Saturday, 30 June 2018

5 CARA ATASI RASA TAKUT DAN JAUHI STRES


Teks     :  Zureiny Zulkafly

Foto      :  Zureiny Zulkafly


Stres boleh mengubah takdir?  

Biar betul?

Ya.  Benar.  Ini berdasarkan pengalaman saya sendiri.  Bila saya stress atau tertekan, secara halusnya saya yang mengubah takdir hidup menjadi negatif.  Semua yang dirancang tidak menjadi.  Semua yang dilakukan serba tak kena.

Menjadi ibu berdikari selepas pemergian hubby bukanlah satu tugas yang mudah.  Setiap perkara dalam kehidupan saya dan anak-anak perlu saya fikir dan uruskan sebaik mungkin.  Dalam masa yang sama saya perlu bekerja mencari rezeki.  Masa itu jugalah saya mengikuti beberapa kelas bagi meningkatkan skil dan kemahiran. 

Saya perlu pastikan keperluan rumahtangga mencukupi begitu juga dengan pendidikan anak-anak.  Saya perlu pantau aktiviti sosial seharian mereka berdua.  Saya perlu tahu perkembangan emosi mereka juga.  Semuanya kena ambil tahu dan tangani dengan betul.

Memang saya stress sebab saya penat.  Letih tanpa sebab.  Malah rutin ini berulang-ulang hampir setahun lamanya setelah hubby tiada.  Kalau dia ada, keadaan akan berbeza kerana kami berkongsi bahu memikul tanggungjawab ini.  Tambahan pula emosi saya tidak stabil dan diganggu pula dengan perbuatan sihir.  Semuanya bercampur aduk dan menjadikan jiwa saya berkecamuk.

Klimaks kepada masalah stres saya berlaku sewaktu mengikuti kelas fotofon.  Kami ditugaskan mengambil gambar berwarna dan edit menjadi gambar hitam putih (black & white).  Sebaik mendapat tugasan tersebut, saya dapat rasakan seperti ada sesuatu yang menyucuk kepala dan saya sakit secara tiba-tiba.  Bukan sakit fizikal tetapi emosi.

Ketika inilah pintu takut terbuka dan takdir saya berubah menjadi negatif.  Segalanya tidak menyebelahi saya.  Keadaan menjadi buruk bila telefon saya jatuh tanpa diduga.  Perasaan sedih semakin mendalam dan mula berfikir yang bukan-bukan.

Simptom ketakutan:-
a)  berdebar tanpa sebab
b)  gelisah hingga mengganggu tidur
c)  kerap berpeluh
d)  sakit belakang bahu hingga ke belakang kepala
e)  sedih yang keterlaluan
f)  marah yang tidak terkawal
g) selera makan turun atau naik secara mendadak

Pintu-pintu ketakutan ini sebenarnya medium yang digunakan oleh syaitan untuk menghasut dan memesongkan aqidah.  Iman berada pada tahap yang sangat lemah ketika ini.  Ketakutan mewujudkan satu perasaan buruk sangka terhadap Allah.  Inilah maksud saya bahawa stres atau tekanan itu secara halusnya mengubah takdir menjadi negatif kerana sangkaan terhadap Allah itu.

Bukankah Allah pernah berkata, Aku adalah pada sangkaan hambaKu.  Jika baik sangkaan kita, memang baiklah yang kita perolehi. Jika sebaliknya, hidup seperti hilang panduan dan akal menjadi buntu.

Pengalaman yang saya lalui ketika itu menyedarkan saya tentang banyak perkara.  Terutamanya tentang diri sendiri yang fana dan hati yang mudah berbolak-balik.  Mujurlah saya cepat sedar.  Saya atasi rasa takut seterusnya mengubati stres tersebut menggunakan 5 cara ini.

1.  ISTIGHFAR
            Salah satu punca stres adalah kurangnya berzikir dan fikir.  Akal menjadi buntu.  Semakin diusahakan untuk mengubah satu-satu keadaan, ia menjadi semakin buruk. 

            Di sebalik ungkapan istighfar Aku mohon keampunan dari Allah s.w.t itu, saya akui kesilapan dan dosa saya yang mungkin tidak disedari atau pun yang disengajakan.  Walau nampak saya tabah tetapi saya tetap manusia biasa.

            Istighfar itulah yang melapangkan dada, meluaskan akal dan menenangkan jiwa yang serabut.  Ia menguatkan emosi.  Satu persatu perkara yang berlaku, dengan izin Allah menjadi jelas pada pandangan mata. 

2.  FOKUS
            Bila hati mula tenang dan kuat, saya fokuskan bagaimana untuk siapkan tugasan fotofon dalam keadaan saya tiada telefon dan tiada kemampuan membeli telefon baru.  Saya cari jalan penyelesaian sebagai alternatif saya menyiapkan tugasan yang diberi masa seminggu untuk disiapkan.

            Alhamdulillah.  Perlahan-lahan urusan kehidupan yang lain juga Allah permudahkan kerana saya sudah mula fokus pada matlamat.

