Wednesday, 30 August 2017

Kelas Sudah Tamat Tetapi Perjalanan Menulis Baru Sahaja Bermula...

Teks       :  Zureiny Zulkafly

Entri        :  44/44

Foto        :  Google

Bismillahirrahmanirrahim…

30/4/2017

7.05 pagi

Saya pernah berangan hendak jadi penulis.  Teringin memiliki buku sendiri.  Saya selalu membaca kisah-kisah mereka yang bermula dari sifar tetapi berjaya menulis dan menerbitkan buku sendiri.  Saya sangka menulis ini bergantung kepada bakat semata-mata tetapi sebenarnya ia menuntut lebih daripada itu.

“Saya bukan menulis untuk menjadi hebat.  Saya hanya ingin menulis dengan betul dan tepat.  Saya menulis untuk ingat.”

Itu iltizam saya dan saya tercari-cari jalan untuk merealisasikannya.  Selepas hubby pergi, keinginan untuk menulis menjadi semakin kuat.  Saya menulis sebagai satu terapi yang menguatkan jiwa saya.  Menulis menjadikan saya fokus dan lebih tenang.  Sehinggalah saya terbaca tentang Kelas Asas Blog Penulisan di facebook Puan Saniah Mat Sanat, saya terdorong menghubunginya.  Saya terus mendaftarkan diri untuk sesi Jun kerana saya tahu saya perlu berilmu untuk menulis dengan baik.


KOMITMEN
Latih tubi 44 entri dalam masa 20 hari menjadi asas penulisan.  Ayat itulah yang menarik minat saya untuk menyertai kelas ini.  Daripada 8 soalan analisa, Puan Masayu telah menetapkan arah tuju blog dan konten entri saya.  Nampak seperti mudah tetapi tanpa fokus sangat mudah hilang arah.  Satu entri pun jadi payah untuk disiapkan. 

Memandangkan kelas ini dijalankan dalam masa yang sangat pendek, ia memerlukan komitmen tinggi untuk menyiapkan satu-satu entri.  Perlu ikut tarikh yang ditetapkan.  Bahasa harus tepat.  Ejaan mesti betul.  Dengan itu, idea yang kecil dapat dikembangkan menjadi hasil tulisan yang baik dan sempurna.  Mahu tidak mahu, sebaik menyertai kelas ini saya tetapkan komitmen untuk menulis walaupun sangat sibuk dengan urusan harian. 


KETELUSAN
Daripada kelas ini, secara perlahan-lahan saya dapat memahami tujuan saya menulis.  Bukan mencipta kisah omongan yang menjadi hiburan dan kesukaan orang semata-mata tetapi sebenarnya mengolah pengalaman kehidupan menjadi catatan yang bermanfaat.

Telus bukan bererti mendedahkan siapa kita sedalam-dalamnya.  Bukan bermaksud melondehkan segala keaiban diri.  Ia lebih kepada telus menyampaikan kebaikan juga maklumat-maklumat serta panduan yang boleh memberi manfaat kepada pembaca.  Daripada latih tubi itulah, saya belajar menulis apa yang sepatutnya saya tulis.


KERTAS NOTA
Perkara pertama yang ditekankan ialah membiasakan menulis apa sahaja yang terlintas dalam fikiran ke dalam buku nota.  Pindahkan maklumat itu ke atas kertas.  Sentiasa membawa buku nota ke mana sahaja saya pergi.  Tulis apa sahaja yang berlaku dalam hidup saya seharian.  Tulis semula pengalaman yang pernah saya lalui.  Sejujurnya, ini rutin yang sangat menyeksakan saya.  Saya sangka saya boleh menulis apa sahaja pada bila-bila masa.  Ini bukanlah kebiasaan saya dan sangat payah untuk saya didik diri saya dengan keperluan ini.

Itulah sebabnya kita disarankan berguru dengan orang yang betul untuk kita mendapat ilmu yang bermanfaat.  Idea-idea yang berlegar di dalam fikiran seumpama kuda liar.  Meliar tidak tentu arah.  Ia perlu diikat dalam bentuk lakaran awal.  Kemudian secara perlahan, perbaiki idea dengan penulisan yang baik.  Kadang-kadang satu idea boleh dipecahkan menjadi 10 tulisan yang berbeza.


KERJA KERAS
Walaupun bermula dengan menulis pengalaman dan catatan harian, ia tidak akan memberi manfaat jika ditulis sambil lewa.  Seperti saya yang memiliki pengalaman asuhan, akan tetap merujuk sumber-sumber berkaitan untuk menghasilkan entri yang baik.

Saya mula belajar ‘blog walking’.  Mula belajar untuk selalu membaca blog-blog penulis lain.  Saya mula mengenali blogger yang aktif dan konsisten dengan penulisan yang bagus-bagus.  Ini memerlukan sedikit inisiatif dan kerja keras untuk memastikan saya dapat menulis blog saya sendiri dengan sebaiknya.  Sedikit sebanyak saya belajar ilmu baru dan saya dapat praktikkan pula dalam tugas asuhan saya. 


KEMAMPUAN
Kalau tidak dipecah ruyung manakan dapat sagunya.  Kalau tidak bersungguh manakan dapat hasilnya.  Daripada latih tubi 44 entri ini ia menguji kemampuan saya menulis mengikut panduan tajuk yang diberikan oleh Puan Masayu.  Abaikan dahulu kecacatan bahasa yang tidak berbunga-bunga.  Abaikan dahulu khazanah kata yang tidak menarik.  Tulis dahulu dan dalam proses itulah saya belajar sedikit demi sedikit menulis mengikut acuan saya sendiri.  Barulah saya sedar saya mampu menulis dengan baik.


KEAZAMAN
Sepanjang proses menulis, banyak pengalaman yang saya lalui.  Menulis pengalaman tidak semudah yang disangka kerana ada kalanya saya hanyut dengan perasaan sendiri.  Saya pernah gagal menamatkan kelas sesi Jun kerana faktor kesihatan.  Saya hilang fokus ketika itu kerana ada artikel saya mendapat komen negatif.

