12/6/2017
Teks : Zureiny Zulkafly
Ramadhan sudah hampir melepasi
fasa kedua. Perlahan-lahan semakin
menghampiri penghujungnya. Sedar atau
tidak kita semakin kalut dengan persiapan yang pelbagai. Merangka rancangan yang macam-macam. Menyediakan persalinan yang bukan
sedikit. Apatah lagi juadah yang mungkin
sudah ditempah dari awal lagi.
Bagi saya, persiapan saya kali
ini sangat sederhana. Menyediakan apa yang
penting sahaja mengikut kemampuan dan keperluan kami tiga beranak. Pengalaman tahun ini jauh bezanya berbanding
semasa hubby masih ada. Sangat ketara
perbezaannya. Walaupun saya boleh
membiasakan hidup sendirian tapi dalam keadaan yang sebegini, ketiadaan hubby
meninggalkan kesan yang mendalam pada diri saya.
Tiada lagi sesi ‘bergaduh’ semasa
beli baju raya. Tiada lagi sesi ‘merajuk’
bila apa yang diinginkan tak kesampaian.
Tiada lagi sesi ‘memujuk’ bila lain yang diminta lain yang dibeli. Dan yang paling saya rindu ialah sesi ‘riuh
rendah’ tiap kali kami berempat berbuka puasa.
Waktu sahur pun suasananya sangat sunyi tanpa suara hubby.
Tabahlah wahai hati kerana semua
ini ujian yang akan saya lalui selagi hayat dikandung badan. Masa-masa ini akan tetap datang mengikut
turutannya dan saya akan tetap melaluinya tanpa boleh dielak lagi. Ini adalah perjalanan hidup saya. Mahu atau tidak saya akan teruskan langkah.
Kalau diikutkan, tahun ini adalah
giliran beraya di rumah mak di kampung. Giliran
hubby. Tapi apakan daya. Susunan Allah sudah sebegitu. Dia pergi meninggalkan saya pun sebulan
selepas berakhirnya Syawal. Kini cuma menghitung hari. Hanya tinggal
2 minggu sahaja sebelum Syawal menjelma sekali lagi.
Sepanjang 13 tahun hidup bersama,
kami sangat menjaga giliran beraya dengan keluarga masing-masing. Selama itu juga kami sudah beraya 7 kali di
kampung hubby dan 7 kali di rumah keluarga saya. Tidak pernah beralih giliran walau sekali
terutamanya Aidilfitri. Berbeza dengan
Aidiladha, selalunya hubby akan bertugas dan kami beraya di rumah kami di
Selayang.
Semasa mula-mula kahwin dulu, saya
pernah cakap pada hubby. “Saya tak suka bergaduh tiap kali nak raya”. Persetujuan ini kami capai bersama tanpa
paksaan. Kami buat semua itu demi
kesejahteraan rumahtangga kami. Saya cukup
pening bila asal nak beraya saja ada yang masam muka muncung panjang
sedepa. Ada yang balik beraya
berasingan. Ada yang balik tapi terperap
dalam bilik atau menginap di hotel. Ada yang
sampai bergaduh dengan orang tua, pasangan, anak-anak serta keluarga. Apakah semua itu?
Sedangkan Aldilfitri adalah hari
kembali kepada fitrah. Hari kemenangan
dan kegembiraan kerana melepasi ujian Ramadhan selama sebulan. Aidilfitri adalah hari menziarahi sanak
saudara rakan taulan untuk mengeratkan silaturrahim bukannya hari terputusnya
rahmat disebabkan tidak muafakat tentang giliran. Saya belajar semua itu dari pemerhatian saya
terhadap orang sekeliling saya. Saya
belajar dari pengalaman mereka yang pernah melaluinya. Itu sebab saya takut saya akan melalui
pengalaman yang pelik-pelik itu.
Lagipun, giliran beraya yang
disusun dengan baik menjadi didikan asas kepada anak-anak sebab bila
berumahtangga nanti, mereka juga akan melaluinya. Giliran ini juga mengajar mereka bersikap
adil terhadap kedua-dua keluarga sebelah ibu atau ayah mereka. Baik saya, hubby atau anak-anak tidak pernah
melangkau giliran atau meminta berbuat demikian sebab menghormati giliran sudah
menjadi asas keluarga kami. Bila sampai
masa berhari raya, kami pulang ke rumah mana pun dengan hati yang lapang. Yang penting anak-anak gembira walau di mana
mereka beraya.
Untuk tahun ini, saya dah cakap
dengan anak-anak yang kami tidak dapat lagi ikut giliran seperti biasa kerana
tanggungjawab saya sudah berubah. Sudah tidak
sama seperti waktu ayah mereka masih ada dulu.
Memang tidak mudah menghadapi perubahan ini tetapi itulah takdir yang
sudah diatur. Berat mata yang memandang
keperitan kami tapi berat lagi hati yang menanggung.
Semoga Aldilfitri kalian sempurna
tanpa sengketa tentang giliran. Baik suami
atau isteri, belajarlah muafakat kerana anak-anak belajar daripada kita. Begitu juga keluarga masing-masing. Belajarlah menghormati hidup anak-anak yang
sudah berumahtangga. Jangan dipaksa
mereka sepertimana mereka masih bujang. Kalau
mahu berunding, In shaa Allah tidak akan ada silaturrahim yang tergunting.
Satu soalan daripada saya…tahun
ni raya kat mana? ๐