Teks :
Zureiny Zulkafly
Hari
ini ayah sudah mengingak usia 69 tahun 1 hari.
Semalam ulangtahun kelahiran ayah.
Antara perkara pertama yang saya syukuri ialah saya masih memiliki ayah.
Selepas
ketiadaan hubby, dengan setulus hati ayah menerima saya dan anak-anak. Tanpa saya pinta. Tanpa perlu saya berkata apa-apa. Segalanya bagai disusun dengan mudah dan
dipermudahkan.
Sebaik
hubby menghembuskan nafas terakhir, ayah adalah antara yang sibuk menguruskan
prosedur pengkebumian. Ayah pernah
berkata yang dia tidak sangka sama sekali dia akan mengisi borang kematian
menantunya. Bila orang tanya, itulah
jawapannya. Jangkaan ayah, sebagai orang
tua dialah yang akan pergi dulu.
Itulah
kematian. Bukan tercepat atau terlewat
walau sesaat. Bukan kerana usia atau
penyakit. Bukan kerana status tua atau
muda.
Ayah
selesaikan urusan hubby sebaik mungkin. Ayah
kata itu tanggungjawab yang hidup terhadap yang telah pergi. Ayahlah yang banyak menasihati saya tentang
kehidupan selepas ketiadaan hubby. Ayahlah
yang menemankan saya ke mana sahaja urusan penting yang perlu saya
lakukan.
Antara
nasihat ayah yang saya ingat sampai sekarang ialah, “Kalau kamu sayangkan suami kamu, banyakkan buat baik. Niatkan pahala untuk dia. Ajar anak-anak selalu doakan ayah mereka.”
Ayah
cakap, walau apa yang terjadi jangan dipersoalkan apa-apa. Terima sahaja semua perancangan Allah. Hidup seperti biasa. Jaga anak-anak sebaiknya kerana anak adalah
harta yang tidak ternilai.
Ayah
cakap, hidup mesti sentiasa aktif. Jangan
murung. Jangan berkurung. Itu sebagai isyarat kita mensyukuri nikmat
yang telah kita kecapi selama ini. Setiap
ujian juga adalah nikmat kerana itu adalah tanda kecintaan Allah kepada
hambaNya.
Ayah
cakap, jangan simpan dendam dalam hati. Jaga
silaturrahim. Jaga diri. Jaga peribadi dan akhlak dengan orang
sekeliling. Hubungan yang dijaga dengan
baik akan melapangkan hati dan meluaskan rezeki.
Ayah
cakap, setiap perkara yang dibuat mesti dengan ilmu. Itu sahaja yang akan membezakan samada amalan
kita diterima atau tidak. Itulah yang
memisahkan benar dan jahil. Itulah sebabnya
saya belajar dan mencari ilmu dalam apa juga yang ingin saya lakukan. Sebab itu jugalah saya mampu bangkit dari
kedukaan dan meneruskan hidup dengan lebih baik.
Semuanya
kerana cakap ayah dan cakap-cakap si ayah adalah doa untuk si anak. Sesekali fikir saya kasihan melihat anak-anak
saya membesar sebagai anak yatim. Tanpa kasih
sayang seorang ayah. Tetapi ayah saya
cakap, itu bukan soal utama sebab ayah saya sendiri adalah anak yatim ketika
dia masih bayi.
Ayah
saya sangat memahami emosi anak-anak saya.
Itu sebab ayah selalu nasihatkan agar menjaga anak dengan sebaik
mungkin. Beri ilmu. Beri didikan.
Beri asuhan agar mereka tidak merasa kekurangan dalam hidup ini. Ayah melalui pengalaman yang pelbagai dan
kerana itulah peribadi ayah sangat kuat dan tabah.
Ayah
masih menghantar dan mengambil saya setiap kali saya ke kelas talaqqi. Pernah juga saya beritahu saya boleh memandu
sendiri. Saya tak nak susahkan ayah
keluar masuk rumah. Ayah cuma balas, “Ni tanggungjawab ayah.”
Ayah juga gigih menghantar dan mengambil anak-anak saya pergi dan balik dari sekolah. Mama adalah peneman setia ayah. Sedangkan itu bukannya tanggungjawab mereka berdua. Saya sendiri boleh uruskan. Ayah dan Mama cuma mengambil kebaikan kerana mengurus dan menjaga kebajikan anak-anak yatim. Apatah lagi keduanya adalah cucu sendiri.
Sewaktu
ayah ziarah hubby di hospital, dua hari sebelum hubby meninggal, hubby
menggenggam erat tangan ayah seakan tidak mahu melepaskan. Hubby renung ayah dengan pandangan yang
dalam. Dia cuba berkata sesuatu tetapi
tidak terluah. Ayah hanya tersenyum dan
menggenggam kembali tangan hubby. Saya
menangis melihat drama begitu. Macam-macam
yang saya fikirkan ketika itu.
Sampai
ke hari ini bila saya dan ayah bersembang tentang itu, masing-masing cuba
menafsir, “Apa agaknya yang Musa nak cakap
dengan ayah ye?”.
Saya
jadi kuat kerana saya masih ada ayah. Kalau
tidak, mungkin kekuatan saya adalah berbeza.
Mungkin saya tidak seperti saya pada hari ini. Mungkin takdir dan kehidupan saya tidak sama seperti yang saya lalui ketika ini.
![]() |
Tadaaa tu la dia ayah saya! |
Anak-anak saya hidup tanpa seorang ayah sedangkan saya masih bersama ayah sehinggalah umur saya sudah menjangkau 40-an. Takdir yang berbeza namun terikat dalam hidup yang sama. Banyak hikmah sebenarnya yang tidak mampu saya nyatakan.
Saya cuma berharap, sebelum ayah atau mama
atau saya yang pergi dulu, kami dapat nikmati hidup ini dengan sebaik
cara. Setelah salah seorang antara kami
tiada, semoga ia menjadi kenangan yang terindah.
Hargai
ayah selagi susuk lelaki ini masih ada di sisi.
Sayangi ibu selagi tubuh wanita itu masih mampu dirasa. Kita bukan sesiapa tanpa mereka berdua.