Saya terkedu dan sedih.  Saya patah hati.  Saya mula rasa menulis bukan sesuatu yang sesuai dengan saya.  Saya terfikir untuk berhenti di pertengahan.  Saya rasa usaha saya adalah sia-sia.  Fikiran saya agak bercelaru ketika itu.  Tambahan pula hubby tiada di sisi saat-saat saya memerlukannya.  Saya bertambah lemah.

Saya berhubung dengan Puan Masayu Ahmad dan Puan Netty untuk meminta pandangan dan nasihat. Saya masih simpan pesanan Puan Masayu “Menulis kesukaran lalu adalah terapi cuma ada cara.  Perlu berseni sikit.  Apabila kita baca ia satu kekuatan untuk bangkit.  Bukan aib.”

Puan Netty juga berpesan yang menulis ini tiada betul atau salah.  Kalau kena caranya apa yang ditulis akan menjadi kebaikan sampai bila-bila.  Bertitik tolak dari situ, persepsi saya berubah.  Nasihat yang baik daripada mereka yang berpengalaman dalam bidang penulisan memberikan kesan positif kepada saya.  Saya belajar untuk jadi cerdik dengan tulisan-tulisan saya.  Saya mendaftar semula untuk sesi ulangkaji pada bulan Ogos. Itu membuktikan keazaman saya untuk menyelesaikan apa yang telah saya mulakan.




Seikhlasnya, kelas ini bukannya melatih saya menulis tetapi mendidik ‘attitude’ atau sikap yang sepatutnya ada pada seorang penulis.  Setiap insan memang dikurniakan bakat semulajadi untuk menulis.  Yang bezanya adalah sejauh mana penulis itu bertanggungjawab terhadap tulisannya.  Menulis ini bukan untuk kepentingan peribadi.  Sebaliknya sejauh mana tulisan itu bakal menyambungkan pahala yang berpanjangan untuk kita setelah kita tiada nanti.


Terima kasih untuk Puan Masayu yang sangat sabar dengan kekurangan diri saya.  Walaupun dia tahu kelemahan saya tetapi dia tidak pernah putus asa memberi dorongan.  Dia yakin saya mampu melakukan. Terima kasih untuk Puan Netty yang telah memberi peluang artikel saya diterbitkan di portal Mingguan Wanita pada 14/8/2017.  Terima kasih yang tidak terhingga juga buat teman-teman seperjuangan yang sama-sama gigih belajar menulis dengan baik dan menjadi yang terbaik.

Hanya Allah yang selayaknya membalas kebaikan kalian.  Teruskan menulis...

Tuesday, 29 August 2017

Jika Anda Ada Skil Ini, Anda Akan Jadi Pengasuh Yang Disayangi

Teks       :  Zureiny Zulkafly

Entri        :  31/44

Foto        :  Google

Bismillahirrahmanirrahim…

Selalunya, bila disebut pengasuh apakah yang terbayang di fikiran anda sejujurnya?  Pandangan skeptikal tentang pengasuh yang sambil lewa dan culas.  Juga sikap prejudis kerana kes-kes kematian di tangan pengasuh yang tersebar luas di media.  Mungkin juga menganggap pengasuh ini seseorang yang tidak berpelajaran tinggi dan mengasuh sekadar mencari duit belanja.

Pada saya, mengasuh adalah karier saya.  Ia juga satu cabang kerjaya yang baik untuk ibu-ibu yang ingin bekerja dari rumah.  Saya bukan pengasuh yang hebat dengan sijil asuhan yang berlipat-lipat tetapi saya banyak belajar sepanjang pengalaman 10 tahun mengasuh anak-anak.  Dalam tempoh itu, banyak skil ‘rahsia’ yang saya praktikkan dalam usaha saya memberikan khidmat yang terbaik.  Jika anda ada skil ini, In shaa Allah…anda akan jadi pengasuh yang sangat disayangi anak-anak.

SKIL MENGURAT

Mengurat pada definisi saya sebagai pengasuh adalah mengambil hati anak-anak asuhan dengan kata-kata yang baik dan jelas.  Bukan berbohong atau menakutkan mereka tanpa sebab.  Bukan menyakat hingga mereka kecil hati dan menangis.  Bukan memaksa hingga mereka melawan dan memberontak. 

“Aikkk!  Kenapa tak nak dengan mak long ni?”  usik saya apabila ada anak-anak yang enggan ke rumah saya terutamanya setelah bercuti panjang.  Saya cuit ketiak si kecil yang merangkul erat leher ibunya.  Si ibu mula kerut dahi dan geleng kepala memikirkan kerenah anak.  Risau agaknya.

“Marilah sini.  Adik duduk dengan mak long ye.  Kesian ummi.  Ummi nak pergi kerja.  Nanti petang ummi datang ambil adik,”  saya pujuk anak-anak ini dengan sebaiknya.  Saya panggil dengan nama dan nada suara yang biasa saya panggil namanya.  Selalunya anak-anak ini akan segera beralih kepada saya kerana kata-kata yang baik itu membuatkan mereka rasa selamat. 

SKIL MENGINGAT

“Cantiknya kereta ni!  Yad punya ye?”  Si anak tersenyum simpul malu-malu. 
“Macam sama aje kereta ni dengan Wawan punya tapi kereta Wawan warna kuning kan?”  Saya menguji si anak tadi.
“Ha ah mak long.  Yad warna hijau.  Wawan warna kuning.”  Mulutnya celoteh bercerita.  Bibirnya menguntum senyum.  Dia rasa seronok sebab saya ingat tentang kereta mainan mereka.  Maknanya saya ambil berat tentang apa yang mereka main.

Sebenarnya, sebagai pengasuh saya perlu mengingat banyak perkara.  Bukan setakat rutin seharian tetapi dari sekecil-kecil perkara yang melibatkan anak-anak saya akan ingat.  Pakaian, mainan termasuk hal-hal penting yang akan dipesan oleh ibu bapa.  Kalau saya tidak mampu mengingat dengan baik, tugas saya akan bercelaru dan tidak teratur.

