Sunday, 30 July 2017

Menulis: Langkah-langkah Kecilku Mencari Redha

Teks       :  Zureiny Zulkafly
Entri       :  4/44
Foto       :  Google

Bismillahirrahmanirrahim…

Saya tidak pasti di mana saya pernah membaca kata-kata ini tetapi sebaris ayat ini bagaikan paku melekat kuat di ingatan saya.  Sentiasa bermain di fikiran saya.  Sukar untuk saya abaikan.  Sepertinya ada satu aura positif yang membuatkan saya berfikir dan melihat semula diri sendiri saya. 
 

Untuk meyakinkan hati sendiri, saya google kata-kata tersebut dan berjaya menemuinya di ahmadfaizal.com.  Saya baca tulisan penulis ini dan entah bagaimana, apa yang dia luahkan bagaikan sama dengan apa yang saya lalui.

Saya mula menulis status-status kehidupan di facebook hampir 7 tahun yang lepas.  Walaupun tidak kerap tetapi ada kisah kehidupan saya yang dikongsi.  Itupun akaun saya dibuat oleh hubby.  Tanpa keizinannya mana mungkin saya memulakan semua ini.  Cuma dia selalu pesan, berhati-hati dalam apa jua tindakan saya.

Saya menulis bukan kerana nama atau pujian manusia.  Walau sekadar 5 ‘Like’ dan 1 ‘Comment’ itu sudah cukup menggembirakan saya.  Mungkin kerana masih di peringkat permulaan, niat saya sekadar mencari kembali sahabat-sahabat lama.

Namun segalanya berubah selepas 26/8/2016.  Facebook mula menjadi medan saya berkongsi rasa hati selepas pemergian hubby.  Episod kehilangannya menjadikan saya seorang wanita yang sangat sensitif.  Hidup saya sangat sunyi tanpanya lagi.  Dan menulis ini bagaikan terapi untuk saya membina kekuatan diri.  Saya menulis tanpa henti dan kisah-kisah ini menjadikan saya dikenali.  Status-status saya pernah mendapat puluhan malah ratusan ‘Like’. 

Saya jadi seronok kerana sokongan itu memberikan saya kegembiraan.  Setiap kata-kata semangat dan doa yang ditulis di ruangan ‘Comment’ akan saya baca dan saya balas kembali.  Saya mula membina persahabatan yang baru.  Saya lebih bersikap terbuka dan berlapang dada.  Malah saya turut berkenalan dengan wanita-wanita yang senasib dengan saya.
 
Bermula dari situlah saya buat kesilapan.  Saya terlampau ingin meluahkan sehingga saya lupa setiap sesuatu itu ada batasannya.  Setiap kata-kata ada sempadannya.  Setiap tulisan ada amanah yang perlu saya jawab kemudian hari.  Setiap kisah ada sisinya yang perlu saya lindungkan.  Saya mula sedih dan keluh kesah bila tulisan saya tidak mendapat perhatian.  Saya jadi marah kerana apa yang ingin saya sampaikan tidak dapat difahamkan.

Saya mula terpesong daripada laluan asal mengapa saya menulis.  Saya mahu mereka kenal saya tapi sebenarnya nilai diri saya harus disembunyikan serapatnya.  Harus ditutup sekemasnya.  Dari situ saya sedar saya harus berguru.  Belajar buat sesuatu mengikut acuan yang sebenarnya.  Belajar menulis dengan baik agar tulisan saya bakal memberi kebaikan untuk orang di sekeliling juga untuk diri saya sendiri.

Saya kembali menyambung kelas.  Kembali menulis idea di dalam buku nota.  Kembali menghadap komputer riba untuk mengemaskini tulisan di blog.  Kembali membaca untuk memantapkan ilmu dan menambah pengetahuan saya.

Saya menulis impian saya untuk Ogos ini ialah menulis kembali di blog.  Alhamdulillah…doa saya dimakbulkan bila Allah menggerakkan saya untuk usaha-usaha kecil ini.  Menguatkan jiwa saya bahawa apa juga yang saya lakukan, niatkan seikhlasnya kerana Dia.