3.  HADAPI RASA TAKUT
            Takut ini berasal daripada fikiran sendiri.  Walau tiada hantu tetapi akal membayangkan hantu itu wujud di belakang.  Rasa takut itulah yang dimanfaatkan sepenuhnya oleh syaitan sebagai laluan merosakkan aqidah manusia yang beriman.

            Saya belajar atasi rasa takut.  Saya hadapi apa yang berlaku dan tidak sesekali melarikan diri.  Redah saja apa yang mendatang dan letakkan sepenuh rasa tawakkal pada Allah.

4.  CARI JARINGAN YANG POSITIF
            Punca rasa takut saya hanyalah tugasan hitam putih kelas fotofon. Ia merupakan tugasan kali kedua.  Takut itu muncul bila saya membandingkan diri dengan kelebihan pelajar-pelajar lain semasa tugasan pertama. 

            Banyak nota-nota kelas saya terlepas.  Banyak juga perbincangan antara guru dan pelajar yang saya ketinggalan.  Memang saya jauhkan diri daripada mereka ketika itu.  Saya rasa down yang amat.

            Bila saya sedar, saya aktifkan semula diri dalam grup kelas.  Tanpa segan silu, saya minta nota-nota lepas.  Alhamdulillah.  Ramai sahabat yang membantu dan ini yang menguatkan kembali semangat saya.  Saya akan buat sebaik mungkin sebagai menghargai kebaikan sahabat-sahabat yang positif ini.

5.  NIAT
            Antara perkara yang saya belajar ialah tentang niat.  Apa yang diniatkan pada awal saya mengikuti kelas.  Walau apa yang terjadi, niat yang ikhlas akan membantu kita kembali kepada jalan yang baik. 

            Saya kembali ke landasan kerana niat.  Saya ingat semula apa matlamat asal.  Dari situ, saya susun semula apa yang perlu saya lakukan seterusnya.  Saya belajar memahami isi hati sendiri.

            Saya baca nota-nota yang sahabat saya beri.  Saya ambil berpuluh-puluh keping gambar yang berbeza.  Saya edit berulang kali.  Sehinggalah pada satu titik, saya faham apa yang saya lakukan.  Kekuatan saya adalah hubby dan itulah yang saya zahirkan dalam gambar yang saya ambil.

Inilah tugasan hitam putih kelas fotofon saya
dan tersenarai dalam kedudukan 10 teratas
Sebenarnya, banyak lagi cara saya praktikkan.  Apa yang saya kongsi adalah asas kepada mengatasi rasa takut itu sendiri.

Hidup ini memang untuk diuji bukan untuk bersenang-lenang.  Tiada istilah makan tidur sepanjang hayat.  Tiada istilah berpeluk tubuh tanpa alasan kukuh.

Allah bukan melihat hasil kerana itu adalah kurniaanNya.  Apa yang Dia lihat adalah cara dan usaha kita.  Jika salah langkah, memang buruklah hasilnya.  Jika betul cara, Allah akan memberi hasil lebih baik daripada yang kita jangka.

Mulakan dengan Allah kerana Dia yang akan memimpin kita hingga ke akhirnya.  In shaa Allah.

6 comments:

  1. Terima kasih puan atas tipsnya

    Jemput juga ke blog saya www.sitimariammorshidi.blogspot.com

    Saya juga menulis untuk mengurangkan stress secara positif

    ReplyDelete
    Replies
    1. Terima kasih banyak-banyak sebab sudi baca di blog saya. Salam perkenalan daripada saya buat Siti Mariam.

      In shaa Allah.

      Delete
  2. Terima kasih atas tipsnya puan. Boleh sy tau, puan follow kelas fotofon dr siapa ye. Mcm minat nak join. 😘

    Sy bru nak berjinak2 dalam blog ni. Jemput datang rumah ya


    http://ezzalinsidek.blogspot.com/?m=1

    ReplyDelete
  3. Assalamualaikum Noor Ezzalin. Maaf saya lambat balas mesej ni.

    Nanti boleh ke fb Lini Mohd kalau berminat dengan kelas fotofon. In shaa Allah. Nanti saya follow blog Ezzalin.

    Teruskan menulis ye!

    ReplyDelete
  4. Assalamualaikum. Puan, saya pernah alami semua simpton itu satu masa dahulu. Saat baru lalui sebuah perceraian tanpa rela. Terpaksa bercerai dan terima hakikat bahawa si suami sudah tak punya rasa kasih dan sayang. Perasaannya waktu itu hanya tuhan yang tahu. Sehinggalah seorang sahabat yang bergelar ustaz memberi semangat dan nasihat. Juga rakan-rakan yang tak jemu memberi sokongan. Apa yang terjadi halus berbalik semula kepada Allah.
    Dan dengan menulis jugalah sebagai salah satu terapi untuk merawat perasaan hati sendiri. Terima kasih Pn atas perkongsian entri ini. Jika ada masa lapang jemput singgah ke blog saya yang baru nak bertatih ini.
    http://sariahawangsenik.blogspot.com

    ReplyDelete
  5. In shaa Allah Sariah. Setiap ujian tu ada sebab kenapa ia berlaku. Terpulang pada kita untuk manfaatkannya. Nanti akak follow blog Sariah eh. Terima kasih sudi baca perkongsian akak.

    ReplyDelete