Skil ini juga saya gunakan untuk melatih anak-anak asuhan belajar mengenal dan mengingat.  Saya selalu uji anak-anak dengan pakaian, tuala, beg ataupun mainan.  Jangan terkejut!  Walau baru berusia setahun mereka mampu mengenal milik kawan-kawan yang lain. 

Ingatlah hari lahir anak-anak ini.  Ingatlah cerita yang pernah mereka beritahu pada kita.  Ingatlah apa yang mereka suka makan.  Apa yang kita ingat tentang anak-anak ini sebenarnya akan memberikan kegembiraan kepada mereka.

SKIL MENYELAMAT

“Mak long!  Tangan ultraman ni tercabut,”  seorang datang mengadu sambil membawa patung ultraman yang sudah tercabut sebelah tangan.  Agaknya berebut sesama sendiri, sudahnya ultraman hilang sebelah tangan.

“Mak long!  Lori ni dah patah,”  seorang lagi mengadu sambil menunjukkan belakang lori mainan yang juga tercabut.

“Meh sini mak long betulkan.”  Saya dengan gaya macam tahu semua, akan usaha betulkan mainan anak-anak ini.  Mereka melopong memerhatikan saya.

Sebagai pengasuh, jangan abaikan bila anak-anak memerlukan sesuatu daripada kita.  Sedari kecil kita mengasuh mereka bererti anak-anak ini sangat mempercayai kita.  Hanya kita yang terdekat yang mereka akan cari untuk menyelesaikan masalah mereka.  Hanya kita penyelamat yang akan mengeluarkan mereka daripada kesusahan. 

SKIL MENGAYAT

Gunakan perkataan atau ayat-ayat yang sesuai ketika berkomunikasi dengan anak-anak kecil.  Bukan menengking, mengherdik atau memaki hamun.  Berlemah-lembut membuatkan mereka mudah mendengar cakap kita.  Berhemah membuatkan mereka menghormati kita.

“Icha, boleh tolong mak long tak?”  Selalunya saya akan gunakan perkataan ‘tolong’ jika saya memerlukan mereka membantu saya.

“Ok.  Terima kasih sayang sebab tolong mak long.”  Ini yang biasa saya ucapkan setelah mereka melakukan seperti yang saya perlukan.

Dari situ anak-anak ini akan belajar berhubung secara baik dengan orang di sekeliling mereka.

SKIL MEMIKAT

Jangan paksa anak-anak menerima kita kerana si kecil ada nalurinya yang tersendiri terhadap orang dewasa di sekelilingnya.  Jangan fikir anak-anak kecil boleh dikerah mengikut kehendak dan kepentingan kita.  Selalunya ibu bapa yang sedang mencari pengasuh akan melihat reaksi anak mereka sebelum mereka buat keputusan memilih anda sebagai pengasuh atau tidak.

Untuk ‘memikat’ hati ibu bapa menjadikan kita pengasuh anak mereka, pikat hati anak-anak ini.  Jadi, pastikan penampilan anda kemas dan bersih.  Berpakaian yang sesuai.  Kata-kata yang baik dengan suara yang jelas.  Bermanis muka dan sentiasa senyum.  Yakin dengan diri anda sendiri.  In shaa Allah…anda akan ‘pikat’ rezeki yang baik untuk diri dan kehidupan anda.

SKIL BUAT-BUAT

Skil ini paling seronok!  Selalunya bila acah bayi saya akan buat mimik muka yang comel-comel seperti mengajuk mereka.  Saya ikut bunyi yang mereka buat.  Tunggu sekejap!  Anda akan lihat bayi ini tersenyum atau ketawa kerana dia rasa kita memahami apa yang dia maksudkan.  Saya buat-buat bersembang dengan bahasa yang pelik dan yang menariknya bayi ini akan bersembang kembali dengan saya.

Bila main dengan anak-anak yang besar sedikit, saya akan buat muka merajuk bila mereka tidak pedulikan saya.  Saya buat-buat menangis bila mereka melakukan kesalahan.  Saya buat-buat tidur bila saya kata saya penat.  Tunggu 5 minit.  Akan datang seorang anak mencium pipi saya.  Ada yang memeluk belakang saya.  Skil ini sebenarnya mengeratkan perasaan antara pengasuh dan anak-anak asuhan.

SKIL BERSILAT

Ouh!  Jika anda mahu jadi pengasuh, skil ini antara skil yang paling hebat.  Memandangkan saya bekerja 12 jam sehari, saya memang sentiasa pastikan saya bersarapan pagi sebelum mula mengasuh.  Menjaga anak-anak kecil amat memerlukan anda aktif dan bergerak sentiasa.  Mereka bukan robot yang boleh diarah-arah tetapi manusia kecil yang sarat dengan rasa ingin tahu dan mencuba.

Banyak perkara yang tidak terduga akan berlaku sepanjang saya bekerja.  Elok sahaja tidurkan seorang bayi, seorang anak lagi bangun dan mula merengek minta susu.  Elok sahaja selesai mandi dan berpakaian lengkap, si anak ini membuang pula.  Elok sahaja selesai makan, si anak muntah sebab tidak sihat.  Elok sahaja bentangkan tilam, si anak ini merangkak entah ke mana. 

SKIL KBAT

Jangan ingat KBAT (Kemahiran Berfikir Aras Tinggi) ini digunapakai untuk pembelajaran di sekolah sahaja.  Saya juga kena persiapkan diri saya dengan sedikit ilmu yang boleh saya guna di saat-saat memerlukan.  Saya tidak suka menakutkan anak-anak dengan jawapan yang mengarut.  Saya tidak berbohong dengan cakap yang bukan-bukan.  Bukan sebab saya baik tetapi jika anak-anak ini membesar dengan asuhan saya dan menjadikannya sebagai teladan hidup, mana yang baik akan jadi pahala untuk saya.  Jika sebaliknya saya akan menanggung tidak kurang walau sedikitpun.