Ssshhh...jangan bising. Nanti kucing tu lari!

Teks       :  Zureiny Zulkafly
Entri       :  3/44
Foto       :  Google

29/7/2017

Masa menginjak ke tengahari.  Saya masih di meja tulis.  Tekun menyelesaikan tugasan saya walaupun seakan terkial-kial dan menyeksakan.  Menulis catatan di buku nota saya tentang apa yang ingin saya sampaikan.  Sudah siap 2 entri.  Sebentar lagi saya akan mengemaskininya di blog.

Fokus saya tiba-tiba terusik bila mana telinga saya menangkap satu bunyi yang halus dari luar rumah.  Bunyi seperti lidah kucing menjilat air minuman.  Sekilas saya mengalih pandang ke beranda.  Memandangkan meja tulis saya menghadap ke luar, mata saya dengan cepat menangkap kelibat seekor kucing kelabu sedang minum air tadahan besen saya. 

Saya leka memerhatikannya yang kusyuk menjilat air.  Haus sangat agaknya.  Tambahan pula cuaca tengahari agak terik.  Kepala saya memutar semula gelagat anak-anak asuhan saya yang girang setiap kali ada kucing minum dari air tadahan saya.  Terjerit-jerit panggil saya sebab kucing datang depan mata.  Ada yang penakut memang lari masuk rumah.  Ada yang berani siap agah kucing.  Ada yang takut-takut berani, berdiri belakang kawan yang berani tadi.  Bila fikir balik, macam-macam sungguh telatah anak-anak ini.

Saya selalu pesan, “Ssshhhh…jangan bising.  Nanti kucing tu lari.”  Kalau yang pandai bercakap mesti akan bertanya kembali.  “Kenapa mak long?”.  “Kesian kucing tu.  Biar dia minum dulu.  Dah kenyang nanti kucing tu pergi la.”  Dan anak-anak kecil ini akan duduk beratur depan pintu memerhati si kucing minum air. 

Saya terkejut bila kucing kelabu itu mengangkat muka dan merenung tajam ke arah saya.  Agaknya dia terasa seperti diperhati.  Saya tak bergerak walau sedikit kerana bimbang dia akan lari.  Selang 10 saat dia kembali minum air.  Saya hanya memerhatikannya dari meja tulis saya ini.  Biarkan dia minum hingga kenyang.  Tidak berapa lama kemudian, dia berlalu dengan melompat tembok rumah.  Walaupun tidak berpaling mengucapkan terima kasih pada saya, rasa kenyang si kucing itu sudah cukup menggembirakan hati saya.

Saya pernah baca kisah ini dalam artikel tulisan Dr Mohd Asri Zainul Abidin @ Dr MAZA di http://drmaza.com/home/?p=1191 Artikel bertajuk Kisah Pelacur, Anjing dan Kehidupan yang memberi kesedaran pada saya bahawa rahmat Allah sentiasa luas tanpa batas.  Syurga Allah itu mahal tapi Dia memudahkannya melalui sifatNya yang Maha Pengampun dan Pemaaf.

Walau sehina mana kita dengan dosa-dosa yang dilakukan, ada kalanya dengan sedikit kebaikan yang tulus ikhlas dapat menarik rahmatNya untuk kita.  Ada kalanya dengan rasa takut dan berharap padaNya akan melapangkan jalan yang baik untuk kita.  Pokoknya, Allah sangat memandang isi hati pengamalnya.  Malah sifat Allah Yang Maha Pengasih Lagi Penyayang sangat menguntungkan kita sebagai hambaNya.

Sama seperti apa yang dinasihatkan oleh ayah saya, “Buat baik ni bukan susah.  Jangan fikir apa-apa.  Buat saja apa yang patut.”  Itulah sebabnya walau usia ayah hampir menginjak 70 tahun, dia sentiasa positif dan berlapang dada. 


