Teks : Zureiny Zulkafly
5.8.2016
Jumaat minggu pertama Ogos 2016.

Arwah suami disahkan menghidap kanser darah. Satu
berita yang sangat mengejutkan berbanding diagnos sebelum ini yang mengatakan
arwah suami hanya demam denggi.
Ketika itu bacaan darah putihnya tinggi dan agak
membimbangkan. Saat diberitahu, arwah suami hanya mendiamkan diri. Mungkin cuba
menghadam apa yang sedang dia lalui ketika itu.
Kanser, tidak kiralah kategori mana sekalipun, adalah
penyakit yang digeruni dan sedaya upaya akan dielak oleh manusia normal. Namun
jika itu sudah menjadi takdir, ia tidak dapat dinafikan lagi sebaliknya harus
dilalui dengan sebaik mungkin.
Jika tidak ditangani dengan betul pada peringkat awal
disahkan sakit, ia bakal memberi kesan jangkamasa panjang dari aspek psikologi
dan emosi buat kedua-dua pesakit juga penjaga.
Di sini saya kongsikan 5 panduan buat isteri untuk
kekal positif saat dimaklumkan suami menghidap kanser.
1. BERTENANG
Bertenang adalah titik tengah yang menjadi pusat
segala tindakan. Ia membantu saya fokus ketika doktor menjelaskan secara
terperinci tentang keadaan arwah suami. Sedikit sebanyak membantu saya memahami
prosedur dan rawatan lanjutan buatnya.
Tenang membantu saya bersabar dan mengumpul kekuatan
yang ada untuk tidak menangis di hadapan arwah suami. Saya tahu air mata dan
kesedihan saya akan melemahkan semangatnya dan itu akan mempengaruhi prosesnya
untuk sembuh. Saya mula memikirkan banyak perkara penting yang perlu saya
uruskan. Banyak yang bakal berubah dalam kehidupan kami sekeluarga.
Antara hikmah terhebat saya rasa daripada sikap
tenang saya ialah arwah suami positif dan redha menerima keadaannya. Berat mata
saya memandang berat lagi jiwanya yang menanggung kesakitan tapi dia beritahu
saya, “Abang nak sihat semula.”
2. REDHA
Redha bermaksud menerima setiap takdir dan ketentuan
Allah tanpa mempersoalkan apa-apa. Memang perit kerana arwah suami bukan lagi
seperti yang dulu. Dia semakin lemah dan boleh pengsan bila-bila masa. Doktor
menjangkakan 6 bulan sahaja sebelum keadaan arwah suami menjadi lebih teruk.
Saya pasrah. Saya wajib redha kerana ini ujian Allah.
Saya terima dengan hati terbuka kerana saya sayangkan arwah suami. Saya berjanji
pada diri sendiri bahawa saya akan jaga dia sebaik mungkin, sedaya yang saya
mampu.
3. HIBURKAN
HATI
Dari Abu Said Al-Khudri ra dia berkata Rasulullah
s.a.w bersabda, “Apabila kamu menjenguk orang sakit, berilah dia semangat
walaupun hendak menghadapi ajal. Meskipun hal itu tidak dapat menolak sesuatu
(ajal) setidaknya akan membuat jiwa yang sakit menjadi baik (tenang).”
(Hadis Riwayat Ibn Majah)
Saya tetap menyakat dan bergurau dengan arwah suami.
Dia sendiri yang menangkap gambar terakhir kami berdua dalam keadaan dia
terbaring di atas katil hospital. Kami tetap berbual seperti biasa bagaikan tidak
terjejas dengan berita yang mengejutkan sebentar tadi.
Dalam keadaannya yang rapuh, saya tidak mahu
melukakan hatinya. Dengan menggembirakan hati suami, ia seperti menghiburkan
hati saya juga.
4. JANGAN
BERSEDIH
Bersedih tidak akan membantu mengubah apa-apa
sebaliknya akan memburukkan lagi keadaan. Kesedihan akan membuka lebih banyak
pintu ketakutan dan inilah peluang syaitan menghasut untuk melemahkan aqidah.
Sedih akan membuatkan fikiran menjadi sempit dan sarat dengan buruk sangka.
“…Mereka tidak (menjadi) lemah kerana bencana yang
menimpanya di jalan Allah, tidak patah semangat dan tidak (pula) menyerah
(kepada musuh). Dan Allah mencintai orang-orang yang sabar.”
Surah Ali ‘Imran (3:146)
Musibah dan ujian adalah Sunatullah terhadap setiap
hamba yang dicintaiNya. Alangkah baiknya jika ujian-ujian itu dihadapi dengan
hati yang lapang dan jiwa yang tabah.
5. DOA
Senjata yang paling tepat tujunya adalah doa. Ia
adalah ibadah yang dicintai Allah kerana itu membuktikan ketaatan hamba
padaNya. Dalam setiap ujian yang diberi, akan dipermudahkan pula jalan-jalan
untuk dimakbulkan doa hambaNya.
Saya jaga suami sebaik mungkin. Saya sedaya upaya
berkata yang baik-baik kepadanya. Doa mengiringi usaha saya. Begitu juga saya
meminta doa daripada anak-anak, ibu bapa kami, ahli keluarga dan sahabat
handai.
Saya selalu berpesan dengan arwah suami untuk redha
dan kekalkan istighfar. Saya cakap, “Abang kena redha tau. Manalah tahu kalau
abang redha, Allah akan ampunkan semua dosa abang.”
Setiap kali berdoa untuk arwah suami, saya
bertawassul dengan kebaikan-kebaikan yang dia lakukan buat saya. Saya jadikan
kebaikan suami sebagai perantara doa-doa saya kepada Allah. Saya mahu dia sihat
semula. Saya mahu kami hidup bahagia. Yang lebih penting, saya mahu kebaikan
buatnya dunia dan akhirat.
Takdir yang sudah ditetapkan tidak akan dapat diubah.
3 minggu selepas arwah suami disahkan kanser, dia pergi buat selamanya tanggal
Jumaat 26.8.2016.
Saya praktikkan 5 panduan itu dan ia sangat membantu sewaktu saya kehilangannya. Setelah 2 tahun pemergiannya, pengalaman tersebut menjadi kenangan terindah buat saya.