Teks :
Zureiny Zulkafly
Foto :
Google
Turun dari ‘escalator’ stesen komuter Mid Valley, mata saya tertancap pada papan tanda digital yang menunjukkan jadual perjalanan tren ke arah selatan.
Saya akan turun di stesen Bangi yang terletak antara stesen UKM dan Batang
Benar.
“Padang
Sebang, 5.17. Lambat lagi tren nak sampai. Lagi setengah jam,” saya beritahu anak-anak. Satu lagi tren yang menuju ke Sungai Gadut, juga ke arah selatan akan tiba jam 5.47 petang.
"Kita duduk dululah."
Sambil menjinjing
beg-beg plastik yang berisi baju dan kasut sekolah anak-anak, saya melangkah ke
arah kerusi panjang besi di sisi platform. Anak berdua hanya mengekor.
Orang
masih belum ramai dan boleh dibilang dengan jari. Berbanding platform bertentangan yang menuju ke utara, kelihatan ramai orang berdiri menanti ketibaan tren.
“Ibu,
tu siput kan?” Aina menarik perhatian saya untuk melihat ke
arah yang dimaksudkannya.
“Ha
ah betul. Tu la siput.”
Saya memerhati seekor siput bersaiz sederhana menyusur perlahan di celahan
orang yang berdiri di platform.
Sekelip mata sahaja
Aina sudah bangun. Dia menuju ke arah siput, lebih kurang 7 kaki dari tempat
kami duduk. Gelagat Aina yang teruja melihat siput itu bergerak telah menarik
perhatian orang keliling. Bertambah lagi dengan macam-macam soalan yang ditanya
pada saya, membuatkan orang yang memandangnya tersenyum.
Saya biarkan Aina. Macam tu lah budak bandar. Nampak siput pun macam nampak bintang jatuh atas rumput. Dia punya seronok tu bukan main lagi.
“Dik,
orang makin ramai ni. Silap haribulan siput tu kena pijak. Dia kecik je. Bukan
orang nampak. Ibu rasa kena alihlah siput tu.”
Raut wajah Aina berubah jadi cemas dan risau. Dia pandang siput itu semula.
“Boleh
tak adik angkat siput tu letak tepi?”.
“Adik
berani ke?” Aina mengangguk berulang
kali.
Bulat mata saya
memandangnya. Tak sangka cadangan saya itu membuatkan Aina bersungguh mahu
selamatkan siput itu.
Aina berlutut mahu
memegang cengkerang siput tapi usahanya terhenti bila dia mula sedar ramai
orang memerhatikannya. Tiba-tiba dia datang semula kepada saya kerana malu.
Sudahnya si kakak yang bangun dan selamatkan siput. Diletaknya elok-elok atas
rumput tepi longkang di luar pagar platform.
Selesai sudah misi
anak-anak saya selamatkan siput. Saya pun tak mampu nak bayangkan andai siput
itu benar-benar lenyek dipijak depan mata kami. Mau trauma si Aina!
Tindakan saya didorong
oleh sifat belas yang Aina tunjukkan. Tak sangka dia beria mahu selamatkan sang
siput. Kalau diikut akal singkat, boleh sahaja saya melarang Aina meneruskan
niatnya.
Saya yakin sikap Aina
ini banyak dipengaruhi sistem pendidikan dan asuhan terbaik daripada guru-guru
tadikanya. Banyak perkara baru yang saya sendiri belajar melalui Aina. Ia tentang
betapa pentingnya menjadi insan yang baik tanpa sempadan, tanpa mengharapkan
balasan tetapi terlebih dahulu memberikan manfaat.
Banyak kelemahan
diri saya diselindungi kelebihan anak-anak. Banyak kebaikan yang mereka lakukan
tanpa fikir panjang kerana mereka tahu Allah sentiasa melihat usaha baik
mereka. Menjadi jahat itu mudah tetapi menjadi baik itu jauh lebih indah.
Walaupun sekadar
menyelamatkan siput, semoga ia menjadi pahala yang berterusan buat Allahyarham
ayah mereka tanpa dikurangkan sedikit pun pahala buat anak-anak kami. Jauh di sudut hati, saya meyakini jaminan Rasulullah s.a.w bahawa anak-anak solehah sangat membantu ibu ayah yang telah tiada melalui doa dan kebaikan yang mereka lakukan.
In shaa Allah.
“Don’t feel
proud when you have done a good deed. It happened because the Almighty allowed
it and guided you to it” - Mufti Menk.