“Mak long, kenapa air ni sejuk?” 

"Mak long, kenapa burung tu terbang?  Dia tak ada rumah ye?"

"Mak long, kenapa lori sampah tu warna biru bukan warna pink?"  Ini soalan paling pening saya perlu jawab. Banyak juga soalan yang pelik-pelik saya dapat tapi sedaya upaya saya menjawab dengan sebaiknya.



Skil-skil saya ini tidaklah sehebat mana tetapi inilah yang saya amalkan sepanjang saya mengasuh.  Semua ini saya tidak dapat daripada buku tetapi melalui pengalaman.  Walau apapun skil sekalipun, saya cuma ingin menjadikan hidup anak-anak asuhan saya sesuatu yang menggembirakan.  Saya ingin sentiasa disayangi oleh mereka dan diingati sampai bila-bila.  In shaa Allah…

Setahun...Setelah Dia Tiada

Teks       :  Zureiny Zulkafly

Entri        :  38/44

Foto        :  Google

Bismillahirrahmanirrahim…

26/8/2017


Mengulang sebut tarikh ini bagai mengulang semula kenangan terakhir saya bersama hubby.  Tarikh dia diambil daripada saya.  Tarikh dia kembali kepada penciptanya.  Tarikh saya menghantarnya pulang buat selama-lamanya.  Tarikh yang mengubah status diri saya dan anak-anak.  Tarikh ini juga berjalan seiring peredaran masa.  Menemui saya sekali lagi, setahun setelah dia tiada.

Hari ini saya dan anak-anak ke pusara hubby.  Melangkah ke sini bagai memutar kembali saat-saat dia dikebumikan.  Antara percaya atau tidak, hubby sudah tiada.  Malam itulah malam pertama saya berpisah bantal dengannya.  Dia sendiri dan saya juga sendiri dalam dunia kami yang sepi.  Saya merenung namanya di batu nisan.  Dalam tak sedar air mata saya mengalir perlahan.

Aina membaca Al-Fatihah.  Walaupun belum sempurna sebutan tapi dia gigih menghabiskan bacaannya.  Afrina sudah saya didik untuk membiasakan dengan Al-Fatihah, Al-Qursi dan 3 Qul.  Sebaik-baiknya Al-Ikhlas dibaca 11 kali dan dihadiahkan pahala itu kepada si ayah.  Ada kalanya kami membaca surah Yassin.  Ada masanya kami membaca Al-Mulk.  Mana-mana surah yang mudah kerana rahmat akan turun seiring kita membaca Al-Quran.  Berdoalah semoga rohnya dicucuri rahmat dan diampunkan segala dosa.  Yakinlah.  In shaa Allah…Allah akan makbulkan. 

Apa yang saya kenang tentang hubby?  Apa uniknya hubby sehingga kini saya masih menyebut namanya.  Menyebut kebaikannya.  Memanggil anak-anak saya sebagai ‘anak ayah’.  Hubby cuma lelaki biasa.  Anak kampung.  Sangat sederhana.  Pekerjaan yang biasa-biasa sahaja.  Tidak ternampak istimewanya hubby di mata sesiapa.  Namun bagi saya, dialah bintang hati yang sentiasa menerangi jiwa saya.  Menyayangi saya setulus rasa.  Bagai bulan purnama yang menyuluhi jalan saya.  Membantu saya melangkah seiring langkahnya.

Saya tidak pernah putus asa mendoakan agar didikan hubby selama ini Allah balas dengan rahmat dan pengampunanNya.  Saya tidak pernah putus harap agar kebaikan hubby terhadap saya Allah gantikan dengan kelapangan buatnya di sana.  Saya kenang setiap pengorbanannya.  Saya ingat setiap kebaikannya.  Saya tidak akan lupa renungannya yang terakhir sebelum dia pejamkan mata.  Tidak akan sekali-kali lupa kata-katanya “Abang nampak Yang” sedangkan ketika itu hubby sebenarnya sudah tidak boleh melihat.

Saya tahu dia menanggung sakit yang berat tetapi hubby tidak pernah merungut.  Tidak pernah keluar kata-kata mencemuh.  Tidak mengeluh sakit.  Walau perit ketika diambil darah, hubby tidak lupa ucapkan terima kasih.  Hubby tidak kasar dengan saya yang menjaganya sepanjang masa.  Jauh sekali menengking atau memerintah.  Semua itu bukan dibuat-buat.  Semua itu memang sifat hubby.  Sikap yang mengikat hati saya untuk mengingatinya sehingga ke saat ini.

Kerana itulah bila sampai masa hubby pergi, saya sangat redha.  Saya masih ingat bisikan saya di sisinya “Saya dah tak ada sapa-sapa bang.  Tapi saya redha.”  Saya bagai di awangan.  Terapung-apung mencari tempat berpegang.  Rasa pilu itu memenuhi hati saya yang sempit.  Rasa ingin meraung sekuat hati.  Namun hubby bukan milik abadi saya dan anak-anak.  Hubby sekadar pinjaman, tempat kami menumpang kasih dan sayang.  Yang pentingnya, semua ini takdir Allah.  Itu yang kita tidak boleh sangkal sama sekali. 

Setahun setelah dia tiada, saya belajar bahawa hidup ini perlukan kebaikan.  Berbuat baiklah walau ianya payah.  Berbuat baiklah walau tidak dipandang manusia.  Berbuat baiklah tidak kira masa atau kepada siapa. Bukan harta yang kita sebut bila dia telah tiada.  Bukan pangkat yang kita kenang sebaik dia putus nyawa. Hanya kebaikan yang pernah kita lakukan sepanjang hayat akan menjadi bualan yang hidup.  Akan menjadi sebutan dan ingatan.  Malah menjadi kekuatan untuk si mati kerana kebaikan itu menjadi doa untuknya.

