Teks :
Zureiny Zulkafly
Foto : Zureiny Zulkafly
Stres boleh
mengubah takdir?
Biar betul?
Ya. Benar. Ini berdasarkan pengalaman saya sendiri. Bila saya stress atau tertekan, secara
halusnya saya yang mengubah takdir hidup menjadi negatif. Semua yang dirancang tidak menjadi. Semua yang dilakukan serba tak kena.
Menjadi ibu
berdikari selepas pemergian hubby bukanlah satu tugas yang mudah. Setiap perkara dalam kehidupan saya dan
anak-anak perlu saya fikir dan uruskan sebaik mungkin. Dalam masa yang sama saya perlu bekerja
mencari rezeki. Masa itu jugalah saya mengikuti beberapa kelas bagi meningkatkan skil dan kemahiran.
Saya perlu pastikan
keperluan rumahtangga mencukupi begitu juga dengan pendidikan anak-anak. Saya perlu pantau aktiviti sosial seharian
mereka berdua. Saya perlu tahu
perkembangan emosi mereka juga. Semuanya
kena ambil tahu dan tangani dengan betul.
Memang saya stress
sebab saya penat. Letih tanpa
sebab. Malah rutin ini berulang-ulang
hampir setahun lamanya setelah hubby tiada. Kalau dia ada, keadaan akan berbeza kerana kami berkongsi bahu memikul tanggungjawab ini. Tambahan pula emosi saya tidak stabil dan diganggu pula dengan perbuatan
sihir. Semuanya bercampur aduk dan
menjadikan jiwa saya berkecamuk.
Klimaks kepada
masalah stres saya berlaku sewaktu mengikuti kelas fotofon. Kami ditugaskan mengambil gambar berwarna dan
edit menjadi gambar hitam putih (black & white). Sebaik mendapat tugasan tersebut, saya dapat
rasakan seperti ada sesuatu yang menyucuk kepala dan saya sakit secara tiba-tiba. Bukan sakit fizikal tetapi emosi.
Ketika inilah ‘pintu takut’
terbuka dan takdir saya berubah menjadi negatif. Segalanya tidak menyebelahi saya. Keadaan menjadi buruk bila telefon saya jatuh
tanpa diduga. Perasaan sedih semakin
mendalam dan mula berfikir yang bukan-bukan.
Simptom ketakutan:-
a) berdebar tanpa sebab
b) gelisah hingga mengganggu tidur
c) kerap berpeluh
d) sakit belakang bahu hingga ke belakang kepala
e) sedih yang keterlaluan
f) marah yang tidak terkawal
g) selera makan
turun atau naik secara mendadak
Pintu-pintu
ketakutan ini sebenarnya medium yang digunakan oleh syaitan untuk menghasut dan
memesongkan aqidah. Iman berada pada
tahap yang sangat lemah ketika ini.
Ketakutan mewujudkan satu perasaan buruk sangka terhadap Allah. Inilah maksud saya bahawa stres atau tekanan
itu secara halusnya mengubah takdir menjadi negatif kerana sangkaan terhadap
Allah itu.
Bukankah Allah
pernah berkata, “Aku adalah pada sangkaan
hambaKu.” Jika baik sangkaan kita, memang baiklah yang
kita perolehi. Jika sebaliknya, hidup seperti hilang panduan dan akal menjadi
buntu.
Pengalaman yang
saya lalui ketika itu menyedarkan saya tentang banyak perkara. Terutamanya tentang diri sendiri yang fana
dan hati yang mudah berbolak-balik.
Mujurlah saya cepat sedar. Saya
atasi rasa takut seterusnya mengubati stres tersebut menggunakan 5 cara ini.
1. ISTIGHFAR
Salah satu punca stres adalah
kurangnya berzikir dan fikir. Akal
menjadi buntu. Semakin diusahakan untuk
mengubah satu-satu keadaan, ia menjadi semakin buruk.
Di sebalik ungkapan istighfar “Aku mohon keampunan dari Allah s.w.t” itu, saya akui kesilapan dan dosa saya yang
mungkin tidak disedari atau pun yang disengajakan. Walau nampak saya tabah tetapi saya tetap
manusia biasa.
