Sunday, 31 December 2017

Memaaf dan Melupakan

Teks:  Zureiny Zulkafly

Foto:  Google


Image result for pexels forgive


MEMAAF DAN MELUPAKAN

Memaafkan seseorang itu mudah tetapi tidak semudah itu untuk melupakan.  Apatah lagi bila merasakan diri sendiri berada di pihak yang benar.  Maknanya kemaafan itu bukanlah sesuatu yang tulus dan ikhlas selagimana kita tidak melupakannya.

1.  Hati lebih tenang
Saat saya memaafkan diri sendiri seperti mengalirkan satu aura yang menenangkan hati saya.  Saya lebih rileks dan menerima sepenuhnya siapa diri saya.  Melupakan bukan bermaksud saya mengambil mudah soal dosa atau kesalahan diri.  Sebaliknya mengakui bahawa saya sangat lemah dan mudah pula melakukan kesilapan.

2.  Belajar dari kesilapan
Bila salah, saya memaafkan diri dan melupakannya terus.  Saya mulakan yang baru.  Saya belajar dari kesilapan dan memperbaikinya sebaik mungkin.  Perlahan-lahan saya menjadi kuat jiwa dan mental.  Jika tidak, mungkin hidup saya tertekan dan dipengaruhi emosi.

3.  Sayangi diri sendiri
Sebaik bergelar isteri dan ibu, seluruh jiwa saya adalah untuk suami dan anak-anak.  Sebagaimana saya mudah memaafkan mereka kerana saya percaya, masih ada kebaikan dalam diri insan yang kita sayang walaupun mereka tersilap dan salah.  Cuma saya melupakan diri sendiri.  Bila saya belajar memaafkan diri sendiri, saya lebih menyayangi dan menghargai apa yang saya miliki.

4.  Lebih mudah memaaf dan melupakan
Ini proses yang saya belajar untuk saya meneruskan perjuangan dalam kehidupan saya yang masih panjang ini.  Ia menjadikan saya tenang dan dapat mengawal emosi sendiri.  Bermula dari memaaf dan melupakan kesalahan sendiri, ia jadi lebih mudah untuk memaaf dan melupakan kesalahan orang di sekeliling kita.

Teknik saya memaafkan diri sendiri
1.  Cari masa bersendirian yang sesuai
2.  Tarik nafas dalam-dalam, tahan seketika dan lepaskan perlahan-lahan.  Buat sehingga rasa tenang
3.  Sebut pada diri sendiri apa kesalahan yang kita lakukan
4.  Sebut berulang kali pada diri bahawa kita memaafkan semua kesalahan tersebut
5.  Janji pada diri untuk berubah dan memperbaiki segala kesalahan
6.  Berdoa dan berharaplah pada Allah sepenuhnya
7.  Susun strategi untuk kehidupan baru yang lebih baik

Tuesday, 26 December 2017

Cabaran Baru Sebelum Tahun Baru

Teks     :  Zureiny Zulkafly

Foto      :  Zureiny Zulkafly

26.12.2017



Ini memang betul-betul cabaran baru sebelum masuk tahun baru!

Asalnya bertanya soalan tapi akhirnya terjebak masuk kelas.  Itulah yang berlaku dengan saya hari ini.  Asalnya bertanya cara buat blog jualan, akhirnya sahabat ini menjadi guru saya pula. 

Namun saya sangat bersyukur kerana Allah bantu saya dengan sebaik-baik cara.  Disusunnya perjalanan hidup saya ini dengan tertib dan teratur.  Saya hanya mengikut dan mengambil setiap peluang yang terbuka di depan mata.

2017 adalah tahun yang penuh hikmah.  Sarat dengan pengalaman baik suka mahupun duka. 

Sepanjang setahun, rezeki saya banyak dilapangkan untuk menghadiri pelbagai kelas.  Saya banyak melabur untuk ilmu kerana banyak yang saya tidak tahu.  Takdir kehidupan setahun yang lepas menjadi titik asas kepada banyak perubahan dalam hidup saya dan anak-anak.

