Sunday, 23 December 2018

Resepi Pancake Mudah Dengan 2 Bahan Utama


Teks     :  Zureiny Zulkafly

Foto      :  Zureiny Zulkafly





Saya dan anak-anak suka makan pancake tapi setiap kali nak buat, saya lemah bab bahan-bahan tu. Kena ada telur, ada susu segar, ada itu dan ini. Ada masa jadi elok. Ada masa memang tak jadi langsung.

Resepi mudah yang saya kongsikan kali ini saya belajar daripada Mama saya. Hanya guna 2 bahan utama. Bahan-bahan lain adalah pilihan.

Mesti pelik kan resepi pancake guna 2 bahan saja. Macam itulah reaksi saya semasa Mama ajar satu persatu. Saya cuba buat dan memang menjadi. Pancake gebu dan kekal lembut untuk tempoh yang lama.

Bahan-bahan utama:-

2 cawan tepung naik sendiri
1 cawan susu pekat manis

Bahan-bahan sampingan:-

Secubit garam
1 sudu kecil esen vanilla
1 sudu besar serbuk koko

Cara buat 'batter':-

Masukkan tepung dan susu dalam bekas adunan. Masukkan secubit garam, esen vanilla dan serbuk koko. Ini bahan-bahan sampingan untuk menambah rasa. Kalau tak nak letak pun tak apa.

Masukkan 1 ½ cawan air ke dalam adunan dan gaul sebati hingga membentuk batter seperti yang dikehendaki. Saya gunakan 'whisk' atau pemukul telur untuk mendapatkan bancuhan yang sekata. 

Panaskan kuali dan sapukan dengan sedikit mentega atau minyak. Tuang bancuhan di tengah-tengah kuali mengikut sukatan yang dikehendaki. Untuk lebih kreatif, boleh gunakan acuan comel yang pelbagai bentuk.

Bila timbul lubang-lubang kecil di atas pancake, terbalikkan ia dan masak seketika. Anggaran memasak untuk mendapatkan pancake yang cantik dan sedap ialah sekitar 5 minit.

Saya pernah buat pancake ini hanya menggunakan 2 bahan utama sahaja iaitu tepung dan susu pekat manis. Ketika memasak saya menggunakan marjerin Planta. Rasa masin marjerin itulah yang menambah rasa pancake itu tadi.

Tadaaa! Dah siap. Tabur sedikit gula ising sebagai hiasan. Boleh dimakan bersama madu, susu ataupun jem. 

Nanti boleh buatkan pancake ni sebagai bekalan anak-anak ke sekolah. Bahannya mudah dan masa menyiapkannya juga tidak lama.

Kalaulah pancake ni dalam pelbagai bentuk comel, anak-anak lagi suka.

Semoga resepi yang saya kongsi ini sedikit sebanyak membantu mak-mak untuk memasak sesuatu yang sedap tetapi dengan bahan dan masa yang minimal.

Selamat mencuba!


No comments:

Post a comment