Rasulullah saw bersabda "Mana-mana orang Islam (meninggal dunia) yang diakui baik oleh 4 orang, maka Allah memasukkannya ke syurga" (Riwayat al-Bukhari)

Sumber:  Majalah Solusi 2017 Bil. 105 (mukasurat 17)

Jangan putus asa menjadi baik dan melakukan kebaikan seikhlasnya.  Buatlah baik kerana kita tidak tahu kebaikan yang mana satu akan diterima.  Walaupun kecil di mata manusia, mungkin nilainya Syurga di sisi Allah.  Biar Allah menilai.  Biar Allah yang memberi ganjaran kerana Dia Maha Adil.  Biarlah kebaikan kita semasa hidup umpama tunjang pokok yang kukuh yang akan menyebarkan manfaatnya walaupun setelah kita tiada nanti.  Walau ditebang, tunggulnya tetap ada.  Akan tetap disebut manusia "Oh!  Dulu ada pokok besar kat sini.  Rimbun.  Tempat berteduh bila panas."  

Sejujurnya, takdir ini membawa banyak kebaikan dalam hidup saya dan anak-anak.  Kami tabah kerana doa-doa mereka di sekeling kami.  Allah dekatkan dengan sahabat yang baik-baik.  Allah rapatkan dengan keluarga yang baik-baik.  Allah sentiasa berikan yang baik bila kita sentiasa bersangka baik denganNya.  Semoga yang baik-baik juga untuk mereka yang sentiasa ingat dan mendoakan kami sekeluarga.


Amiin…


Jika Kamu Mencari Bahagia, Gembirakan Hati Anak-anakmu

Teks       :  Zureiny Zulkafly

Entri        :  37/44

Foto        :  Zureiny Zulkafly


Bismillahirrahmanirrahim…


12.8.2017 adalah hari ulangtahun kelahiran Afrina.  Pejam celik pejam celik, dia sudah menginjak usia 13 tahun.  Sekejap sungguh masa berlalu.  Dalam kekalutan saya melalui ujian hidup, sedar tak sedar anak sulung saya sudah remaja.  Sudah setahun berlalu kerana hubby pergi 14 hari selepas dia menyambut hari lahir Afrina ke-12 pada tahun lepas.

Afrina juga semakin matang selari dengan perjalanan takdirnya membesar tanpa kasih sayang seorang ayah.  Belajar hidup berdikari mengikut kemampuan diri.  Malah Afrina sudah ada sikap melindungi saya dan adiknya.  Sudah boleh diharap.  Sudah boleh berfikir mana yang baik atau buruk untuk kehidupannya.  

Memandang wajah si anak, saya bertanya tentang perasaannya menyambut hari lahir tanpa ayah di sisi.  Afrina cuma membalas, “Rasa kosong.”  Terkedu mendengar jawapannya yang ringkas.  Reaksi wajahnya juga biasa-biasa saja.  Bukan sedih.  Bukan juga gembira.  Mungkin dia cuba memendam segala rasa itu di dalam jiwanya.

Saya masih ingat perbualan dengannya tidak lama sebelum ini.  Saya suka berbual dengan anak-anak terutamanya ketika kami keluar bersama.  Ketika saya bertanyakan soalan ini, kami sedang makan laksa.  Makanan kesukaan hubby. 

“Fina, kalau ibu tanya sikit boleh?”  soal saya.  Afrina hanya mengangguk.

“Fina ok ke hidup tak ada ayah?” 

Beberapa detik dia mendiamkan diri.  Mungkin berfikir.  Mungkin cuba mencari kata-kata yang sesuai.

“Fina ok.  Fina redha ayah dah tak ada.  Semua tu kan dah takdir,”  dia menjawab perlahan tetapi sarat keikhlasan.

“Baguslah kalau macam tu.  Bukan senang nak hidup tak ada ayah ni.  Maksudnya tak ada lelaki dalam hidup Fina.  Tak ada lelaki yang akan jaga Fina.  Fina kena berdikari.  Kena pandai jaga diri,”  saya pandangnya yang sedang menyuap laksa. 

“Sekarang ni mungkinlah tak rasa apa-apa tapi sampai satu masa nanti Fina akan perlukan lelaki dalam hidup Fina.”

“Taklah ibu,”  dia balas tiba-tiba tapi dari raut wajahnya dia seperti malu-malu bila saya bicara soal ini.

“Ibu tak nak disebabkan Fina tak ada ayah, Fina cari perhatian dari orang lain terutamanya lelaki.  Fina kena pandai pilih kawan.  Fina kena belajar jaga diri baik-baik.  Ada pendirian.  Fina kena ingat ayah selalu.  Jangan buat benda yang bukan-bukan.  Sampai masa nanti Fina akan jumpa lelaki yang baik.  Itu doa ibu,”  panjang lebar sesi luahan hati saya padanya.

Sebenarnya, saya risaukan anak-anak.  Saya tidak akan mampu menggantikan tempat ayah mereka.  Saya tidak dapat memberikan tumpuan sebagaimana perhatian seorang ayah.  Banyak bezanya antara ibu dan ayah.  Tidak mungkin akan sama.

“Fina cuma kena buktikan walaupun hidup tanpa ayah, Fina boleh berjaya.  Untung jadi anak yatim ni sebab Allah sayang.  Nabi pun sayang.  Nabi kita pun anak yatim tapi tengok macam mana akhlak Nabi.  Fina tahu kan?”  Afrina mengangguk. 

Inilah dilema saya.  Saya tercari-cari cara terbaik untuk memberikan motivasi kehidupan kepada anak-anak saya.  Saya pun bukannya sebaik mana.  Banyak yang saya tidak tahu.  Saya tak nak anak-anak saya tersasar arah hidup.  Saya cuba menyampaikan maksud kepada mereka bahawa mereka hebat kerana menjadi anak yatim ketika usia masih muda.  Masih terlalu kecil.  Kehilangan ayah kesayangan pada saat-saat mereka memerlukan bukanlah satu perkara yang mudah.