Kucing itu sudah lama berlalu.  Entah ke mana perginya.  Semoga bila dia dahaga, dia akan datang kembali ke rumah saya.  Dapatlah saya sedikit pahala dengan cara yang mudah ini.  Lagipun air tadahan saya sentiasa ada untuknya.  

Saturday, 29 July 2017

Ya Allah! Bantu saya untuk menulis

Teks       :  Zureiny Zulkafly
Entri       :  2/44
Mentor   :  Puan Masayu Ahmad
Foto       :  Zureiny Zulkafly

8.40 pagi
29/7/2017

Berteleku di meja tulis saya seawal pagi ini membuatkan saya rasa kekok sebab ini bukan rutin kebiasaan saya. Selalunya saya akan sibuk menguruskan Aina ke sekolah.  Masa yang sama saya sibuk dengan anak-anak asuhan yang tiba di rumah saya bermula 7 pagi.  Setiap pagi, hidup saya riuh rendah dengan anak-anak.

Sebaliknya, keadaan yang sunyi ini menerbitkan pula satu rasa aneh bila mana memandang buku nota saya yang polos.  Pena sudah di tangan tetapi belum secalit huruf tertulis di atasnya.  

Semangat sudah ada tapi apa yang tersimpan di akal dan hati saya sangat berselirat. Bersimpul bagai sukar untuk diuraikan.  Terasa seperti seorang manusia yang dungu.

Saya merenung ke luar rumah.  Cuba mencari sesuatu yang boleh saya pandang.  Mungkin dapat mencetuskan sesuatu di fikiran saya.  Mendengar kicauan burung bagaikan alunan muzik yang menyegarkan jiwa.  Mendengar suara dan pergerakan manusia di sekeliling membuatkan telinga saya bernyawa.  Apa yang mereka sibukkan seawal pagi ini?  Mendengar kenderaan lalu lalang membuatkan saya tertanya-tanya.  Ke manakah haluan mereka seawal pagi ini?

Jari jemari ini masih terasa berat untuk menulis.  Akal terasa ketat untuk berfikir.  Dada saya berombak.  Ada tugas yang perlu saya selesaikan.  Ada tarikh yang sudah ditetapkan.  Namun, apa yang saya pandang sebentar tadi bagaikan awan putih.  Berlalu di tiup angin pagi yang sejuk.  Apa yang saya fikirkan tentang keadaan sekeliling saya juga tidak memberi apa-apa makna.  Kosong tanpa segaris ilham yang boleh membantu saya memulakan apa yang telah lama saya tinggalkan.  Sudahnya saya mengeluh kecil.  Sakit pula kepala saya.  Apa yang terjadi pada diri saya sebenarnya?

Saya ke dapur membancuh secawan kecil madu bersama air sejuk.  Madu yang turun ke air bertali bagaikan emas yang ditempa.  Saya merenung pula pusaran air bila saya mengacau air madu tersebut. Saya teguk perlahan menikmati kemanisannya.  Inilah penawar yang menguatkan kembali imunisasi badan saya.  

Saya termenung seketika.  Entah apalah yang saya fikir ketika ini.  Sejujurnya, keadaan kesihatan saya yang menyebabkan saya gagal menyelesaikan kelas asas blog penulisan untuk sesi Jun baru-baru ini.  Seterusnya saya sambung ke kelas Julai tetapi saya masih belum upaya melakukannya.  Sehinggalah Puan Masayu Ahmad memulakan sesi Ogos, saya tahu saya perlu kuat untuk menulis kembali.

Ya Allah…bantu saya untuk menulis segala yang baik-baik sahaja.  Bantu saya menyampaikan ilmu dan pengalaman yang bermanfaat untuk mereka di sekeliling saya.  Bantu saya untuk menulis hingga ke syurga di mana pahalanya kelak mengalir berterusan untuk saya.  Bantu saya yang lemah ini kerana saya amat memerlukan pertolonganMu.

Amiin…