukannya saya menurut kata hati tapi saya tidak boleh menolak keadaan itu berlaku pada diri saya.  Namun begitu, kemurungan saya hilang secara perlahan-lahan seiring dengan peredaran masa.

PENERIMAAN
Jangan salahertikan penerimaan dengan keadaan ‘Saya ok’ atau ‘Saya tak apa-apa’.  Ia sebenarnya membawa makna yang sangat berbeza.  Adakalanya ‘Saya ok’ bermaksud ‘Saya berdepan dengan kemelut jiwa saya.”  Sedangkan penerimaan bererti menerima sepenuhnya bahawa secara fizikal, dia sudah tiada lagi.  Tidak akan kembali.  Seterusnya, hidup kita akan berubah dan berbeza.

Kebiasaannya, pada peringkat awal kita akan sedaya upaya mengekalkan apa yang sedia ada.  Seolah-olah mengenang kebiasaan hidup bersamanya.  Namun lama kelamaan, semakin hari berlalu kita akan mula faham semuanya tidak akan sama.  Banyak perkara yang perlu disusun semula.  Banyak peranan yang boleh dibahagi agar kita tidak terbeban dengan tanggungjawab yang berat.  Banyak peluang hidup yang boleh kita nikmati.  Luangkan masa dengan bercuti.  Lakukan sesuatu yang kita minat tetapi tertangguh selama ini.  Lapangkan hati untuk mengenali kawan-kawan baru.

Adakah saya melalui 5 proses tersebut ketika mengatasi kesedihan saya?

Ya, secara teorinya tidak dinafikan saya melalui proses-proses tersebut.  Cuma ketika itu saya tidak tahu ia adalah proses normal bagi seseorang yang berhadapan dengan  kesedihan akibat kehilangan orang tersayang.  Apabila saya membaca dan menyesuaikannya dengan pengalaman saya, barulah saya faham apa yang sedang saya lalui. 

Beruntungnya saya ialah saya dapat melepasi peringkat-peringkat emosi ini dengan mudah kerana di saat takdir itu terjadi, saya tidak bersoaljawab dengan ketentuan Allah.  Saya terima sepenuh hati apa yang terjadi. Walaupun bersedih, saya tetap lalui hidup saya sebaik mungkin kerana peluang untuk bernafas di bumi Allah ini harus saya nikmati bukan ditangisi.  Ada amanah yang perlu saya tunaikan.  Kerana itu saya cepat bangkit untuk meneruskan hidup yang lebih baik bersama anak-anak.

Menafikan takdir bukan sifat seorang mukmin.  Menyalahkan ketentuan bukan sifat seorang Islam yang mengakui bahawaTiada Tuhan Melainkan Allah.  Dalam setiap ujian itu ada ilmu dan didikan yang Allah ingin berikan kepada kita.  Terpulang sejauh mana kita sanggup belajar memahami hikmah di sebalik sebuah takdir.  Semakin berat sesuatu ujian itu, semakin hebat kita bersabar atas ujian itu, semakin besar jugalah ganjaran yang bakal kita terima nanti.  In shaa Allah…


1 comment:

  1. Saya sedang melaluinya.Suami pergi akibat dengg pada 2018.Tetiba saja.Allahu semoga terus kuat bersama anak2.

    ReplyDelete