Saya berfikir-fikir apa yang patut saya lakukan pada hari ini untuk menggembirakan hati si anak.  Walaupun dia tidak meminta apa-apa tetapi sebagai ibu, saya teringin menghiburkan hatinya.  Saya mahu mencontohi hubby yang sentiasa sabar melayan dan memenuhi kehendak anak-anak perempuannya.  Yang sentiasa menyayangi dan melindungi anak-anaknya sepenuh hati.

Sudahnya saya tempah brownies istimewa hasil tangan adik ipar saya.  Afrina pun tidak menjangka ada kejutan untuknya tetapi saya suka lihat dia tersenyum.  Bila tengok dia makan brownies sambil berebut strawberi dengan Aina lagilah saya seronok.  Riuh rendah dua beradik ni bergaduh.

Syukurlah, Allah beri saya kekuatan melalui ujian ini.  Dia juga beri saya ketabahan untuk menjaga dan mendidik anak-anak.  Setiap takdir banyak hikmah yang tersendiri.  Hanya menanti kita untuk belajar dan memahami.  Semoga anak-anak saya dan hubby membesar sebagai manusia yang baik dan sentiasa memberi manfaat sepanjang kehidupan mereka kelak.  Amiin….In shaa Allah.



Brownies istimewa @cakebykekna
Selamat Hari Lahir Sayang!


Wednesday, 16 August 2017

Frappuccino Mocha dan Angan-angan Saya

Teks       :  Zureiny Zulkafly

Entri        :  7/44

Foto        :  Zureiny Zulkafly



Frappuccino mocha saya sudah tiga suku kosong.  Entah mengapalah sejak kebelakangan ini selera minum saya sangat jauh berubah.  Macam siang bertukar ke malam.  Macam arah yang bertukar tiba-tiba tanpa amaran.  Saya bukan peminat tegar kopi.  Jauh sekali Nescafe.  Sebabnya saya akan sakit kepala seminggu kalau saya minum minuman berkafein ini.

Masih termenung di meja tulis.  Saya memandang buku nota saya yang sudah tertulis hampir tiga suku.  Kisahnya cuma biasa sahaja tetapi hari ini saya terasa sukar untuk terus menulis.  Saya berhenti sebentar kerana jika saya paksa, apa yang saya sampaikan tidak akan bermakna apa-apa.

Dulu, saya memang suka berangan yang satu hari nanti saya akan jadi penulis terkenal.  Penulis hebat yang menjadi sebutan.  Saya berangan buku-buku saya terjual beratus-ratus naskah.  Laku seperti pisang goreng panas.  Saya berangan buku-buku saya dipamer di rak buku kedai-kedai buku terkenal.  Itu sebabnya kalau saya ke mana-mana kedai buku, saya selalu berangan ada satu buku tertulis nama saya di situ.  Terselit antara buku yang banyak itu.

Angan-angan yang ini memang seronok.  Saya selalu bayangkan saya tandatangan buku-buku untuk para peminat saya.  Ke mana saya pergi orang akan kenal saya.  Orang panggil nama saya.  Minta autograf.  Minta bergambar.  Ada sesi dengan media.  Ada wawancara di televisyen.  Ada temuramah di majalah.  Saya dapat hadiah.  Saya dapat jambangan bunga yang besar-besar. 

Tiba-tiba saya terdengar tapak kaki berlari.  Pufff!  Angan-angan saya terpadam begitu sahaja.  Anak-anak asuhan saya sudah bangun.  Sebentar lagi mereka akan makan tengahari.  Rasanya saya dapat berangan belum sampai sejam.  Belum sampai ke penghujung cerita pun.  Tapi tak apalah…Mak Long dapat berangan 5 minit pun dah cukup!

Sebenarnya tiada kaitan antara Frappuccino mocha itu dengan angan-angan saya.  Cuma secara sepintas lalu ia mengingatkan siapa saya sebelum ini.  Memang saya pernah berangan mahu jadi penulis hebat.  Namun kini saya menulis supaya ingat.  Saya belajar menulis dengan betul dan tepat.  Angan-angan saya membuatkan saya faham bahawa menulis ini adalah sesuatu yang saya suka buat.

Doakan semoga saya akan terus menulis…

Monday, 14 August 2017

Impian Yang Dimakbulkan

Teks       :  Zureiny Zulkafly

Entri        :  6/44


Bismillahirrahmanirrahim…

14.8.2017

Satu tarikh yang akan saya ingat sampai bila-bila.  Tarikh yang membawa khabar gembira dan membahagiakan saya.  Tarikh yang menghilangkan segala duka dan menguatkan kembali keyakinan saya.  Tarikh yang membuatkan saya tersenyum dan ketawa lebar.  Segala-galanya indah pada hari ini.

Artikel saya keluar di portal Mingguan Wanita.  Wow!  Saya tergamam.  Terkejut malah hampir menjerit tapi saya kawal diri.  Buruk benar rupanya kalau saya terkinja-kinja melompat macam budak kecil.  Mama adalah orang pertama yang mendapat berita ini.  Wanita besi yang sentiasa menyokong belakang saya untuk sentiasa tegak berdiri meneruskan kelangsungan hidup. 

Mama ingin baca artikel saya.  Saya buka laptop dan cari http://www.mingguanwanita.my/ Saya cari artikel saya yang bertajuk “Ketika Terpaksa Membesarkan Anak Sendirian, Ini Prinsip Yang Ibu Perlu Pegang”.  Perlahan-lahan Mama membacanya.  Saya tidak pasti apa yang dia rasa tapi saya yakin dia faham apa yang sedang saya usahakan.

Saya menulis di blog bukan untuk menjadi penulis hebat.  Saya cuma ingin menulis dengan betul dan tepat.  Saya menulis supaya saya ingat.  Saya menulis agar satu hari nanti ada pahala berpanjangan yang saya dapat.  Dengan menulis saya menjadi kuat.

Allah makbulkan impian saya kerana Dia menghiburkan hati saya yang berduka dengan ujian yang sedang saya lalui.  Allah tunaikan hajat saya kerana Dia mahu melihat sejauh mana saya akan hanyut dengan kegembiraan ini.  Bersabarlah Nini…pijakkan kakimu di bumi nyata.  Semua ini hanya sementara.