Istighfar itulah yang melapangkan
dada, meluaskan akal dan menenangkan jiwa yang serabut. Ia menguatkan emosi. Satu persatu perkara yang berlaku, dengan
izin Allah menjadi jelas pada pandangan mata.
2. FOKUS
Bila hati mula tenang dan kuat, saya
fokuskan bagaimana untuk siapkan tugasan fotofon dalam keadaan saya tiada
telefon dan tiada kemampuan membeli telefon baru. Saya cari jalan penyelesaian sebagai alternatif
saya menyiapkan tugasan yang diberi masa seminggu untuk disiapkan.
Alhamdulillah. Perlahan-lahan urusan kehidupan yang lain
juga Allah permudahkan kerana saya sudah mula fokus pada matlamat.
3. HADAPI RASA TAKUT
Takut ini berasal daripada fikiran
sendiri. Walau tiada hantu tetapi akal
membayangkan hantu itu wujud di belakang.
Rasa takut itulah yang dimanfaatkan sepenuhnya oleh syaitan sebagai
laluan merosakkan aqidah manusia yang beriman.
Saya belajar atasi rasa takut. Saya hadapi apa yang berlaku dan tidak
sesekali melarikan diri. Redah saja apa
yang mendatang dan letakkan sepenuh rasa tawakkal pada Allah.
4. CARI JARINGAN YANG POSITIF
Punca rasa takut saya hanyalah
tugasan hitam putih kelas fotofon. Ia merupakan tugasan kali kedua. Takut itu muncul bila saya membandingkan diri
dengan kelebihan pelajar-pelajar lain semasa tugasan pertama.
Banyak nota-nota kelas saya
terlepas. Banyak juga perbincangan
antara guru dan pelajar yang saya ketinggalan.
Memang saya jauhkan diri daripada mereka ketika itu. Saya rasa ‘down’ yang amat.
Bila saya sedar, saya aktifkan
semula diri dalam grup kelas. Tanpa
segan silu, saya minta nota-nota lepas.
Alhamdulillah. Ramai sahabat yang
membantu dan ini yang menguatkan kembali semangat saya. Saya akan buat sebaik mungkin sebagai menghargai kebaikan sahabat-sahabat yang positif ini.
5. NIAT
Antara perkara yang saya belajar
ialah tentang niat. Apa yang diniatkan
pada awal saya mengikuti kelas. Walau apa
yang terjadi, niat yang ikhlas akan membantu kita kembali kepada jalan yang
baik.
Saya kembali ke landasan kerana
niat. Saya ingat semula apa matlamat asal. Dari situ, saya susun semula apa yang perlu
saya lakukan seterusnya. Saya belajar
memahami isi hati sendiri.
Saya baca nota-nota yang sahabat
saya beri. Saya ambil berpuluh-puluh
keping gambar yang berbeza. Saya edit
berulang kali. Sehinggalah pada satu
titik, saya faham apa yang saya lakukan. Kekuatan saya adalah hubby dan itulah yang saya zahirkan dalam gambar yang saya ambil.
![]() |
Inilah tugasan hitam putih kelas fotofon saya dan tersenarai dalam kedudukan 10 teratas |
Sebenarnya, banyak lagi cara saya praktikkan. Apa yang saya kongsi adalah asas kepada mengatasi rasa takut itu sendiri.
Hidup ini memang
untuk diuji bukan untuk bersenang-lenang. Tiada istilah makan tidur sepanjang hayat. Tiada istilah berpeluk tubuh tanpa alasan kukuh.
Allah bukan melihat hasil kerana itu adalah kurniaanNya. Apa yang Dia lihat adalah cara dan usaha kita. Jika salah
langkah, memang buruklah hasilnya. Jika
betul cara, Allah akan memberi hasil lebih baik daripada yang kita jangka.
Mulakan dengan
Allah kerana Dia yang akan memimpin kita hingga ke akhirnya. In shaa Allah.