Sunday, 28 January 2018

Ayah Cakap. Saya Dengar.

Teks     :  Zureiny Zulkafly

Hari ini ayah sudah mengingak usia 69 tahun 1 hari.  Semalam ulangtahun kelahiran ayah.  Antara perkara pertama yang saya syukuri ialah saya masih memiliki ayah.

Selepas ketiadaan hubby, dengan setulus hati ayah menerima saya dan anak-anak.  Tanpa saya pinta.  Tanpa perlu saya berkata apa-apa.  Segalanya bagai disusun dengan mudah dan dipermudahkan.

Sebaik hubby menghembuskan nafas terakhir, ayah adalah antara yang sibuk menguruskan prosedur pengkebumian.   Ayah pernah berkata yang dia tidak sangka sama sekali dia akan mengisi borang kematian menantunya.  Bila orang tanya, itulah jawapannya.  Jangkaan ayah, sebagai orang tua dialah yang akan pergi dulu. 

Itulah kematian.  Bukan tercepat atau terlewat walau sesaat.  Bukan kerana usia atau penyakit.  Bukan kerana status tua atau muda.

Ayah selesaikan urusan hubby sebaik mungkin.  Ayah kata itu tanggungjawab yang hidup terhadap yang telah pergi.  Ayahlah yang banyak menasihati saya tentang kehidupan selepas ketiadaan hubby.  Ayahlah yang menemankan saya ke mana sahaja urusan penting yang perlu saya lakukan. 

Antara nasihat ayah yang saya ingat sampai sekarang ialah, Kalau kamu sayangkan suami kamu, banyakkan buat baik.  Niatkan pahala untuk dia.  Ajar anak-anak selalu doakan ayah mereka.

Ayah cakap, walau apa yang terjadi jangan dipersoalkan apa-apa.  Terima sahaja semua perancangan Allah.  Hidup seperti biasa.  Jaga anak-anak sebaiknya kerana anak adalah harta yang tidak ternilai.

Ayah cakap, hidup mesti sentiasa aktif.  Jangan murung.  Jangan berkurung.  Itu sebagai isyarat kita mensyukuri nikmat yang telah kita kecapi selama ini.  Setiap ujian juga adalah nikmat kerana itu adalah tanda kecintaan Allah kepada hambaNya.

Ayah cakap, jangan simpan dendam dalam hati.  Jaga silaturrahim.  Jaga diri.  Jaga peribadi dan akhlak dengan orang sekeliling.  Hubungan yang dijaga dengan baik akan melapangkan hati dan meluaskan rezeki.

Ayah cakap, setiap perkara yang dibuat mesti dengan ilmu.  Itu sahaja yang akan membezakan samada amalan kita diterima atau tidak.  Itulah yang memisahkan benar dan jahil.  Itulah sebabnya saya belajar dan mencari ilmu dalam apa juga yang ingin saya lakukan.  Sebab itu jugalah saya mampu bangkit dari kedukaan dan meneruskan hidup dengan lebih baik.

Semuanya kerana cakap ayah dan cakap-cakap si ayah adalah doa untuk si anak.  Sesekali fikir saya kasihan melihat anak-anak saya membesar sebagai anak yatim.  Tanpa kasih sayang seorang ayah.  Tetapi ayah saya cakap, itu bukan soal utama sebab ayah saya sendiri adalah anak yatim ketika dia masih bayi.

Ayah saya sangat memahami emosi anak-anak saya.  Itu sebab ayah selalu nasihatkan agar menjaga anak dengan sebaik mungkin.  Beri ilmu.  Beri didikan.  Beri asuhan agar mereka tidak merasa kekurangan dalam hidup ini.  Ayah melalui pengalaman yang pelbagai dan kerana itulah peribadi ayah sangat kuat dan tabah.

Ayah masih menghantar dan mengambil saya setiap kali saya ke kelas talaqqi.  Pernah juga saya beritahu saya boleh memandu sendiri.  Saya tak nak susahkan ayah keluar masuk rumah.  Ayah cuma balas, Ni tanggungjawab ayah. 

Ayah juga gigih menghantar dan mengambil anak-anak saya pergi dan balik dari sekolah.  Mama adalah peneman setia ayah.  Sedangkan itu bukannya tanggungjawab mereka berdua.  Saya sendiri boleh uruskan.  Ayah dan Mama cuma mengambil kebaikan kerana mengurus dan menjaga kebajikan anak-anak yatim.  Apatah lagi keduanya adalah cucu sendiri.

Sewaktu ayah ziarah hubby di hospital, dua hari sebelum hubby meninggal, hubby menggenggam erat tangan ayah seakan tidak mahu melepaskan.  Hubby renung ayah dengan pandangan yang dalam.  Dia cuba berkata sesuatu tetapi tidak terluah.  Ayah hanya tersenyum dan menggenggam kembali tangan hubby.  Saya menangis melihat drama begitu.  Macam-macam yang saya fikirkan ketika itu.

Sampai ke hari ini bila saya dan ayah bersembang tentang itu, masing-masing cuba menafsir, Apa agaknya yang Musa nak cakap dengan ayah ye?.

Saya jadi kuat kerana saya masih ada ayah.  Kalau tidak, mungkin kekuatan saya adalah berbeza.  Mungkin saya tidak seperti saya pada hari ini.  Mungkin takdir dan kehidupan saya tidak sama seperti yang saya lalui ketika ini.

Tadaaa tu la dia ayah saya!
Anak-anak saya hidup tanpa seorang ayah sedangkan saya masih bersama ayah sehinggalah umur saya sudah menjangkau 40-an.  Takdir yang berbeza namun terikat dalam hidup yang sama.  Banyak hikmah sebenarnya yang tidak mampu saya nyatakan.  

Saya cuma berharap, sebelum ayah atau mama atau saya yang pergi dulu, kami dapat nikmati hidup ini dengan sebaik cara.  Setelah salah seorang antara kami tiada, semoga ia menjadi kenangan yang terindah.

Hargai ayah selagi susuk lelaki ini masih ada di sisi.  Sayangi ibu selagi tubuh wanita itu masih mampu dirasa.  Kita bukan sesiapa tanpa mereka berdua.



No comments:

Post a comment