Saturday, 20 October 2018

5 Panduan Buat Isteri Untuk Kekal Positif Saat Dimaklumkan Suami Menghidap Kanser


Teks       :  Zureiny Zulkafly

5.8.2016
Jumaat minggu pertama Ogos 2016.

Pada tarikh inilah kami; saya dan arwah suami dimaklumkan tentang realiti kesihatannya. Satu kenyataan yang mengubah hidup kami secara total.

Arwah suami disahkan menghidap kanser darah. Satu berita yang sangat mengejutkan berbanding diagnos sebelum ini yang mengatakan arwah suami hanya demam denggi.

Ketika itu bacaan darah putihnya tinggi dan agak membimbangkan. Saat diberitahu, arwah suami hanya mendiamkan diri. Mungkin cuba menghadam apa yang sedang dia lalui ketika itu.

Kanser, tidak kiralah kategori mana sekalipun, adalah penyakit yang digeruni dan sedaya upaya akan dielak oleh manusia normal. Namun jika itu sudah menjadi takdir, ia tidak dapat dinafikan lagi sebaliknya harus dilalui dengan sebaik mungkin.

Jika tidak ditangani dengan betul pada peringkat awal disahkan sakit, ia bakal memberi kesan jangkamasa panjang dari aspek psikologi dan emosi buat kedua-dua pesakit juga penjaga.

Di sini saya kongsikan 5 panduan buat isteri untuk kekal positif saat dimaklumkan suami menghidap kanser. 

1. BERTENANG

Bertenang adalah titik tengah yang menjadi pusat segala tindakan. Ia membantu saya fokus ketika doktor menjelaskan secara terperinci tentang keadaan arwah suami. Sedikit sebanyak membantu saya memahami prosedur dan rawatan lanjutan buatnya.

Tenang membantu saya bersabar dan mengumpul kekuatan yang ada untuk tidak menangis di hadapan arwah suami. Saya tahu air mata dan kesedihan saya akan melemahkan semangatnya dan itu akan mempengaruhi prosesnya untuk sembuh. Saya mula memikirkan banyak perkara penting yang perlu saya uruskan. Banyak yang bakal berubah dalam kehidupan kami sekeluarga.

Antara hikmah terhebat saya rasa daripada sikap tenang saya ialah arwah suami positif dan redha menerima keadaannya. Berat mata saya memandang berat lagi jiwanya yang menanggung kesakitan tapi dia beritahu saya, “Abang nak sihat semula.”

2.  REDHA

Redha bermaksud menerima setiap takdir dan ketentuan Allah tanpa mempersoalkan apa-apa. Memang perit kerana arwah suami bukan lagi seperti yang dulu. Dia semakin lemah dan boleh pengsan bila-bila masa. Doktor menjangkakan 6 bulan sahaja sebelum keadaan arwah suami menjadi lebih teruk.

Saya pasrah. Saya wajib redha kerana ini ujian Allah. Saya terima dengan hati terbuka kerana saya sayangkan arwah suami. Saya berjanji pada diri sendiri bahawa saya akan jaga dia sebaik mungkin, sedaya yang saya mampu.

3.  HIBURKAN HATI

Dari Abu Said Al-Khudri ra dia berkata Rasulullah s.a.w bersabda, “Apabila kamu menjenguk orang sakit, berilah dia semangat walaupun hendak menghadapi ajal. Meskipun hal itu tidak dapat menolak sesuatu (ajal) setidaknya akan membuat jiwa yang sakit menjadi baik (tenang).”
(Hadis Riwayat Ibn Majah)

Saya tetap menyakat dan bergurau dengan arwah suami. Dia sendiri yang menangkap gambar terakhir kami berdua dalam keadaan dia terbaring di atas katil hospital. Kami tetap berbual seperti biasa bagaikan tidak terjejas dengan berita yang mengejutkan sebentar tadi.

Dalam keadaannya yang rapuh, saya tidak mahu melukakan hatinya. Dengan menggembirakan hati suami, ia seperti menghiburkan hati saya juga.

4.  JANGAN BERSEDIH

Bersedih tidak akan membantu mengubah apa-apa sebaliknya akan memburukkan lagi keadaan. Kesedihan akan membuka lebih banyak pintu ketakutan dan inilah peluang syaitan menghasut untuk melemahkan aqidah. Sedih akan membuatkan fikiran menjadi sempit dan sarat dengan buruk sangka.

“…Mereka tidak (menjadi) lemah kerana bencana yang menimpanya di jalan Allah, tidak patah semangat dan tidak (pula) menyerah (kepada musuh). Dan Allah mencintai orang-orang yang sabar.”

Surah Ali ‘Imran (3:146)

Musibah dan ujian adalah Sunatullah terhadap setiap hamba yang dicintaiNya. Alangkah baiknya jika ujian-ujian itu dihadapi dengan hati yang lapang dan jiwa yang tabah.

5.  DOA

Senjata yang paling tepat tujunya adalah doa. Ia adalah ibadah yang dicintai Allah kerana itu membuktikan ketaatan hamba padaNya. Dalam setiap ujian yang diberi, akan dipermudahkan pula jalan-jalan untuk dimakbulkan doa hambaNya.

Saya jaga suami sebaik mungkin. Saya sedaya upaya berkata yang baik-baik kepadanya. Doa mengiringi usaha saya. Begitu juga saya meminta doa daripada anak-anak, ibu bapa kami, ahli keluarga dan sahabat handai.

Saya selalu berpesan dengan arwah suami untuk redha dan kekalkan istighfar. Saya cakap, “Abang kena redha tau. Manalah tahu kalau abang redha, Allah akan ampunkan semua dosa abang.”

Setiap kali berdoa untuk arwah suami, saya bertawassul dengan kebaikan-kebaikan yang dia lakukan buat saya. Saya jadikan kebaikan suami sebagai perantara doa-doa saya kepada Allah. Saya mahu dia sihat semula. Saya mahu kami hidup bahagia. Yang lebih penting, saya mahu kebaikan buatnya dunia dan akhirat.

Takdir yang sudah ditetapkan tidak akan dapat diubah. 3 minggu selepas arwah suami disahkan kanser, dia pergi buat selamanya tanggal Jumaat 26.8.2016. 

Saya praktikkan 5 panduan itu dan ia sangat membantu sewaktu saya kehilangannya. Setelah 2 tahun pemergiannya, pengalaman tersebut menjadi kenangan terindah buat saya.

No comments:

Post a comment