Tuesday, 23 January 2018

'Separation Anxiety' dan Perubahan Sikap Anak

Teks     :  Zureiny Zulkafly


Ibuuuuu!  Ibuuuuu!.  Telinga saya menangkap laungan Aina.  Nyaring dari dalam bilik tidur. 

Berkerut juga dahi.  Kuat sungguh jeritan Aina memanggil saya sedangkan rumah kami bukannya besar mana pun.  Kalau dicari, dia akan bertemu saya di dapur.

Saya diam sahaja.  Tidak menyahut walau sepatah.  Anggapan saya, dia akan keluar bilik dan mencari saya yang sedang mencuci pinggan.

Ibuuuuuuu!  Laungannya semakin kuat.  Darah saya mula menyirap.  Hati saya mula hendak marah.  Saya basuh tangan dan bergegas ke bilik.  Mulut saya mula membebel.

Tidak sampai 20 langkah, saya sudah tercegat di depan pintu bilik.  Saya terkedu.  Wajah Aina basah dengan air mata.  Melihatkan keadaan si anak, hati saya luluh.  Saya hampiri Aina dan memeluknya kemas.

Kenapa ni dik?  tanya saya sambil mengelus rambutnya yang melekat di wajah yang basah.

Adik nak ibu,  balas Aina dengan sisa esak yang terputus-putus.  Dia merangkul saya seeratnya seakan tidak mahu melepaskan.

Ibu ada.  Ibu tak ke mana pun.  Saya mencium ubun-ubunnya dan memeluk Aina dengan lebih rapat.  Saya mahu dia rasa nyaman dan selamat.  Hati saya mula dipagut kesedihan yang teramat.

Itulah antara drama-drama Aina sepanjang tempoh dia menyesuaikan diri dengan hidup kami tanpa hubby.  Kalau tidak silap, hampir 6 bulan juga saya bergelut dengan pergolakan emosi Aina.

Sejak itu, saya mula memahami tentang separation anxiety ataupun perpisahan sementara.  Saya sangkakan ia perkara biasa.  Saya selalu fikir, mungkin kerana dia terlampau rindukan ayahnya.  Saya ingat anak saya akan pulih seiring peredaran masa. 

Salah saya.  Saya ambil mudah perkara ini.  Ini kerana saya tiada masalah dengan anak sulung sewaktu dia sebaya Aina.  Saya selalu sangka Aina mengada-ngada kerana perlukan perhatian.  

Separation anxiety ini perkara normal sehinggalah anak-anak berusia 5 tahun.  Mereka menjadi takut atau cemas berpisah dengan ibu atau bapa atau penjaga yang rapat dengan mereka.

Cuma ia berbeza dengan keadaan Aina.  Pada saya simptomnya seperti 'separation anxiety' tetapi ia semakin parah kerana Aina berdepan dengan kecelaruan perasaan selepas pemergian ayahnya.

SUKAR BERENGGANG

Aina semakin jelas sikapnya yang tidak mahu berenggang langsung dengan saya.  Dia cepat panik bila sedar saya hilang dari pandangan.  Dia akan cemas kalau saya tiada di sisinya.  Dia takut saya hilang sepertimana ayahnya hilang. 

Setiap kali tidur, dia akan berkepit dengan saya.  Bila terjaga di tengah malam dan sedar dia jauh dari saya, Aina akan bangun dan kembali tidur di sisi saya.  Aina juga tidak mudah melepaskan saya keluar tanpa membawanya bersama.  

Pada awalnya saya menyangka ini perkara biasa tetapi bila berlebihan, ia menyulitkan pergerakan harian saya.  

RASA TIDAK PERCAYA

Sikap tidak percayakan saya sangat mengganggu emosi sebenarnya.  Saya pula yang jadi tertekan kerana Aina memang tidak percayakan saya.  Pergerakan saya seperti diawasi.  Tindak tanduk saya diperhati.  Mujurnya, saya bekerja di rumah.  Sepanjang masa saya bersama Aina dan dia akan pastikan saya sentiasa di matanya.

Dia sentiasa curiga dengan sikap saya.  Pandangannya sentiasa mencari saya walaupun dia sedang bermain ketika itu.  Dia sukar rehat waktu siang kerana bimbang saya akan tinggalkan dia.

TAKUT PADA ORANG LAIN

Saya akui, kedua-dua anak saya sukar untuk mesra dengan orang lain selain daripada saya, hubby dan ahli keluarga yang biasa dengan mereka.  Namun, ketakutan Aina sangat ketara.  Sukar untuk sesiapa mendekatinya.

Aina bersikap pemerhati.  Dia tidak akan memulakan perbualan.  Jauh sekali menegur orang di sekeliling.  Walaupun Aina anak yang lincah dan aktif, dia akan menjadi diam tiba-tiba bila ada orang lain di sisinya.

KERAP MENJERIT

Aina seorang anak kecil yang manja dan dia rapat dengan arwah ayahnya.  Sewaktu hubby pergi, Aina baru berusia 4 tahun.  Dia sukar memahami apa yang terjadi.  Aina mencium ayahnya sebelum dikafan, menanti dengan sabar ketika solat jenazah, mengiringi ayahnya ke kubur, melihat jasad ayahnya dikambus tanah, mendengar tazkirah malah Aina menyiram air di pusara ayahnya. 

Dia melihat kesemua proses itu tetapi dia tidak mengerti.  Dia menafsir si ayah tidur di kubur dan akan bangun pagi seperti biasa.  Dia juga menganggap si ayah pergi kerja dan dia tetap menunggu ayahnya balik.  Dia pernah minta saya bertukar tempat dengan hubby.  Dia mahukan ayahnya kembali.

Apabila permintaan ini tidak dapat ditunaikan, Aina akan menjerit dan membentak.  Apabila sedar penantiannya sia-sia, Aina jadi pemarah dan melawan saya.  Allahu Akbar.  Saya masih tidak boleh lupakan seksanya jiwa Aina ketika ini.  

SUKA MENANGIS DAN MERAJUK

Saya pun sukar untuk menyesuaikan diri kerana apa yang saya buat jadi serba tak kena.  Sudahnya Aina menangis dan merajuk hingga sukar dipujuk.  Tidak tentu arah saya dibuatnya.

Perubahan sikap Aina memberi impak yang besar kepada emosi saya juga.  Sudahlah ketika itu saya sibuk menyelesaikan urusan hubby.  Saya pun masih di dalam iddah dan berkabung.  Saya sendiri sedang bergelut untuk menguatkan diri sendiri ketika itu.  Bila dia merasakan saya tidak memberi tumpuan padanya, Aina akan tantrum tanpa sebab.


Aina sukar dipujuk bila menangis atau merajuk

Saya mahu anak-anak saya hidup secara normal.  Walaupun tanpa seorang ayah, saya mahu hidup mereka teratur dan bahagia.  Saya cuba memahami emosi seorang anak remaja dan seorang anak kecil.  Berat ujian saya tetapi inilah pengalaman.  Inilah ilmu yang Allah buka untuk saya fahami.

Setiap ujian ada hikmah.  Setiap yang payah ada yang mudah.  Yang penting, tetapkan niat yang betul dan bersabarlah untuk melalui perjalanan hidup yang telah ditetapkan.

No comments:

Post a Comment