Antara kelas terawal saya masuk ialah kelas blog di bawah seliaan Puan Masayu Ahmad.  Dari situ saya belajar asas menulis blog dengan betul.  Blog lama memang 'Hai Hai Bye Bye'.  Saya belajar bagaimana menjenamakan diri saya.  Sebab itulah dalam setiap urusan, saya kekalkan nama penuh saya Zureiny Zulkafly.  Kemudian bersambung pula ke Kelas Menulis Ebook dan saya berjaya menulis ebook pertama bertajuk Setelah Hujan Teduh.

Saya berkesempatan menghadiri bengkel penulisan buku pertama seliaan Tuan Zamri Mohamad.  Mudah-mudahan termakbullah hasrat menulis dan menerbitkan buku sendiri pada tahun 2018. 

Kemudian saya dan anak saya Afrina mendaftar Kursus Grafik kelolaan Fakulti Sains dan Teknologi Maklumat, Kolej Universiti Islam Antarabangsa Selangor.  Banyak perkara baru yang saya belajar melalui kursus pendek ini.  Semenjak tamat kelas, banyaklah gambar comel-comel yang saya edit sendiri.  Boleh digunakan untuk hantaran di facebook ataupun sebagai gambar di blog.

Dan hari ini, saya belajar pula buat blog jualan.  Tujuan utama untuk mempromosi ebook saya dan ini juga adalah salah satu tugasan daripada cikgu.  Hari ini belajar mendaftar sebagai affiliate https://www.klikjer.com/

Kemudian kena belajar pula promosi ebook penulis-penulis lain dan setiap klik yang berjaya menghasilkan jualan, bermakna saya dibayar komisen.  Sekurang-kurangnya saya belajar mencari pendapatan pasif daripada blog jualan saya.

Memandangkan sahabat saya mengajar secara online dan menggunakan whatsapp sebagai medium komunikasi, agar mencabar juga untuk saya yang lemah bingai bab-bab ni untuk memahami tunjuk ajarnya.  Namun saya gigih belajar kerana saya suka untuk memahami ilmu-ilmu baru.  Saya suka mencabar diri dan melihat sejauh mana potensi diri saya dapat dikembangkan.

Salah satu kelemahan saya ialah promosi ataupun perkenalkan produk.  Di sini maksud saya ialah ebook pertama saya itu.  Saya memang trauma bila dengar pemasaran ataupun promosi ataupun jualan.  Memang saya tidak pandai langsung.

Tapi saya fikir semula.  Selama mana saya akan bergantung dengan pertolongan orang di sekeliling saya.  Kalau ingin mencapai impian hati, saya sendiri yang harus berani mengubah yang biasa-biasa menjadi luar biasa.  Saya yang harus lakukan sendiri.  Saya yang perlu lalui semua pengalaman tersebut.


Semalam saya terbang rendah kerana saya baru belajar mengepakkan sayap.  Semoga esok saya akan terbang tinggi untuk saya tahu sejauh mana saya mampu pergi.

Monday, 25 December 2017

Hidup Ini Adalah Tentang Keseimbangan

Teks       :  Zureiny Zulkafly

Foto        :  Zureiny Zulkafly


25.12.2017


Baru-baru ini, dunia heboh dengan kematian seorang artis lelaki Korea yang popular gara-gara membunuh diri.  

Dia tidak mampu membendung tekanan hidup yang dirasainya.  

Dia ingin membunuh jiwanya yang kosong kerana tidak dapat hidup seperti manusia biasa. 

Dia menyangka dengan menamatkan riwayat sendiri akan menghilangkan segala duka tetapi sebenarnya, ia lebih melukakan insan-insan yang ditinggalkan.  Persoalan yang tidak akan terjawab iaitu Kenapa?

Sebaik membaca tentang berita ini saya terus memanggil Afrina.  Dia salah seorang peminat artis-artis Korea.  Sebagai seorang ibu memang saya risau kalau-kalau fenomena ini akan mempengaruhi anak saya.

Ibu          :  “Apa pendapat Fina tentang isu artis yang bunuh diri tu?”

