Teks :
Zureiny Zulkafly
Foto :
Zureiny Zulkafly
Sewaktu beraya di
rumah bapa saudara, saya luangkan masa membaca Pancaindera Ahad 17.6.2018. Saya
layan mata membaca dan melihat gambar artis-artis menyambut lebaran dengan
kisah masing-masing.
Sehinggalah saya
membaca artikel penyanyi Nora, hati mula menjadi kendur dan pilu. Kami berkongsi
takdir yang sama iaitu kehilangan suami yang menghembuskan nafas
terakhir pada hari Jumaat yang penuh keberkatan.

Nora juga
menunjukkan jubah arwah suaminya yang tidak dibasuh dan kekal disimpan hingga
ke hari ini. Begitu juga dengan saya yang masih menyimpan seluar hitam hubby
yang dipakainya buat kali terakhir. Walau sudah hampir 2 tahun, bau tubuhnya
masih melekat pada seluar itu.
Setiap kali rindu,
seluar itulah yang saya cium seperti saya mencium pipinya. Seluar itulah yang
saya peluk seakan saya memeluk dirinya. Seluar itu jugalah yang pernah membalut
tubuh Aina sewaktu dia demam panas kerana terlalu rindukan hubby.
Saya teringatkan
kisah sahabat saya yang kehilangan suami pada usia sahabat ini baru mencecah 27
tahun. Masih muda. Masih memerlukan cinta dan kasih sayang seorang suami. Dia
meneruskan hidup bersama anak gadis tunggalnya yang menjadi yatim pada usia 10
bulan dan kini sudah berusia 15 tahun.
Sahabat saya masih
menyimpan selimut yang dipakai arwah suaminya buat kali terakhir. Sepanjang 15
tahun, selimut itulah yang menjadi penawar kerinduannya.
Saya sangkakan saya
yang kurang normal kerana menyimpan seluar hitam hubby. Rupa-rupanya inilah
persamaan antara kami. Cinta buat arwah suami yang tak pernah luntur sampai
bila-bila.
Walau masa telah
jauh beredar, sukar untuk menggantikan tempat seorang lelaki yang setulus
hatinya mengangkat kedudukan seorang wanita menjadi isteri dan pendamping
dirinya. Sukar melupakan seorang lelaki yang bersamanya, setiap perkara adalah
pertama kali.
Payah untuk menidakkan
setiap pengorbanannya. Payah untuk menafikan setiap pemberiannya. Setiap satu
itu akan tetap dikenang dan menjadi laluan pahala yang berterusan buatnya.
Semoga roh arwah
suami kami ini sentiasa di dalam lindungi Ilahi. Semoga diampunkan dosa-dosa
mereka dan mendapat rahmat serta kasih sayang Allah.
Amiin…
No comments:
Post a comment