Sunday, 23 December 2018

Resepi Pancake Mudah Dengan 2 Bahan Utama


Teks     :  Zureiny Zulkafly

Foto      :  Zureiny Zulkafly





Saya dan anak-anak suka makan pancake tapi setiap kali nak buat, saya lemah bab bahan-bahan tu. Kena ada telur, ada susu segar, ada itu dan ini. Ada masa jadi elok. Ada masa memang tak jadi langsung.

Resepi mudah yang saya kongsikan kali ini saya belajar daripada Mama saya. Hanya guna 2 bahan utama. Bahan-bahan lain adalah pilihan.

Mesti pelik kan resepi pancake guna 2 bahan saja. Macam itulah reaksi saya semasa Mama ajar satu persatu. Saya cuba buat dan memang menjadi. Pancake gebu dan kekal lembut untuk tempoh yang lama.

Bahan-bahan utama:-

2 cawan tepung naik sendiri
1 cawan susu pekat manis

Bahan-bahan sampingan:-

Secubit garam
1 sudu kecil esen vanilla
1 sudu besar serbuk koko

Cara buat 'batter':-

Masukkan tepung dan susu dalam bekas adunan. Masukkan secubit garam, esen vanilla dan serbuk koko. Ini bahan-bahan sampingan untuk menambah rasa. Kalau tak nak letak pun tak apa.

Masukkan 1 ½ cawan air ke dalam adunan dan gaul sebati hingga membentuk batter seperti yang dikehendaki. Saya gunakan 'whisk' atau pemukul telur untuk mendapatkan bancuhan yang sekata. 

Panaskan kuali dan sapukan dengan sedikit mentega atau minyak. Tuang bancuhan di tengah-tengah kuali mengikut sukatan yang dikehendaki. Untuk lebih kreatif, boleh gunakan acuan comel yang pelbagai bentuk.

Bila timbul lubang-lubang kecil di atas pancake, terbalikkan ia dan masak seketika. Anggaran memasak untuk mendapatkan pancake yang cantik dan sedap ialah sekitar 5 minit.

Saya pernah buat pancake ini hanya menggunakan 2 bahan utama sahaja iaitu tepung dan susu pekat manis. Ketika memasak saya menggunakan marjerin Planta. Rasa masin marjerin itulah yang menambah rasa pancake itu tadi.

Tadaaa! Dah siap. Tabur sedikit gula ising sebagai hiasan. Boleh dimakan bersama madu, susu ataupun jem. 

Nanti boleh buatkan pancake ni sebagai bekalan anak-anak ke sekolah. Bahannya mudah dan masa menyiapkannya juga tidak lama.

Kalaulah pancake ni dalam pelbagai bentuk comel, anak-anak lagi suka.

Semoga resepi yang saya kongsi ini sedikit sebanyak membantu mak-mak untuk memasak sesuatu yang sedap tetapi dengan bahan dan masa yang minimal.

Selamat mencuba!


Saturday, 15 December 2018

Cara Mudah dan Murah Mencuci Bilik Air Tanpa Menyental


Teks     :  Zureiny Zulkafly

Foto      :  Zureiny Zulkafly


Baru-baru ni saya baca perkongsian seorang suri rumah tentang Ganso Stain Remover dan Magic Sponge yang menjadi alternatif terbaik untuk mencuci kesan degil di bilik air dengan mudah.  Kedua-dua produk ni boleh didapati di kedai Eco.  Mak-mak ni memang suka kalau bab petua mudahkan basuh bilik air.

Dengan gigihnya, saya pun pergilah ke Kedai Eco yang terletak di Bandar Bukit Mahkota.  Dekat je pun dengan rumah.  Tak sampai 10 minit memandu, saya dah terpacak depan kedai. Pesan siap-siap kat anak-anak, "Tak leh lama-lama duk dalam kedai ni. Berhantu."  Terkebil-kebil budak berdua tu nak faham maksud saya hehe


Stain Remover berpewangi Lavender.
Botol merah tu adalah botol spray
yang ada 2 jenis muncung.
Saya perhatikan botol-botol yang tersusun rapi di rak. Ada 2 warna penutup.  Satu ungu dan satu lagi coklat. Bezanya cuma bau.  Penutup ungu ada wangian Lavender sementara yang coklat tu yang biasa saja.  Cari pula magic sponge tapi hampa sebab kehabisan stok. Terpaksalah buat magik sendiri nanti ni.

Ini langkah-langkah persediaan sebelum mencuci bilik air menggunakan Ganso Stain Remover:
1.  Guna alas kaki terutamanya bila kita mahu mencuci lantai bilik air
2.  Guna sarung tangan
3.  Tutup hidung dan mulut dengan tuala kecil

Cara mencuci:
1.  Untuk cucian kali pertama, gunakan pekatan terus dari botol.
2.  Untuk cucian seterusnya, guna nisbah bancuhan 1: 10 iaitu 1 bahagian Stain Remover dan 10 bahagian  
     air. Letak di dalam botol spray.
3.  Biarkan selama 5 minit sebelum diberus
4.  Bilas dengan air bersih.

Saya bancuh mengikut nisbah 1:5 (1 untuk stain remover dan 5 untuk air) ketika mencuci buat pertama kali.  Saya spray dinding dan lantai bilik air termasuklah mangkuk tandas.  Sebelum tu saya dah jirus bilik air dengan air.

Tutup pintu bilik air dan biarkan antara 5 hingga 10 minit. Haaah! Jangan tutup pintu duduk dalam bilik air pulak ye. Nanti lemas, dah jadi cerita lain pula.

Kemudian tu gunalah magic sponge untuk gosok pada dinding. Tak ada pun tak apa. Gunalah span atau berus yang biasa kita guna.  Kita kan mak-mak.  Memang biasa buat magik sendiri.  Saya gunakan sabun juga ketika memberus tu.

Kebaikan Ganso Stain Remover:
1.  Memang berkesan tanggalkan kesan-kesan degil celahan jubin dinding dan lantai bilik air.
2.  Jimatkan masa menyental.
3.  Bilik air wangi dan bersih lebih lama.  Maksudnya, bilik air lambat kotor semula.
4.  Untuk cucian seterusnya lebih mudah kerana hanya perlu spray bancuhan dan bilas.
5.  Harganya murah RM2.10 sebotol dengan isipadu 800ml.

Cuma pantang larangnya, jangan guna untuk lantai terrazzo, marmar dan getah. Jangan sesekali campur Stain Remover dengan mana-mana produk bleach.  Tak tahulah apa yang jadi sebab saya pun tak berani cuba.  Elakkan daripada terkena kulit dan mata.  Tentunya jauhkan semua ni daripada kanak-kanak. Dah selesai, bilik air dah wangi bersih barulah anak-anak boleh gunakan.

Lepas ni mak-mak boleh cari Ganso Stain Remover ni untuk cucian degil di bilik air.  Lagi untung kalau dapat beli magic sponge sekali. 

Selamat mencuba!