Afrina      :  “Dia stress sebab peminat tu.”

Ibu          :  “Tau la sebab peminat.  Tapi apa yang Fina fikir tentang orang yang bunuh diri ni?”

Afrina      :  “Memang bodohlah.  Tak ada akal.  Susah sikit nak bunuh diri.  Memang neraka la perginya.”

Ibu          :  “Ooooo…”

Memang saya lega bila mendengar jawapan Afrina.  Maknanya dia faham tentang keburukan bunuh diri.  Bila dia bercakap tentang neraka tu mungkin kerana artis tersebut bukan beragama Islam.  Malah dalam Islam juga, isu bunuh diri ini adalah dilarang sama sekali. 

Anak-anak saya pernah melalui ujian yang hebat sewaktu kehilangan ayah mereka setahun yang lepas.  Itulah yang menjadi aras ukur keupayaan anak-anak saya meneruskan kelangsungan hidup dengan lebih baik.  Bukan mudah anak-anak yang kecil dan masih merengek dengan kasih sayang seorang ayah untuk berhadapan dengan takdir sebegini.

Asas yang saya terapkan ialah aqidah.  Ia tentang tauhid.  Tiada Tuhan selain daripada Allah.  Walau apapun yang berlaku dalam hidup, itu semua kekuasaan Allah.  Sebagai hamba kita tidak perlu persoalkan apa-apa.  Redha dan ihtisab yakni mengharapkan pahala sepenuhnya daripada Allah.

Afrina pernah bercerita dengan saya kisah rakan-rakan sekolahnya yang menangis meraung kerana putus cinta hingga ada yang menyebut hendak bunuh diri.  Itu kata-kata yang bermain di mulut dan mungkin hati anak-anak yang baru berusia 13 tahun!  Saya yang mendengar pun jadi tergamam hingga tidak terkata apa.

Seingat sayalah, sewaktu saya berusia 13 tahun dulu, saya sangat menikmati hidup saya sebagai seorang pelajar.  Ketika itu saya tinggal di asrama kerana bersekolah di Sekolah Menengah Sultan Sulaiman, Kuala Terengganu. 

Rutin saya belajar dan terikat dengan aktiviti sekolah juga asrama.  Bertambah lagi Ayah dan Mama sangat tegas dengan anak-anak.  Mungkin kerana itu tumpuan kami lebih fokus kepada pelajaran.  Berbanding anak-anak sekarang yang terlalu sibuk mencari pasangan dan keseronokan sementara.  Lebih bebas menentukan hidup sendiri kerana kawalan yang kurang daripada ibu bapa.

Saya akui, semenjak hubby tiada saya memikul amanah yang berat terhadap didikan anak-anak.  Saya ikhtiar yang terbaik.  Selebihnya saya berserah kepada Allah semoga anak-anak saya dilindungi sentiasa.  Bukan mudah untuk hidup di akhir zaman ini.  Banyak fitnah dunia yang tidak dapat dielakkan.

Sebagai ibu, redha saya sentiasa bersama mereka berdua agar redha Allah pun sentiasa ada untuk anak-anak saya.  Memang saya berharap anak-anak saya bahagia dunia dan akhirat.  Dan salah satu doa yang saya kekalkan hingga ke hari ini ialah semoga Allah matikan anak-anak saya dalam khusnul khatimah.  Doa inilah yang melindungi Afrina dan Aina setiap masa kerana saya yakin doa seorang ibu sangat mudah dimakbulkan Allah.  Semoga doa itu juga Allah makbulkan untuk saya.

Hidup ini adalah tentang keseimbangan.  Bahagiakan dirimu dan orang sekelilingmu semoga bahagia juga di akhirat nanti.  Setiap yang buntu akan ada jalan keluarnya.  Setiap yang susah akan ada yang mudahnya.  Jarak sesuatu masalah dan jalan keluarnya ibarat jarak dahi dengan sujud.  Perbanyakkanlah sujudmu.  In shaa Allah rahmat Allah sentiasa ada untuk kamu.