Saya tidak bohong bila saya rasa terawang-awang.  Rasa ingin terbang.  Rasa bagai dijulang.  Namun pada masa yang sama saya tidak boleh lupa diri.  Saya mesti ingat janji pada diri saya sendiri.  Dua perasaan berbeza yang sedang berperang di dalam hati saya.  Masing-masing cuba menguasai akal dan kewarasan saya.  Saya tenangkan hati.  “Janganlah aku sombong dengan kejayaan kecil ini.” 

Saya terkenangkan hubby.  Dia tiada di sisi di saat saya mendapat berita gembira ini.  Rezeki yang saya harap dan nantikan selama ini, sudah menjadi kenyataan akhirnya.  Terasa sunyi juga bila saya melaluinya sendiri.  Tiada pelukan darinya tanda tahniah.  Tiada ciuman darinya sebagai hadiah.  Apa nak buat…semua ini takdir saya.

Semoga saya diilhamkan dengan idea yang baik-baik belaka.  Semoga saya berkongsi yang baik-baik juga.  Apa yang saya nikmati hari ini adalah kerana doa mereka yang baik-baik di sekeliling saya.  Walau hubby telah pergi namun saya tidak akan lupakan segala didikannya terhadap saya.  Semoga hubby sentiasa di dalam rahmat dan pengampunanNya.  Amiin...

Boleh ke link ini untuk bacaan lanjut http://www.mingguanwanita.my


Panduan Jadi Pengasuh Tanpa Modal

Teks       :  Zureiny Zulkafly

Entri        :  30/44

Foto        :  Google

Bismillahirrahmanirrahim…

Sewaktu saya mula-mula mengasuh dulu, saya tidak memerlukan modal yang besar pun.  Sekadar pengetahuan dan pengalaman mengasuh anak sendiri, saya jadikan asas untuk menjana pendapatan sampingan.  Saya mulakan dengan apa yang ada.  Saya pertingkatkan skil.  Saya kekalkan reputasi.  Alhamdulillah…Allah panjangkan rezeki saya dalam bidang asuhan sehinggalah ke hari ini.

MULAKAN DENGAN APA YANG ADA

Modal bererti wang atau harta benda yang menjadi asas berniaga atau menghasilkan sesuatu yang mendatangkan kekayaan.  Sebagai pengasuh, anda perlu sediakan tempat asuhan yang selamat, bersih dan selesa.  Kebiasaannya adalah kediaman sendiri.  Pastikan susun atur perabot rumah anda sesuai dengan pergerakan anak-anak ini nanti. 

Gunakan kelengkapan bayi atau kanak-kanak yang sedia ada.  Contohnya kepunyaan anak sendiri ataupun boleh diminta daripada ahli keluarga atau kenalan yang tidak memerlukannya lagi.  Antara keperluan asas ialah babycot, buaian (saya tidak menggalakkan penggunaan buaian ketika mengasuh) dan alat-alat mainan yang sesuai.

Selain itu, anda digalakkan meminta yuran dibayar awal bulan kemasukan.  Bayaran ini boleh anda jadikan modal permulaan.  Ia juga sebagai jaminan khidmat anda dibayar untuk mengelakkan kes ibu bapa lesap sebelum cukup sebulan anda mengasuh anak mereka.

MULAKAN DENGAN PENGETAHUAN

Untuk melakukan sesuatu perkara itu dengan betul dan diterima sebagai ibadah, ia perlu dilakukan dengan ilmu dan pengetahuan.  Jangan sesekali semberono dalam isu mengasuh anak-anak kerana ia melibatkan asuhan emosi, akal dan akhlak mereka.  Apa yang kita didik itulah yang bakal mereka teruskan sampai bila-bila.  Sekiranya baik, ia akan jadi pahala yang berpanjangan.  Sekiranya tidak, setiap kejahatan yang mereka lakukan akan dipertanggungjawabkan ke atas kita yang mengasuh.

Cari ilmu ini melalui pembacaan, pemerhatian, pengalaman dan lebih baik bertanya kepada mereka yang arif dalam bidang asuhan ini.  Lengkapkan diri anda dengan asas pendidikan awal kanak-kanak bermula seawal usia lahir lagi.

MULAKAN DENGAN SKIL ASAS

Saya sangat suka mengasuh bayi.  Saya suka aktiviti-aktiviti mudah bersama mereka seperti mandi, menyusu dan bermain.  Saya suka melihat perkembangan mereka dari hari ke sehari seperti saya mengasuh dan membesarkan anak-anak saya sendiri.   

Mulakan dengan skil asas yang anda tahu.  Jika tidak mahir, cari rujukan untuk anda belajar contohnya ibu anda sendiri.  Antara skil asas ialah cara memandikan bayi, cara menyusukan bayi dengan betul, cara tidurkan bayi dengan selamat dan banyak skil asas lain yang boleh dipelajari.  Skil ini anda boleh pertingkatkan sejajar dengan masa dan pengalaman.

MULAKAN DENGAN YANG TERDEKAT

Jangan peningkan kepala anda dengan teknik-teknik iklan yang tidak menguntungkan.  Mulakan dengan bertanya kepada jiran, kenalan ataupun ahli keluarga yang bercadang mencari pengasuh.  Maklumkan dan kenalkan diri anda sebagai seorang pengasuh.  Yakinkan mereka dengan kredibiliti dan keupayaan anda mengasuh anak mereka dengan baik.  Sekiranya asuhan yang pertama berjaya, yakinlah bahawa rezeki yang seterusnya akan jadi lebih mudah. 

MULAKAN DENGAN SATU

Jangan tamak!  Mulakan dengan satu bermaksud bermulalah dengan mengasuh seorang bayi sahaja.  Berikan masa pada diri anda sendiri untuk belajar selok-belok mengasuh melalui pengalaman pertama ini.  Itu sebabnya pengetahuan itu penting kerana ia bakal menyelamatkan anda daripada kesilapan yang tidak diketahui.  Pengalaman itu pula akan melengkapkan diri anda sebagai pengasuh yang baik dan mampu bertahan lama kerana asuhan adalah rezeki yang tidak akan putus selagi manusia dilahirkan ke dunia ini.


