Tuesday, 1 January 2019

MISI SELAMATKAN SANG SIPUT


Teks     :  Zureiny Zulkafly

Foto      :  Google




Turun dari  escalator stesen komuter Mid Valley, mata saya tertancap pada papan tanda digital yang menunjukkan jadual perjalanan tren ke arah selatan. Saya akan turun di stesen Bangi yang terletak antara stesen UKM dan Batang Benar.

Padang Sebang, 5.17. Lambat lagi tren nak sampai. Lagi setengah jam, saya beritahu anak-anak. Satu lagi tren yang menuju ke Sungai Gadut, juga ke arah selatan akan tiba jam 5.47 petang.

"Kita duduk dululah." 

Sambil menjinjing beg-beg plastik yang berisi baju dan kasut sekolah anak-anak, saya melangkah ke arah kerusi panjang besi di sisi platform. Anak berdua hanya mengekor. 

Orang masih belum ramai dan boleh dibilang dengan jari. Berbanding platform bertentangan yang menuju ke utara, kelihatan ramai orang berdiri menanti ketibaan tren. 

Ibu, tu siput kan?  Aina menarik perhatian saya untuk melihat ke arah yang dimaksudkannya.

Ha ah betul. Tu la siput. Saya memerhati seekor siput bersaiz sederhana menyusur perlahan di celahan orang yang berdiri di platform.

Sekelip mata sahaja Aina sudah bangun. Dia menuju ke arah siput, lebih kurang 7 kaki dari tempat kami duduk. Gelagat Aina yang teruja melihat siput itu bergerak telah menarik perhatian orang keliling. Bertambah lagi dengan macam-macam soalan yang ditanya pada saya, membuatkan orang yang memandangnya tersenyum.

Saya biarkan Aina. Macam tu lah budak bandar. Nampak siput pun macam nampak bintang jatuh atas rumput. Dia punya seronok tu bukan main lagi.

Dik, orang makin ramai ni. Silap haribulan siput tu kena pijak. Dia kecik je. Bukan orang nampak. Ibu rasa kena alihlah siput tu. Raut wajah Aina berubah jadi cemas dan risau. Dia pandang siput itu semula.

Boleh tak adik angkat siput tu letak tepi?.

Adik berani ke? Aina mengangguk berulang kali.

Bulat mata saya memandangnya. Tak sangka cadangan saya itu membuatkan Aina bersungguh mahu selamatkan siput itu.

Aina berlutut mahu memegang cengkerang siput tapi usahanya terhenti bila dia mula sedar ramai orang memerhatikannya. Tiba-tiba dia datang semula kepada saya kerana malu. Sudahnya si kakak yang bangun dan selamatkan siput. Diletaknya elok-elok atas rumput tepi longkang di luar pagar platform.

Selesai sudah misi anak-anak saya selamatkan siput. Saya pun tak mampu nak bayangkan andai siput itu benar-benar lenyek dipijak depan mata kami. Mau trauma si Aina!

Tindakan saya didorong oleh sifat belas yang Aina tunjukkan. Tak sangka dia beria mahu selamatkan sang siput. Kalau diikut akal singkat, boleh sahaja saya melarang Aina meneruskan niatnya. 

Saya yakin sikap Aina ini banyak dipengaruhi sistem pendidikan dan asuhan terbaik daripada guru-guru tadikanya. Banyak perkara baru yang saya sendiri belajar melalui Aina. Ia tentang betapa pentingnya menjadi insan yang baik tanpa sempadan, tanpa mengharapkan balasan tetapi terlebih dahulu memberikan manfaat.

Banyak kelemahan diri saya diselindungi kelebihan anak-anak. Banyak kebaikan yang mereka lakukan tanpa fikir panjang kerana mereka tahu Allah sentiasa melihat usaha baik mereka. Menjadi jahat itu mudah tetapi menjadi baik itu jauh lebih indah.

Walaupun sekadar menyelamatkan siput, semoga ia menjadi pahala yang berterusan buat Allahyarham ayah mereka tanpa dikurangkan sedikit pun pahala buat anak-anak kami. Jauh di sudut hati, saya meyakini jaminan Rasulullah s.a.w bahawa anak-anak solehah sangat membantu ibu ayah yang telah tiada melalui  doa dan kebaikan yang mereka lakukan.

In shaa Allah.


“Don’t feel proud when you have done a good deed. It happened because the Almighty allowed it and guided you to it”  -  Mufti Menk.