Sepanjang saya mengasuh, banyak yang saya belajar.  Dalam masa saya mendidik anak-anak asuhan, mereka ini sebenarnya yang mendidik saya menjadi sabar dan cekal.  Sifat anak-anak yang riang sentiasa menggembirakan saya.  Kata-kata mereka yang lucu sentiasa menghiburkan saya.  Perubahan mereka dari bayi hinggalah berusia 4 tahun sentiasa mengujakan saya.  Tiada yang lebih indah selain daripada melihat mereka membesar dengan sihat dan sempurna.


Jika anda sedang bercadang menjadi ibu yang bekerja di rumah, mungkin bidang asuhan ini antara yang boleh anda fikirkan.  Mulakan langkah pertama anda dengan yakin!


Friday, 11 August 2017

Psikologi Warna: Sejauh mana ia mempengaruhi hari anda


Teks       :  Zureiny Zulkafly

Entri        :  5/44



Bismillahirrahmanirrahim…

Hari ini Jumaat 11.8.2017.  Cuaca dingin pagi ini kerana hujan turun seawal subuh tadi.  Rutin saya tetap seperti biasa.  Bermula 7 pagi saya sudah bersedia menanti kedatangan anak-anak asuhan saya.  Sebelum mereka datang, saya perlu bersedia sepenuhnya dari segi fizikal, mental dan spiritual.  Dalam masa yang sama saya sibuk menyiapkan Aina ke sekolahnya.

Entah apa mimpi saya hari ini, tiba-tiba sahaja saya memilih t-shirt merah kepunyaan hubby yang dia pakai kali terakhir semasa dimasukkan ke hospital pada 22.8.2016.  Mungkin kerana sebelum tidur malam tadi saya asyik teringatkan dia.  Pagi ini bila bangun jadi mabuk kepayang macam orang angau gila bayang.  Sungguhlah saya sangat rindukan dia.  Al-Fatihah buat hubby semoga sentiasa di dalam rahmatNya.

Selepas bersiap, Afrina tegur saya, “Kenapa ibu pakai baju merah hari ni?”

Saya sengih.  Rasanya bukan kesalahan besar saya pakai baju merah hari ini.  Bolehlah tambah semangat apa yang patut hehe  Masalahnya bila kita buat sesuatu tanpa meniatkannya kepada yang baik memang akan jadi sia-sia.  Buat dengan niat ‘saja suka-suka’ memang dapat huru-haralah. 

Hari ini saya diuji dengan keletah anak-anak asuhan yang meligat lebih daripada biasa.  Pening saya dibuatnya.  Bila ditegur mereka buat lagi.  Bayi pun asyik menangis.  Akhirnya saya bisik pada diri sendiri, “Sebab aku pakai baju merah ke?”

Susah nak percaya tapi sebenarnya seorang sahabat yang pakar dalam CVT (Colour Vibration Therapy) pernah memberitahu bahawa warna memainkan peranan penting dalam ‘mood’ kita seharian.  Warna boleh mencipta kedamaian malah warna juga mampu membangkitkan kekacauan.  Saya tidak dapatlah menjelaskannya dengan lebih terperinci sebab saya bukannya arif.  Saya disarankan berpakaian sesuai mengikut warna dan hari.  Tumpuan lebih kepada sebelah atas badan. 

Contohnya untuk hari Jumaat digalakkan berpakaian hijau.  Pakaian sekolah Aina memang berwarna hijau setiap hari Jumaat.  Tidak semestinya satu badan harus lengkap pakaian warna hijau.  Cukup sekadar memilih tudung hijau atau baju hijau.  Masalahnya hari ini saya tersilap warna pula!  

Sahabat itu pernah menasihatkan, memandangkan saya mengasuh anak-anak, susun atur perabot rumah juga kena betul.  Selain menjamin keselamatan ia juga dapat menceriakan anak-anak ini.  Itu sebabnya 2 minggu lepas saya mengemas rumah dan menyusun atur semula perabot di ruang tamu saya.  Nasib baiklah perabot tak banyak.  Kalau tidak haruslah saya sakit pinggang seminggu. 

Dia tanyakan juga apa warna langsir tingkap saya.  Saya jawab, "Warna krim bunga-bunga biru."  Dia jelaskan itu sudah bagus kerana biru adalah warna komunikasi.  Banyak juga yang dia terangkan tapi tidak upaya saya mengingati semuanya.  Faktor usia agaknya hihi

Saya perhatikan sejak saya mengubah susunan perabot rumah, anak-anak lebih senang bermain kerana banyak kawasan luas.  Rumah lebih lapang dan menyenangkan.  Aliran udara juga dapat ditingkatkan.  Anak-anak lebih mudah tidur dan mendengar kata.  Saya juga lebih banyak berpakaian putih dan cerah sepanjang masa saya bekerja.

Pengalaman hari ini memberikan saya ilham untuk menulis sesuatu yang sepatutnya sudah lama saya kongsikan.  Sepanjang sebulan saya sakit, sahabat saya ini mengajar saya untuk mengubati diri saya dengan warna.  Saya menanggung beban emosi yang sangat berat dan tidak dapat diluahkan.  Saya nampak kuat tetapi sebenarnya banyak gangguan pada jiwa saya.

Syukurlah.  Saya beransur pulih.  Mungkin saya terlalu penat.  Menjadi pengasuh ini mungkin mudah pada tafsiran orang sekeliling tetapi tanggungjawabnya juga berat kerana melibatkan emosi dan perkembangan otak kanak-kanak.  Banyak ilmu kehidupan yang harus saya pelajari dalam melengkapkan diri saya sebagai pengasuh yang baik.

Nota kaki:  Semasa saya menulis entri ini, saya sudah tukarkan baju berwarna putih.